Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kebebasan media dalam landskap baharu

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pada 3 Mei minggu lalu berlangsung Hari Kebebasan Media Sedunia. Terdapat lima perkara mengenai kebebasan media  yang menjadikan tahun ini unik berbanding tahun-tahun terdahulu. Pertama, landskap media sudah jauh berubah dengan adanya teknologi lebih baharu, khususnya penggunaan kepintaran buatan (AI).  

Kedua, kerajaan Madani yang memerintah sekarang dianggotai oleh Pakatan Harapan yang parti-parti komponennya, PKR, DAP dan Amanah adalah mereka dari awal dulu memperjuangkan kebebasan media. 

Ketiga, terdapat banyak keluhan daripada media bahawa mereka menerima tekanan daripada pihak berkuasa apabila melaporkan perkara-perkara negatif mengenai kerajaan. Keempat, kedudukan negara pada Indeks Kebebasan Media Dunia jatuh banyak anak tangga. 

Kelima, ada pihak menjadikan kemudahan media teknologi baharu sebagai alat untuk mempengaruhi persepsi masyarakat dengan menggunakan maklumat palsu yang dihubungkan pada sentimen kaum dan agama.

Saya bersara pada tahun 2015. Dengan persaraan itu, saya sudah tidak terdedah secara langsung dengan apa yang berlaku pada media. Apa yang saya dapat perhatikan ialah perkembangannya dari sudut terhad melalui media sosial. Saya percaya bahawa generasi wartawan yang aktif sekarang lebih layak untuk menilai dan menentukan hala tuju dunia media untuk masa akan datang.

Namun begitu, wartawan veteran mempunyai pengalaman yang amat bernilai bukan saja sebagai bahan sejarah untuk menjadi panduan dan sempadan bagi pengamal media berdepan dengan pihak penguasa. Sejak tahun 2015 banyak perubahan telah berlaku pada landskap media dan politik. Maknanya mereka yang tidak mengikuti perkembangan teknologi dan politik, pastinya terputus  pengetahuan mengenainya.

Saya mula berminat pada kewartawanan pada tahun 1973 setelah membaca buku A Samad Ismail bertajuk Mengasah Bakat dan novelnya, Patah Sayap Terbang Jua. Daripadanya saya faham mengenai kesedaran nasional dan tuntutan kemerdekaan negara banyak disumbangkan oleh akhbar. Pada masa itu hanya akhbar merupakan penyalur maklumat dan pandangan. 

A Samad Ismail

Tahun 1973 juga  bermulanya saya meminati politik. Selain daripada tertarik pada fahaman nasionalisme dan sosialisme, saya juga sedar terhadap kepentingan demokrasi sebagai cara pemerintahan terbaik yang boleh menampung suara rakyat di atas premis bahawa negara dan masyarakat adalah milik semua warganya tanpa kecuali. Sebab itu dari awal lagi saya menyokong penuh kebebasan akhbar sebagai prinsip asas pelaksanaan demokrasi.

Hampir 10 tahun kemudian, iaitu 1982, bermulalah saya bekerja sebagai wartawan. Dengan bekerja di akhbar yang diterbitkan oleh syarikat milik parti pemerintah, iaitu Umno saya dapat saksikan realiti hubungan media dengan kerajaan. Pada masa itu masih ada Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) dan untuk memperoleh permit bagi menerbitkan dan mencetak majalah dan akhbar bukanlah suatu yang mudah.

Operasi Lalang 

Sungguhpun menyedari tentang realiti politik, saya tetap berpegang kepada perlunya kebebasan akhbar bagi Malaysia. Maka dalam hal ini saya menyokong perjuangan parti-parti pembangkang ketika itu, iaitu Parti Rakyat, DAP dan PAS yang menuntut kebebasan akhbar.

Pada tahun 1987, ketika kerajaan melancarkan Operasi Lalang dan mengharamkan akhbar Watan dan Sin Chew Jit Poh, saya bekerja dengan Harakah. Saya masih ingat bahawa pada hari berkenaan kami mengadakan mesyuarat bagi menghadapi kemungkinan Harakah turut diharamkan. Tetapi ternyata akhbar PAS itu tidak diharamkan dan saya menulis mengecam pengharaman akhbar-akhbar lain.

Ketika saya kembali ke Utusan Malaysia pada tahun 1998, landskap media sedang mula berubah. Internet sudah ada walaupun belum meluas. Telefon pintar belum ada tetapi dengan menggunakan laman web, seseorang boleh menyebarkan tulisan tanpa perlu melalui akhbar, radio dan televisyen. Itulah yang berlaku apabila penyokong-penyokong pembangkang menggunakan laman web. Kesannya belum ketara tetapi halangan kepada media bebas sudah diterobos. Laman-laman web ini membolehkan media baharu seperti portal berita dan blog.

Kini landskap media jauh berbeza. Akhbar, radio dan televisyen terpaksa turut mempunyai edisi dalam talian. Lebih besar lagi ialah adanya teknologi aplikasi yang membawa kepada media sosial  Tiktok memperkenalkan cara menyampaikan maklumat yang berbeza pada tahun lalu. Ditambah pula pada tahun lalu diperkenalkan perkembangan baharu kepintaran AI yang pastinya akan mencorakkan semula  bidang kewartawanan. 

Pastinya ahli-ahli akademik media ada membuat penyelidikan mengenai landskap baharu ini. Begitu juga dengan pengamal media yang terpaksa menghadapi keadaan ini. Cabaran mengenai perniagaan dan pendapatan media amat besar. Dahulu. akhbar-akhbar boleh memperoleh pendapatan besar daripada iklan. Tetapi kini portal-portal berita tidak dapat meraih pendapatan besar daripada iklan seperti akhbar dahulu. 

Pendapatan besar pula pergi ke platform dan aplikasi seperti Facebook, Yahoo dan Tiktok. Dana pengiklanan dari syarikat tempatan yang dahulunya memanfaatkan organisasi dan kakitangan media tempatan kini mengalir ke kota-kota besar negara yang sudah sememangnya kaya. Malah untuk membiayai wartawan tempatan untuk membuat liputan di luar negara sudan berada di luar kemampuan syarikat media tempatan.

Dari segi kandungan pula, pempengaruh di media sosial lebih diminati daripada wartawan di media massa. Kalau organisasi media massa mempunyai idealisme kewartawanan tertentu, media sosial hanya mengikut sentimen dan naluri nafsu para netizen.

Dari segi falsafahnya, kalau pada tahun 1970 ketika televisyen mula berpengaruh berbanding akhbar.

Teknologi adalah mesejnya

Marshall McLuhan berkata “medium adalah mesejnya” yang meletakkan medium–di sini ia lebih merujuk pada teknologi televisyen mengandungi mesejnya tersendiri dan bukan saja kandungannya semata-mata.

Sehubungan itu, bagi saya, kini apa yang turut menjadi mesej ialah teknologi. Maka bolehlah dikatakan “teknologi adalah mesejnya”. Maknanya teknologi yang menentukan mesejnya.  Siapa yang menggunakan teknologi, maka mesejnyalah yang lebih berpengaruh.

Maka media sosial menjadi saluran penting bagi pembangkang dalam PRU tahun 2018 ketika mana media massa masih dikuasai oleh kerajaan. Apabila kerajaan BN dapat ditumbangkan dengan harapan Reformasi dilaksanakan iaitu akhirnya prinsip kebebasan media dapat diwujudkan dalam suatu “Malaysia Baharu” bawah pimpinan Pakatan Harapan.

Apabila diadakan pilihan raya umum tahun 2022, media sosial digunakan sepenuhnya dan hasilnya tiada mana-mana gabungan  parti utama iaitu Pakatan Harapan, BN dan Perikatan Nasional yang dapat memperoleh majoriti mudah untuk menumbuhkan kerajaan. 

Sememangnya gabungan antara pakatan perlu dilakukan untuk ini. Dalam pilihan raya itu dirasakan media massa tradisional sudah tidak berpengaruh. Maka siapa kuasai penggunaan media sosial. dia kuasai politik negara.

PRU  itu, dan selanjutnya pada pilihan raya negeri tahun 2023 menyaksikan peranan besar aplikasi Tiktok yang mana Perikatan Nasional khususnya PAS dapat meraih sokongan pengundi-pengundi muda. Walaupun mereka gagal mendapat majoriti tetapi masa depan politik parti ini adalah cerah.

Dalam suasana ini, kerajaan Madani tentulah berasa terjejas dan tercabar. Penjelasan mereka terhadap dasar-dasar yang dilakukan terjejas kerana ia tenggelam dengan naratif dan persepsi negatif dari pihak pembangkang yang menguasai media sosial. Ia bukan soal fakta atau palsu lagi. 

Apa yang direbutkan adalah sokongan rakyat yang digerakkan melalui sentimen kaum dan agama. Maka tentulah menjadi persoalan, adakah kebebasan media dalam demokrasi turut menampung kepalsuan dan sentimen kebencian kaum dan agama?.

Tetapi demokrasi tidak bermaksud begitu. Walaupun demokrasi meletakkan kebebasan media sebagai antara ciri-cirinya tetapi ia tidak memberi ruang pada kebencian antara kaum dan agama. Sistem demokrasi seharusnya menyemai toleransi dan perpaduan di kalangan rakyat.

Selain itu, adakah mana-mana kerajaan wajar membebankan dirinya diserang dengan pembohongan dan hasutan hinggakan dasar-dasar kerajaan dapat diputar-belit yang akhirnya  menghilangkan keberkesanannya? 

AI masuk ke bidang politik

Maka adakah demokrasi bermaksud ketidakstabilan sepanjang zaman kerana kerajaan sentiasa berubah sebelum penggal berakhir hinggakan ia tidak dapat melakukan perubahan?

Persoalan-persoalan ini perlu dijawab oleh generasi baharu di kalangan ahli-ahli akademik kajian media dan sains politik, serta pengamal media, bukan saja oleh pengamal media massa tetapi pengguna media sosial iaitu para netizen, yang juga bererti seluruh rakyat negara ini. 

Bagi generasi lama yang masih berfikiran dalam kerangka media massa terutama dalam jentera kerajaan, maka tidak kira siapa pun kerajaan, mereka tidak akan dapat berdepan dengan cabaran landskap teknologi baharu ini. Pada PRU  akan datang, peranan AI akan mula memasuki dunia politik lni.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.