Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Gred 44, tak reti tulis surat, tapi naik gaji 13 persen

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Selepas Habeebah menamatkan pengajian jarak jauh di sebuah universiti, dengan bantuan dan kuasa lobi suaminya yang sudah pun pegawai di pejabat yang sama; Habeebah pun naiklah tangga dari ketua kerani menjadi pegawai. Sewaktu Habeebah belajar secara jarak jauh di universiti itu, memang dalam kepala Habeebah selalu saja membayangkan dia akan dipegawaikan selepas tamat kelak. 

Sebenarnya Habeebah bersyukur. Sepanjang pengajian itu dia bukan belajar sangat pun. Maklumlah hampir semuanya atas talian. Ada sekali sewaktu kelas, dia menghidupkan Google Meet untuk kuliah; kemudian sambung mengangkang di atas ranjang. Banyak kali lain, dia sebetulnya dalam motokar menuju ke Genting Highland, Desaru, Lego Land dan Concubine Lane di Ipoh. 

Ada juga ketikanya dia pura-pura mendengar kuliah seraya memarahi anaknya tatkala sedang buffet di Dorsett. Pernah juga dia sedang karaoke dengan suami sempena ulang tahun perkahwinan, Habeebah menyanyi merdu  lagu Jong Jong Inai ketika pensyarah memberi kuliah. Dia hanya perlu bisukan mikrofon, dan menutup video, taraaaa siapa menyangka?

Kalau pensyarah memberikan tugasan, Habeebah pandai menepis. Taici adalah kemahirannya. Dia akan tepis lembut lantas menimpa Hazirul, atau tepuk gemalai mengenai Athnawi, pernah sekali dia kuis dengan daya tak daya lalu hinggap di atas pundak Kamilah. 

Tapi Habeebah pandai. Kalau orang semua berhempas pulas menyiapkan tugasan. Habeebah akan cepat ke hadapan menjadi pembentang. Dia terpaling ketua kumpulan kiranya. Peluang beberapa kali untuk pembentangan secara bersemuka, Habeebah akan sekel Hazirul, Athnawi dan Kamilah. 

Dia naik memijak. Habeebah menjadi pembentang bergaya. Padahal semua sudah orang lain siapkan. Gaya Habeebah memang meletup. Dia akan mengenakan baju Raya, dan sewaktu membuat pembentangan itu, suara dia ‘dalam‘ macam Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Nirmala. 

Makanya ekoran penonjolan yang berwibawa begitu, Habeebah akan diberi markah banyak. Tukang siap akan mendapat markah sisa. Bila ada pertemuan sekejap-sekejap macam jamuan akhir tahun, Habeebah akan berkontribusi suara menyanyikan lagu Jong Jong Inai. Pensyarah suka yang retis-retis.

Jadi bila Habeebah naik makam menjadi pegawai, dia memang tak reti satu apa pun. Dia tidak biasa kerja berkumpulan. Dia tidak tahu mengagih tugas. Dia tak pernah menulis surat rasmi. Dia tak merasai debar mengejar tarikh luput. Dia tidak pernah menikmati masa-masa akhir menjawab ujian atau peperiksaan. Kali akhir dia menulis surat rasmi adalah semasa Darjah Enam, ‘Surat Untuk Meminta Majlis Bandaran Menembak Monyet Liar’. 

Sejak menjadi ketua kerani, Habeebah cekatan dan berjaya membuatkan orang lain menuliskan laporan, surat atau minit. Sekarang Habeebah sudah pegawai. Tentulah lebih mudah mengelakkan kerja menulis surat, minit atau laporan. 

Habeebah akan menggunakan kemahiran ala perantara rancangan Wanita Hari ini. Dia akan minta Samad misalnya menulis minit, “Maddd, Kak Bee nak minta bantuan sikit. Kak Bee belanja Lontong Kering ya.” 

Atau, dia akan minta Pe’ah untuk menuliskan laporan yang diminta bos, “Pe’ah, ini ha suami Kak Bee ada mesyuarat pengurusan di Kota Bharu, ada dia belikan batik lawa conteng tangan.” 

Atau, atau dia akan perintahkan Chih Wei menulis surat rasmi, “Ah Wei, Kak Bee nak surat kepada Menteri Pengangkutan itu segera ya. Kak Bee ada dengar SPM, BM awak dapat A; maka inilah waktunya untuk awak membuktikan fitnah Haji Eddy itu salah.”

Memang hidup Habeebah begitulah. Hidupnya mudah. Dia boleh sorong tolak kerja, sambil bergaya dengan mekap tebalnya. Begitulah Habeebah hidup. Kerjanya dilakukan oleh orang lain. Dia asyik melayani tiktok dan meneruskan perniagaan atas taliannya, jual Makjun Opah.

Oleh sebab ramai juak dan staf bawah menolong kerja hakiki Habeebah, dia menjadi bertambah lemak. Kerjanya nampak lunas. Orang sangkakan dia reti dan pandai buat kerja. Tambah-tambah setiap kali jamuan Raya, Habeebah akan menyumbang suara menyanyikan lagu Jong Jong Inai. Orang ingat dia serba-serbi hebat. 

Tak sampai berapa tahun pun, siap dengan lobi suaminya yang sudah pegawai di pejabat yang sama; Habeebah dinaikkan gred. Jadilah Habeebah gred 44.

Nasib Habeebah berubah. 44 adalah gred berbisa. Ada ramai pegawai setaraf 44 juga. Ada pegawai 44 itu sama sekali bukan kelahiran pengajian jarak jauh. Mereka memang belajar di universiti. Mereka memang menghadap semester demi semester. Biasa buat kerja berkumpulan waktu berkuliah. Licin dan cekap menyudahkan tugasan sebelum masa akhir, dan sudah penat menangis tatkala dimarahi pensyarah. Maka kalau disergah bos mereka tegal biasa, ala bisanya. 

Mereka biasa melihat ratu yang tidak buat kerja tugasan tetapi pura-pura macam sibuk dan tahu benar. Bukan itu sahaja, sebilangan yang 44 itu juga ada yang pernah menuntut di luar negara. Memanglah bukan Cambridge atau Columbia. Sekadar menara gading yang macam Taylor Swift diberi ijazah kehormat itulah. Pun, itu tandanya mereka sudah biasa makan asam garam dan susah getir di negeri orang. Mereka tak mudah dilindas Kak Bee.

Sebaik Habeebah menjawat kedudukan 44, dia perlu menjadi pengurus. Bukan mengurus kerja jabatan. Tapi mengurus musuh-musuh dan pesaing-pesaing 44 yang lain. 

Dia perlu melaksana idea-idea pegawai atas dan pengurusan tertinggi yang di luar takuk dan di luar kotak. Habeebah tahu dia tiada semua itu. Yang 44 lain lebih berkelebihan. Maka Habeebah bersenam. Dia masuk kelas yoga. Habeebah mensasarkan untuk menjadi kurus macam Kak Ros Air Asia. Dia belajar makan sesudu macam Kak Ros. Kalau ada nampak laksa Johor dan teringin, dia akan makan seuntai spaghetti dan mencicipi setengah sudu kuah ikan. 

Memadailah, kata Habeebah kepada mak mertuanya. Dia juga belajar bersolek. Dia mengenakan setengah botol minyak wangi mahal yang dibeli di Sogo demi memastikan dia nampak jelita. Dia tahu ada seorang bos di Sumber Manusia, namanya Basith muka macam KJ yang memang sukakan menilik perempuan cantik-cantik. 

Kemudian Habeebah pasang kaki di Sumber Manusia. Ada seorang pegawai muda di situ namanya, Abu. Dia buat baik dengan Abu, beradik kakak dengan Abu. Petang-petang dia belanja Abu, Teh Tarik Premium di Richiamo. Dua tiga kali dia belikan Americano dari Kenangan Cafe. 

Dia pastikan semua orang tahu yang dia dan Abu macam isi dan kuku. Adik kakak. Kebetulan Abu memang jenis gay tak sedar diri yang tak perasan dirinya ditunggang untuk kepentingan. Abu suka kalau dibelanja seluar singkat nampak tumit dari Uniqlo.

Kalau Habeebah tak reti tulis surat, satu haram pun tak pandai mengarang minit mesyuarat dan langsung tak pernah melihat laporan akhir pun tak apa-apa. Ada Abu yang akan memastikan dia ditukarkan hanya ke jabatan yang kerjanya sedikit. Ada Encik Basith yang akan puji kain kembang bawah dia, sambil memuji ‘Huii betis you bunting padi putih-putih untunglah Ramlee’. 

Ada paling penting, suaminya Ramlee yang memang pegawai di pejabat itu juga. Sebab walaupun ada pegawai 44 lain yang bagus-bagus, takkanlah pengurusan tertinggi akan tergamak buat-buat tak nampak mata kuyu sedih laki dia yang mengharap belas kasihan itu. Takkanlah pengurusan tertinggi sanggup memberitahu “Bini you tak bagus tak reti tulis surat rasmi”. 

Tambah Habeebah jadi mudah, sebab sudah 44 grednya, maka ramai staf bawah hendak menjilat licin licau. Mereka boleh dihambakan buat kerja. Seni taici dari dahulu sudah terbiasa.

Dan ya, bila Anwar Ibrahim umum naik gaji 13 persen, Habeebah mengeluh; “Haih 13 persen saja? Bonus pun tak ada. Tetek bengek betul. Orang swasta ada dapat tujuh, lapan bulan bonus. Cuba kalau Abah, kalaupun tak pandai bercakap live tapi dia benarkan kita keluarkan duit KWSP.”

Dua tiga tahun lagi, perniagaan Makjun Opah milik Kak Bee terus laris. Cukup korum jualan, dia dapat melancong pergi Moscow tengok Kremlin. Dan dia juga boleh naik pangkat. 

Selamat datang 48. Habeebah sasarkan sebelum pencen buntut dia akan duduk atas bangku empuk 52. Dia akan bersara dengan tangga gaji gred 52. Masa itu dia sudah Hajah. Orang tak akan mengata. Dia pun tak perlu lagi menyanyi Jong Jong Inai ketika jamuan perpisahan siapa-siapa. Lagipun suaminya memang pegawai dah di pejabat yang sama.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan dalam bentuk espen (cerpen/esei) ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.