Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ulang tahun peristiwa yang dilupakan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOLUM | Sepanjang minggu lalu berlaku empat peristiwa penting bagi negara ini. Tiga hari ulang tahun dan satu peristiwa politik.

Pertama ialah ulang tahun keenam kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Kedua, pilihan raya kecil Kuala Kubu Baru pada 11 Mei lalu. Ketiga, hari ulang tahun Umno ke-75, juga pada hari yang sama, dan keempat, peristiwa 13 Mei pada Isnin lepas.

Kesemua peristiwa itu mempunyai makna tersendiri bagi negara ini, dan ia memberi kesan kepada kebanyakan rakyat. Keempat-empat peristiwa itu pula berkait di antara satu sama lain, merentas tempat dan zaman.

Peristiwa yang paling menarik minat saya ialah ulang tahun keenam kemenangan PH dalam PRU ke-14. Ini kerana ia melibatkan keseluruhan hidup aktif saya baik dari segi intelektual, emosi, masa, tenaga dan kerjaya.

Ini kerana sejak tahun 1973, ketika berada di tingkatan dua, saya menjadi pemerhati kepada perkembangan pihak pembangkang yang mahu melihat kerajaan BN dikalahkan dalam PRU, dan ia akhirnya tercapai pada 2018, iaitu selepas 45 tahun. Walaupun kemenangan PH itu di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, bekas pemimpin ulung BN, dan ia boleh berlaku kerana adanya perpecahan dalam Umno yang melahirkan Bersatu.

Tetapi tentulah ketika ini, seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, yang menyaksikan Bersatu meletakkan calon bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi menentang calon PH.

Pertemuan ahli pemikir berhaluan kiri

PRK itu pastinya mengundang analisis pelbagai pihak yang sudahpun tersiar dalam media massaa dan media sosial. Walaupun ia jelas memberi kemenangan kepada PH dan mencerminkan sokongan kepada kerajaan Madani tetapi apa yang dapat dijangkakan ialah bahawa dalam PRU ke-16 nanti, pakatan PH-BN, sekiranya masih kekal bakal menghadapi cabaran besar daripada pihak PN. Ia merupakan sesuatu keadaan yang mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipercayai sudah pun memikirkan strategi bagi menghadapinya.

Pada malam keputusan PRK Kuala Kubu Bharu itu, Umno mengadakan suatu majlis memperingati ulang tahunnya ke-75 di Pusat Dagangan Duni Kuala Lumpur. Ada wartawan veteran Utusan Melayu turut diundang. Ada satu ketika Utusan Melayu dan Utusan Malaysia adalah akhbar yang dimiliki oleh Umno sejak pengambilalihan syarikat penerbitnya pada tahun 1955. Sepanjang tempoh itu, kedua-duanya memainkan peranan penting mencorak pemikiran orang Melayu supaya memberikan sokongan pada Umno.

Sebelum itu syarikat ini adalah milik orang perseorangan Melayu dari pelbagai lapisan masyarakat di Singapura apabila ia ditubuhkan pada tahun 1937. Kini syarikat Utusan Melayu sudah tidak ada. Akhbar Utusan Malaysia yang ada sekarang diterbitkan oleh Media Mulia, sebuah syarikat persendirian dan bukannya parti.

Pada hari Sabtu itu juga Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya di Shah Alam. Kelab silaturahim ini dianggotai oleh bekas kakitangan-kakitangan Utusan Melayu Berhad termasuk wartawan-wartawan veterannya yang pernah satu masa menulis dan membuat laporan politik yang pastinya memberi sokongan kepada BN, terutamanya menjelang PRU, PRN dan PRK.

Sebagai ahli KVUM, saya turut menghadiri mesyuarat itu. Saya telah menghabiskan sebahagian besar umur saya bekerja untuk Utusan Malaysia dan selaku seorang yang memakan gaji, saya setia dalam mematuhi segala dasar akhbar untuk berkhidmat bagi menyokong Umno, BN dan kerajaan BN dari tahun 1982 hingga 1986 dan bersambung dari tahun 1999 hingga tahun 2013.

Tetapi pada hari Sabtu itu juga saya terlepas satu acara penting yang berkaitan dengan sejarah awal kerajaan BN. Ia adalah pelancaran buku Malaysia's New Economic Policy, the First Decade 1971-1980 (Dekad Pertama Dasar Ekonomi Baru) di kedai buku Gerak Budaya, Petaling Jaya. Buku ini ditulis oleh Dr Toh Kin Woon. Ia dilancarkan oleh Dr Jomo Kwame Sundram. Perbincangan dipengerusikan oleh Dr Abdul Rahman Embong yang disertai oleh Dr Jeyakumar Devaraj dan Dr Rajah Rasiah. Secara umum, ahli panel terdiri daripada para intelektual ulung negara. Saya gemar menganggap majlis itu sebagai pertemuan ahli pemikir berhaluan kiri.

Dr Jomo adalah salah seorang anggota Majlis Penasihat kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir. Peranan Dr Abdul Rahman Embong di Universiti Kebangsaan Malaysia pula adalah dalam memberi pemikiran baru mengenai pembangunan dalam usaha untuk mewujudkan negara yang lebih adil dalam bidang ekonomi dan sosial.

Dr Jeyakumar pula adalah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Pada tahun 2008 beliau memenangi kawasan Parlimen Sungai Siput mewakili Pakatan Rakyat dengan mengalahkan calon gergasi BN, Samy Vellu. Walaupun PSM bukan anggota Pakatan Rakyat, tetapi ia berada di pihak pembangkang untuk menentang BN sejak penubuhannya.

Buku ini penting bagi melihat DEB ketika ia mula diperkenalkan dan dilaksanakan. Ini kerana BN sendiri ditubuhkan atas gagasan untuk merealisasi matlanat serampang dua mata DEB iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. DEB itu diperkenalkan pada tahun 1971 dan BN ditubuhkan pada tahun 1974. DEB berakhir pada tahun 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN) pada tahun 1991. BN hilang kuasa pada tahun 2018. Walaupun BN terus wujud, tetapi keanggotaannya tinggal Umno, MCA dan MIC, iaitu seperti Perikatan sebelum tahun 1974.

Terus menjadi pembangkang

Perikatan berkuasa dari tahun 1957 dan menang besar dalam PRU pada tahun 1959 dan 1964. Tonggak Perikatan adalah Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946 dan keraih kemenangan dalam PRU tahun 1955. Umno membawa negara kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan menggagalkan Malayan Union. Seterusnya Umno membawa negara kepada kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.

Tetapi kehilangan majoriti dua pertiga dalam PRU tahun 1969 merupakan tamparan hebat kepada Umno dan Perikatan. Ia pula ditandai oleh Peristiwa 13 Mei. Adalah tidak wajar dan tidak beradab untuk sesiapa menyambut hari ulang tahun tragedi berdarah itu. Tetapi peristiwa itu membawa kepada pengunduran Tunku Abdul Rahman dan visinya untuk digantikan dengan wawasan Tun Razak, DEB dan BN. Kemenangan besar BN dalam PRU tahun 1974 menunjukkan harapan besar rakyat kepada pembaharuan politik negara

Beliau mengajar semua parti politik menyertai BN, seperti pada namanya, ia adalah usaha untuk menubuhkan suatu kerajaan perpaduan supaya politiking dapat dikurangkan bagi membolehkan tumpuan perhatian rakyat adalah kepada pembangunan. Apabila negara sudah membangun, demokrasi atau apa saja kebebasan bolehlah dinikmati..

DAP pimpinan Lim Kit Siang dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) pimpinan Kassim Ahmad enggan menyertai BN. Sebahagian ahli Gerakan juga enggan dan mereka menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Ada sebab mengapa mereka terus menjadi pembangkang.

Saya sebagai remaja yang mudah terpengaruh dan mempunyai sikap memberontak memilih untuk menyokong PSRM dan menolak BN. Pada tahun 1974, amat sukar memperoleh bahan bacaan alternatif tetapi hati kecil saya membisik bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan BN.

Akhirnya BN tumbang

Maka pada tahun 2018, akhirnya BN tumbang. Ia merupakan peristiwa besar. Harapan rakyat terutama yang menyokong PH amat tinggi hinggakan dengan naifnya menamakan era pasca-BN ini sebagai “Malaysia Baharu.” Malah Ahmad Lutfi Othman menamakan bukunya bagi menandakan peristiwa ini sebagai “Revolusi Tanpa Darah.” Sebenarnya saya yang mencadangkan judul itu. Mungkin ia adalah keterlaluan tetapi itulah sentimen umum para penyokong PH.

Baru enam tahun berlalu, tetapi tidak ada sesiapa setahu saya yang mahu mengadakan program bagi meraikan petistiwa itu. Pihak PH sendiri tidak mahu meraikannya. Ini kerana pada masa itu, pemimpin PH adalah Dr Mahathir yang kini sudah menjadi Penasihat PAS. Kemenangan PH pada masa itu adalah antaranya kerana ada Bersatu. Kini bukan saja Bersatu bersama PN tetapi sebahagian pemimpinnya terdiri daripada bekas ahli PKR.

PKR yang kini memimpin jerajaan Madani pula tentulah sedar bahawa kuasa yang dimiliki waktu ini adalah atas pemuafakatan PH-BN yang menjadi teras drngan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti Sabah.

Maknanya, BN yang tumbang pada tahun 2018 berjaya kembali menjadi anggota kerajaan pada tahun 2020. Juga ia membawa makna bahawa sejak merdeka, UMNO hanya tidak menjadi kerajaan selama dua tahun lebih.

Bagi penyokong-penyokong PH tentulah timbul persoalan, adakah kemenangan sebenar seperti yang tergambar dalam sentimen “Malaysia Baharu” masih belum tercapai? Atau lebih buruk lagi, tidak akan tercapai sana sekali? Atau apakah ini realiti politik Malaysia? Berusaha sebaik dan sewajarnya dalam kerangka “Malaysia Baharu”. Kekecewaan ini dipercayai turut tercermin dalam keputusan mana-mana PRK yang diadakan.

Saya pula merasakan peristiwa 9 Mei 2018 ini akan terus dikenang dengan ulang tahunnya turut diperingati dengan kesedaran bahawa terdapat suatu masa yang semangat Reformasi itu berada dalam tangan dengan aspirasi “Malaysia Baharu” pernah dinyatakan.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.