Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Politik hari raya hingga pilihan raya

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOLUM | Sepanjang Syawal, ramai yang dikejar waktu pada hujung minggu. Ia bukan saja untuk meraikan rakan dan taulan selepas sebulan berpuasa bahkan diisi dengan pertemuan sempena politik.

Apabila Syawal menutup tabir Ramadan, ahli politik terus tekun mengatur bintang-bintang di langit untuk hiasan para pengikut dan penyokongnya. Biar senang mengejar puyuh berlari, menangkap serigala dan digelar sebagai panglima.

Ahli politik mempunyai agenda peribadi dalam politik. Ia adalah suatu yang fitrah dan demokratik. Bohonglah jika ahli politik tiada cita-cita atau keinginan yang bersifat duniawi.

Semasa Ramadhan, ahli politik ada cara yang tersendiri meraih sokongan. Misalnya memperbanyakkan hadir di majlis berbuka puasa, berterawih, bersedekah dan sebagainya.

Hatta majlis penyerahan replika cek zakat kepada majlis agama Islam menjadi acara tahunan bagi mempamerkan keprihatinan terhadap kehidupan beragama.

Sepanjang Syawal pula ada 1,001 satu jalan memperkukuh parti dan jaringan sokongan. Dari segi perbelanjaan, barangkali ia memerlukan pendekatan yang lebih berhemah untuk mengelakkan diri menjadi saudara syaitan.

Penganjuran jamuan hari raya atau rumah terbuka adalah sebahagian kaedah memenuhi cita-cita politik sekali gus membina rangkaian pengaruh.

Pilih keputusan terbaik

Sekali menjadi ahli kepada apa jua parti, perkara yang lebih besar daripada cita-cita peribadi adalah matlamat perjuangan. Pemimpin atau ahli politik berprinsip akan mengutamakan agenda parti berbanding kepentingan diri atau kelompok sendiri.

Politik matang seharusnya begitulah, namun, dalam dunia sebenar, ia suatu yang sukar dan memerlukan pengorbanan dan kesungguhan yang jitu.

Dalam situasi politik muktakhir tanah air, tiada parti politik boleh berdiri sendiri melainkan terpaksa bergabung dengan parti-parti lain. Bahkan berpakat dengan parti yang pernah menjadi lawan.

Pertimbangan yang bijak adalah mengutamakan keperluan dan kepentingan negara. Jalan yang dipilih tentunya sukar dan pahit. Namun jika segala kesukaran itu demi pertiwi, ahli politik berprinsip pasti mampu membuat keputusan terbaik.

Inilah yang diperlukan oleh ahli politik - kemahiran berpolitik. Kebolehan membaca idealisme dan mengukur realiti, mencari titik persamaan dalam berjuta perbezaan, dan menilik masa hadapan serta membetulkan kesilapan silam secara saksama.

Contohnya, tradisi ziarah menziarahi semasa Syawal adalah warisan bangsa. Inilah tradisi memelihara budi dan adab. Begitu juga ungkapan ringkas "maaf zahir dan batin" yang sejak dulu menjadi amalan masyarakat kita.

Pergi beraya ke rumah rakan dan pesaing politik adalah sebahagian usaha kecil meneruskan tradisi bangsa beradab dan mulia. Juadah sekadar pemanis mulut, manakala bertukar fikrah mengukuhkan ukhwah. Inilah semangat perpaduan ummah.

Perseteruan berdekad perlu dinokhtahkan dengan langkah bersilaturahim. Tapi siapa mahu dan bagaimana untuk memulakannya?

Masa bertemu mesra

Ia harus dimulai dengan ziarah yang kemudiannya akan dibalas ziarah juga. Ucapan maaf zahir batin bersilih ganti. Nikmat bersilaturahim mana lagi yang hendak kamu dustakan? Memutuskan silaturahim memang mudah - taburkan benih kebencian dan sandarkan pada tiang kesombongan - pasti menjadi.

Mengekalkan silaturahim memerlukan persefahaman, berlapang dada, belas ihsan dan berkasih sayang. Ada pengorbanan yang harus dilakukan. Silaturahim tidak harus dikorbankan hanya kerana mengejar nama, harta dan takhta.

Pilihan raya kecil di Kuala Kubu Bharu, Selangor menjadi medan menguji semangat Syawal dan Ramadan. Para pengundi di situ diraikan oleh pimpinan gabungan parti politik yang bertanding. Pelbagai janji dan tawaran turun dari celah bibir.

Inilah masa ahli politik bersemuka dan berbual mesra ketika bertembung di khalayak ramai.

Setelah mereka kembali ke pangkuan para penyokong mereka, api kebencian terus dinyalakan!

Sebelum memulakan siri kempen di Kuala Kubu Bharu, saya berkesempatan singgah ke makam Syed Mashor Syed Muhamad as-Shahab.

Dia adalah antara pembesar Selangor yang terlibat dalam konflik perebutan kuasa sekitar 1870-an. Makamnya terletak di tepi jalan tidak jauh dari pekan Kerling.

Perang Selangor tidak kurang pentingnya dalam sejarah politik tanah air.

Syed Mashor membantu Raja Mahadi yang mendapat bantuan daripada kumpulan Ghee Hin bagi menentang pakatan politik Tengku Kudin, Yap Ah Loy dan Hai San.

Antara fokus mereka ialah penguasaan Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang yang kaya dengan bijih timah.

Pilihan raya kecil ini hanyalah ulang tayang buat generasi muda dan mereka yang lupa. Pakatan politik, perikatan perkauman dan pengorbanan hanyalah istilah-istilah muluk buat halwa telinga rakyat bawahan.

Kini senjata untuk membunuh pesaing politik adalah fitnah - bukan lagi bisa keris, pedang atau anak panah.

Berbahagialah mereka yang membebaskan diri dan masyarakatnya daripada disangkar dalam penjara kebebalan dan keangkuhan.

Berbahagialah mereka yang menyemai benih kebenaran dan kesabaran pada tanah air ini tatkala tanah ini dihujani kebencian dan permusuhan.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.