Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Maju dengan jampi serapah

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | "Mula-mula dia picit kuat, lepas tu dia picit perlahan," kata Nol pada Abid.

Nol sakit belakang. Mungkin tulang pinggulnya terseliuh.

Semasa dalam satu penjelajahan ke sebuah negeri di Pantai Timur mereka teringat cerita mengenai seorang tabib yang sedang tular di media sosial. Lalu mereka pun mahu mencuba 'keberkatan' tabib berkenaan.

Mengenai negeri Pantai Timur itu, kami ini mengatakan bahawa ia adalah Kelantan. Tetapi kerana kami menulis di Malaysiakini, kami tidak namakan negeri berkenaan kerana bimbang dikatakan sangat sibuk dalam hal mengkritik negeri serambi-seramba tersebut.

Untuk diubati oleh tabib tersebut, Nol dan Abid terpaksa pergi mengambil nombor giliran yang mula diagih-agihkan seawal jam 4.30 pagi. Setelah satu jam menunggu, maka angka giliran pun diterima.

Menurut Abid, sebenarnya mereka tiba di negeri berkenaan lebih awal dan sekitar jam 10 malam, dia dan Nol pergi melihat-lihat rumah tabib tersebut.

"Saja nak dapat feel," kata Abid.

Kata dia, pada waktu itu pun sudah ada pesakit yang beratur untuk mengambil nombor giliran.

Sebulan cuma 20 hari

Mengikut anggaran nombor giliran yang diterima, Nol hanya akan dapat berjumpa tabib berkenaan sekitar jam 11.30 pagi. Namun setelah menunggu, Nol kemudian hanya dapat duduk di kerusi pesakit bersama tabib sekitar jam 1 tengah hari.

Setiap hari tabib berkenaan hanya akan menerima sekitar 300 orang pesakit. Seramai 150 orang akan dirawat pada sebelah pagi hingga tengah hari manakala selebihnya pada sebelah petang hingga malam.

Tidak ada sebarang bayaran yang ditetapkan. Semua pesakit bebas untuk bersedekah seikhlasnya.

Kami lemah ilmu hisab, tetapi katakanlah setiap seorang daripada pesakit terbabit membayar sekitar RM50 seorang sebagai 'harga patut'. Kamu kira sendirilah berapa pendapatan tabib berkenaan setiap hari.

Kemudian kamu darab 20 hari kerana setiap bulan tabib berkenaan tidak membuka ‘kliniknya’ setiap hari.

Selain jampi, tabib berkenaan juga menyediakan sedikit ubat-ubatan dan juga air penawar sebagai sokongan.

Sesuatu yang harus dipuji ialah, tabib berkenaan tidak mewajibkan pesakit untuk membeli ubat dan juga air penawar yang disediakannya. Semua orang dibenarkan membuat pilihan sendiri.

Daripada pemerhatiannya, Abid dapati hampir semua orang yang datang membelanjakan sedikit wang untuk membeli ubat dan air penawar tersebut.

Harganya juga tidak mahal iaitu sekitar RM10 setiap satu untuk ubat dan juga air penawar.

Maka untuk menyenangkan kira-kira kamu itu, kami cadangkan kami ambil RM60 sebagai angka purata dan darab 300 orang, lalu didarabkan pula 20 hari.

Sampai ke sorga

Benarlah kata sesetengah orang bahawa untuk menjadi kaya tidak perlu pun belajar tinggi-tinggi. Cukup sekadar pergi bertapa di gunung dan membuka akaun TikTok.

Kemudian jual air liur basi bercampur dengan air tawar - nescaya kayalah kamu. Bahkan kamu juga akan didapati boleh menaikkan lagi syiar Islam dan ilmu perubatan Melayu yang kamu banggakan itu.

Melayu yang sangat marah apabila ada cadangan untuk membuka UiTM kepada bangsa lain itu sepatutnya belajar daripada tabib berkenaan. Kemudian barulah mereka tahu bahawa Melayu itu boleh maju dan berjaya hanya dengan jampi serapah.

Mereka tidak memerlukan fikiran yang lebih terbuka untuk menjadi kaya-raya seperti bangsa lain. Sementelah pula bangsa lain apabila ditimbun wang ringgit akan segera melupakan budaya dan keagungan bangsa mereka.

Melayu mesti jadi Melayu sampai masuk sorga. Malah entah-entah ada lagi riwayat yang belum ditemui yang mengatakan bahawa ada sebuah sorga yang dinamakan sebagai Jannatul al-Melayuwi yang belum ditemui oleh para alim ilmu agama.

Cakap fasal ilmuan agama, kita semua sudah tidak ada masa depan apabila ilmuan itu sendiri menjaja cerita-cerita magis dunia Melayu.

Mereka galak sungguh mencampur-adukkan kisah-kisah sihir, tuju dan segala macam hantu dalam ceramah masing-masing. Tidak ada bezanya mereka dengan tauke filim seram.

Ilmu agama pada mereka hanyalah cara bagaimana untuk menghalang hasad dengki dalam perniagaan dan juga hubungan cinta serta cemburu lubang kencing.

Segala macam ayat al-Quran pada mereka adalah jampi serapah dan dihafal hanya untuk kebaikan hidup yang satu ini.

Lebih menarik lagi tentu saja apabila 'ilmuan agama' itu berasa perlu menjaja kisah-kisah mistik tersebut di layar perak. “Perak” adalah mainan kata-kata jika kamu belum memahaminya dan ia memang disengajakan.

Apabila dipicit, sakit

Mereka bukan sekadar menjadi penasihat atau pemberi idea malah turut terlibat sebagai bintang utama.

Pelakon naik menjadi ustaz kita boleh faham, tapi apabila ustaz jadi ikut berlakon membuatkan kita menjadi serba-salah. Pening juga kepala kita apabila ada ustaz dan ustazah berasa bahawa mereka juga ada bakat untuk menjadi seorang bintang filim.

Nanti kalau dia dicalonkan sebagai pelakon terbaik dan terpaksa pergi ke malam gala, macam mana? Ustaz dan ustazah itu nak kena pakai baju ketat jugakah?

Rasanya sudah cukup kita dipeningkan apabila suatu masa dulu orang agama yang selama ini berjubah dan berserban masuk dewan perhimpunan dengan tanjak dan sampin songket.

Kita tidak mahu terperanjat pula nanti apabila ada ustaz dan ustazah sama naik memeriahkan acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian misalnya.

Semasa Nol mula-mula duduk di depan tabib, jari kelingkingnya dipicit (kuat) untuk mengenal pasti punca penyakit. Ketika ditanya sama ada dia sakit atau tidak semasa dipicit, Nol mengatakan sakit. 

Tabib berkenaan kemudian menyatakan bahawa 'qarin jahat' yang ada di dalam tubuhnya telah memakan segala macam ubat yang sepatutnya menyembuhkan penyakit Nol.

Tabib kemudian membaca serapah dan setelah itu sekali lagi memicit (perlahan) kelengking Nol. Kali ini Nol tidak rasa apa-apa kesakitan, lalu sesi pengubatan tersebut pun selesai.  

Masa yang diambil oleh tabib berkenaan untuk mengenal pasti punca penyakit dan juga merawat Nol adalah sekitar 5 hingga 10 minit.

Pulang dari rawatan, Abid bertanya sama ada sakit belakangnya telah sembuh, dan Nol mengatakan tidak.

Kami bertanya kepada Abid sama ada pesakit yang datang itu hanya dari negeri Pantai Timur tersebut, dan dia menjawab tidak.

Kami juga ingin mengatakan bahawa Abid kemudian memberitahu kami yang kebanyakan pesakit hari itu datang dari Kedah.

Pandangan Abid itu dibuat berdasarkan plat kereta yang ada di rumah tabib tersebut. Namun kerana takut dituduh sebagai suka mencari salah orang Melayu dan Islam, kami katakan yang Abid memberitahu kami bahawa kebanyakan pesakit datang dari negeri sebelah utara tanah air kita ini.

(Foto yang menghiasi artikel ini dirakamkan di pameran Iltizam Seni yang berlangsung di Galeri Puteh, Kuala Lumpur. Pameran ini adalah hasil usahasama Equiti Nasional Berhad dan juga Galeri Puteh.)


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang pernah cuba menjadi seorang bomoh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakaini.