Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mengenang tiga tokoh wartawan alternatif

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada setiap 29 Mei, saya memperingati tiga tokoh wartawan alternatif yang tidak pernah diiktiraf apatah lagi dihargai oleh mana-mana pihak. Kewartawanan alternatif melibatkan mereka yang aktif dalam media bukan arus perdana, iaitu sama ada tidak berparti atau berada di pihak pembangkang.

Media arus perdana umumnya adalah penyokong kerajaan. Sebelum pilihan raya umum tahun 2018, kerajaan yang dimaksudkan ialah pimpinan BN. Maka dari segi akhbar, media arus perdana merujuk kepada Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan The Star.

Tiga tokoh wartawan yang saya maksudkan itu ialah Husin Yaacob, Subky Latif dan Ahmad Lutfi Othman. Saya menganggap mereka sebagai tokoh kerana pencapaian dan sumbangan mereka dalam kewartawanan.

Husin dan Subky pernah menjadi wartawan Utusan Melayu dan ketiga-tiga mereka pernah bekerja dengan Harakah iaitu akhbar rasmi PAS. Utusan Melayu sebagai syarikat milik Umno tentulah tidak pernah menyatakan penghargaan kepada kedua-duanya kerana mereka berada dalam PAS. 

Parti itu juga tidak pernah secara rasmi mengadakan majlis peringatan bagi menghargai sumbangan mereka dalam bidang kewartawanan walaupun Husin dan Subky adalah ahli PAS pada penghujung hayat mereka. Subky bagaimanapun pernah dihargai dalam Muktamar Tahunan 2017  sebagai Tokoh Istiqamah, maknanya tidak pernah meninggalkan parti.

Sementara Lutfi yang banyak menulis membantu perjuangan PAS sepanjang hayatnya sejak tahun 1987 meninggalkan parti itu pada tahun 2015 untuk meneruskan kegiatan penulisannya bersama Parti Amanah Negara. Lutfi meninggal dunia pada tahun 2022. Tentulah PAS tidak menyatakan penghargaan terhadap beliau tetapi Amanah pun tiada membuat sebarang majlis peringatan rasmi untuknya.

Subky yang meninggal dunia pada tahun 2020 bagaimanapun sempat memperoleh penghargaan dari kerajaan Pakatan Harapan berbentuk pingat Kesatria Mahkota Wilayah (KMW). Ketika itu portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan dipegang oleh menteri dari Amanah, Khalid Samad. 

Sebahagian besar rakyat tidak mengenali ketiga-tiga tokoh ini kerana umumnya mereka hanya membaca akhbar-akhbar arus perdana. Hanya penyokong pembangkang atau mereka yang berfikiran terbuka membaca media alternatif.

Wartawan alternatif bukan saja menyokong atau mempertahankan dasar-dasar parti mereka tetapi lebih penting lagi ialah memaparkan maklumat dan fikiran yang berlainan daripada media arus perdana. Perkara ini penting bagi sesebuah negara demokratik yang sihat. 

Seseorang wartawan bukan saja membuat laporan tetapi berfikir, menyatakan pendirian masing-masing dan memperjuangkan sesuatu isu. Dalam suasana media arus perdana tidak memberi tempat kepada perspektif bertentangan, maka media alternatif termasuk dari pihak pembangkang menjadi wadah bagi wartawan seumpama ini.

Husin banyak menulis mengenai perjuangan Pattani  pada tahun 1950-an ketika bekerja dengan Utusan Melayu. Ketika itu Umno belum menguasai editorial Utusan yang diketuai oleh Said Zahari. Husin menyertai Parti Rakyat Malaya (PRM) pimpinan Ahmad Boestamam. Pada tahun 1965, ketika Konfrontasi berlangsung beliau ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya membaca kertas putih mengenai perkara ini dan ia menyebut bahawa Husin dicadangkan sebagai menteri luar kerajaan buangan. Kertas putih itu dikeluarkan pada tahun 1966 dan saya membacanya pada tahun 1974.

Selepas dibebaskan pada tahun 1967, beliau menubuhkan Pustaka Gunung Tahan yang menerbitkan novel-novel Ahmad Boestamam.

Apabila Kassim Ahmad dipilih untuk mengetuai PRM, Ahmad Boestamam keluar parti dan menubuhkan Parti Marhaen. Husin bersama Ishak Surin turut mengikut jejak Ahmad Boestamam ini. Begitu juga apabila Ahmad Boestamam menyertai Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) pimpinan Dr Tan Chee Khoon.

Pada tahun 1982, PAS mengalami perubahan arah tuju yang radikal dengan pimpinan berubah dari Asri Muda kepada Yusof Rawa. Maka Husin dan Ishak pun menyertai PAS.

Sekitar tahun 1985, Husin menerbitkan akhbar Mingguan Bumi. Akhbar ini menyiarkan berita-berita pihak pembangkang. Saya membacanya setiap keluaran. Salah satu liputan besarnya ialah mengenai Peristiwa Lubuk Merbau. 

Apabila akhbar Harakah mula diterbitkan pada tahun 1987, Husin menulis kolum dengan menggunakan nama Ibnu Muslim. Kolum ini popular dengan jangkaan politiknya yang tepat. Pada tahun 1990, beliau menganalisis setiap kawasan di Kelantan dan meramalkan bahawa Angkatan Perpaduan Ummah akan menyapu bersih dalam PRU. Angkatan adalah gabungan PAS, Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim. Banyak orang menertawakannya tetapi ternyata analisisnya tepat.

Saya mula berjumpa beliau pada tahun 1987 di gerai akhbar dan majalah miliknya di kawasan Chow Kit. Pada tahun 1989, beliau dilantik sebagai editor Harakah dan saya menjadi timbalannya. Beliau hanya berkhidmat sebulan tetapi kolum Ibnu Muslim terus ditulis untuk banyak tahun kemudiannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 2004.

Untuk tokoh kedua iaitu Subky Latif, saya mula mengetahui mengenainya ketika beliau menjadi editor majalah Mastika yang diterbitkan oleh syarikat Utusan Melayu pada tahun 1972. Ketika itu Mastika adalah majalah bidang besar mengenai isu-isu semasa. 

Beliau kemudian keluar dari Utusan untuk mengetuai akhbar harian Watan pada tahun 1975. Akhbar itu muncul sebagai media alternatif kepada Utusan Malaysia dan Berita Harian yang prokerajaan.

Setelah Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1976, beliau menulis buku bertajuk Siapa Selepas Tun Razak?. Buku ini menjadi sensasi dan dapat sambutan ramai. Maka bermulalah genre buku politik semasa yang boleh dikatakan Subky merupakan pelopornya. Beliau kemudian menulis buku Krisis Timbalan Perdana Menteri.

Subky juga pelopor tabloid politik di negara ini. Pada tahun 1976, beliau menerbitkan akhbar  mingguan Suara Rakyat. Saya membaca setiap keluaran akhbar ini. Setelah permit penerbitannya tidak dapat diperbaharui, beliau menerbitkan Suara Merdeka. Selain itu, beliau turut terlibat dengan penerbitan majalah Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan Kritik.

Beliau kemudiannya menjadi ahli politik bermula daripada menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil bagi kawasan parlimen Pelabuhan Klang pada tahun 1979. Beliau terus bertanding dalam PRU tahun 1982, 1986, 1995 dan 1999 tetapi tidak pernah menang. Beliau menjadi anggota jawatankuasa pusat PAS dari tahun 1983 hingga 2005. Ketika inilah saya kenal dengan Subky apabila saya sering membuat liputan mengenai PAS.

Pada tahun 1987, apabila PAS memperoleh permit akhbar, beliau mengusahakan penerbitan Harakah, Subky mengajak saya menyertainya. Beliau adalah editor dan saya menjadi ketua pemberita. Selain itu, beliau juga merupakan pelopor kepada penerbitan yang dipanggil Isu. Ia berbentuk majalah tetapi tidak berkala, hanya membincangkan sesuatu isu. Penerbitan ini mendapat sambutan ramai.

Subky meninggal dunia pada tahun 2020 dan beliau sempat menulis memoir yang terbit dalam dua jilid, Anak Apak dan Propagandis Zaman. Selain itu, beliau juga sempat menulis buku mengenai kisah hidup bekas Presiden PAS, Fadzil Nor.

Ahmad Lutfi Othman pula mula menyertai bidang kewartawanan apabila beliau dihentikan daripada pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana melancarkan demonstrasi. Beliau ketika itu adalah Presiden Persatuan Mahasiswa UTM (PMUTM), dan presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM (PMIUTM).

Akhbar pertama yang beliau sertai ialah Mingguan Tanah Air. Bagaimanapun pada tahun 1987, beliau menyertai Harakah sebagai pemberita. Pada awal penerbitannya, Harakah tidak membayar gaji tetapi hanya menyediakan makan dan tempat tinggal untuk pemberitanya. 

Hanya pada Julai 1987, barulah gaji dapat dibayar. Pada masa itulah saya sertai akhbar itu. Maka bermulalah persahabatan saya dengan Lutfi. Beliau mengendalikan ruangan rencana dan siswa.

Pada waktu itu juga Lutfi ditahan bawah ISA atas apa yang dikatakan menghasut pelajar-pelajar Universiti Malaya supaya berdemonstrasi.

Apabila berlaku krisis dalam Harakah, Subky, saya dan Lutfi berhenti pada Jun 1988. Pada masa itu Lutfi menerbitkan majalah tidak berkala, yang pertama mengenai Memali dan keduanya tentang grand design dalam Umno. 

Kemudiannya kami kembali ke Harakah pada tahun 1989 dan beliau turut mengendalikan majalah Muslimah dan Dunia Islam.

Dalam pada itu, beliau menubuhkan Penerbitan Pemuda. Bermula dengan buku, maka Lutfi pun menerbitkan berpuluh-puluh buku politik sepanjang hayatnya. Selain mengandung tulisannya, buku-buku ini berupa koleksi rencana dari pelbagai sumber tentang sesuatu tajuk 

Setelah ketiadaan majalah Dunia Islam, beliau turut mengendalikan majalah Tamadun.

Pada tahun 1998, ketika berlaku gerakan Reformasi, jualan Harakah dan Tamadun meningkat mendadak. Bukunya, Anwar: Skandal atau Konspirasi bukan saja diulang cetak banyak kali tetapi turut dicetak rompak oleh pengedar untuk memenuhi kehendak pasaran.

Setelah keluar dari Harakah, beliau membuka sebuah kedai buku di Gombak dengan pejabat untuk menerbitkan majalah Detik dan penerbitan buku. Usaha-usaha ini dihentikan atas sebab kesihatan. Usahanya untuk mendapatkan permit penerbitan bagi majalah ditolak. Sebab boleh itu, beliau terpaksa menerbitkan majalah yang permitnya dimiliki oleh orang lain.

Ada satu ketika beliau menerbitkan sebuah akhbar mingguan Siasah, yang sebelum itu, ia adalah sebuah majalah.

Bagaimanapun, beliau kemudian kembali ke Harakah yang diterbitkan tiga kali seminggu. Oleh kerana pada masa itu PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP, maka Harakah menjadi suara Pakatan Rakyat dan pembangkang dalam menghadapi BN.

Apabila berlaku perpecahan dalam PAS dan parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat, Lutfi bersama beberapa wartawan Harakah lain turut keluar dan menyertai parti Amanah. Untuk itu, beliau menerbitkan buku bertajuk Parti Amanah Negara. Beliau turut menyumbang pada dalam penerbitan portal berita Malaysia Dateline dan akhbar Warta Amanah. Menjelang PRU tahun 2018, beliau menulis dan menerbitkan buku bertajuk Mengapa Mahathir?. Selepas PH menang, beliau menerbitkan buku Revolusi Tanpa Darah.

Apabila kerajaan PH tumbang pada tahun 2020, beliau bercadang menulis buku bertajuk Kudeta Tanpa Darah tetapi kesihatannya tidak mengizinkan. Lutfi meninggal dunia pada tahun 2022.

Kehidupan demokratik tidak dicorakkan oleh kewartawanan arus perdana semata-mata. Kewartawanan alternatif adalah sebahagian daripada kehidupan media nasional yang bersifat inklusif melibatkan pelbagai fahaman politik. 

Kewartawanan bukanlah untuk berkhidmat untuk menyokong atau mendukung kekuasaan semata-mata. Ia mempunyai nilai dan etikanya sendiri bagi menyumbang kepada kebenaran dan keadilan.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.