KOLUM | Jiwa hamba masyarakat Melayu
KOLUM | Masalah keterpinggiran masyarakat tradisi boleh diselusuri dengan memahami struktur dan psikologi masyarakat itu sendiri. Gullick membahagikan masyarakat Melayu kepada dua: golongan pemerintah, dan golongan yang diperintah (rakyat).
Budaya hidup Melayu pula berpaksikan pada raja sebagai titik pemusatan aktitiviti dalam masyarakat.
Nilai utama dalam politik Melayu ialah taat setia kepada raja dan kerajaan. Kewujudan kerajaan pada asasnya adalah kewujudan raja.
Inggeris menyedari psikologi orang Melayu apabila mereka mengadakan hubungan terus dengan golongan raja sebelum membawa agenda lain.
Anthony Milner menyatakan bahawa insititusi "kerajaan" adalah sesuatu yang sangat penting dalam budaya politik Melayu terutama apabila merujuk abad ke-19.
Konsep "kerajaan" telah dikembangkan kepada elit ahli politik tanpa meminggirkan golongan raja sebagaimana yang berlaku di tempat lain yang nekad membuang raja-raja mereka.
Dalam konteks politik, orang Melayu tidak begitu mementingkan persoalan ideologi, prinsip atau nilai perjuangan. Menyanggah pandangan atau tindakan kepimpinan semasa bermakna derhaka dan menempah kesukaran.
Memberi atau menjamin kekayaan golongan raja dan pemimpin yang berkuasa adalah satu lagi budaya politik orang Melayu.
Pengamatan John Anderson terhadap masyarakat di Sumatera Timur, seorang raja Melayu hanya boleh dikatakan kaya atau berdarjat jika mempunyai ramai pengikut. Justeru kecenderungan pemimpin Melayu dikelilingi para pengikutnya bagi memudahkan pemimpin mengagihkan baki kekayaannya.
Pemimpin sebegini mementingkan protokol, tertib dan taraf. Oleh sebab itu, persoalan taraf, nama, gelaran dan pangkat menjadi ukuran dalam politik Melayu.
Ukuran-ukuran itu tidak objektif tetapi sangat bergantung kepada kelaziman masyarakat.
Raffles mahu dihentikan
Semasa kami mengkaji Surat-Surat Francis Light di perpustakaan SOAS, London, saya membaca beberapa pucuk surat daripada para pembesar Melayu terutamanya kepada Gabenor Pulau Pinang itu.
Antaranya surat daripada Raja Laksamana. Ada cerita tentang hamba, kuasa dan perdagangan.
Dalam tulisan Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali tentang Pasir Salak, ada diceritakan tentang hamba. Dicatatkan dua hamba Sultan Abdullah - Tipah dan Senai - melarikan diri ke Bandar Baru. Bandar, pangkalan Inggeris di Pasir Salak.
Ketika itu semua hamba terdiri daripada orang Melayu. Melayu pinggiran yang dijadikan hamba oleh orang Melayu yang perdana kuasanya.
Suatu ketika pernah perdagangan hamba diterima sebagai satu perniagaan yang sah. Filem 3 Abdul karya P Ramlee adalah satu kritikan sosial. Elit Melayu sama ada daripada kalangan kelompok istana, aristokrat, birokrat dan juga saudagar adalah pemain utama dalam perdagangan hamba dan sistem perhambaan di alam Melayu. Sama juga di dunia Barat.
Snouck Hurgronje juga mencatatkan perdagangan budak di Mekah. Tidak banyak dihuraikan tentang perdagangan budak (hamba) itu melainkan dinyatakan bahawa kebanyakan budak itu datang dari tempat bukan Islam.
Apabila Abdullah Munsyi menceritakan tentang hamba Melayu yang dilayan kasar oleh tuannya (kebetulan keturunan Bugis), Raffles kata amalan itu harus dihentikan.
"Di Barat sudah hapuskan amalan perhambaan," kata Raffles bangga tanpa dia menyedari bangsanyalah juga yang memperdagangkan orang Afrika, semahu-mahunya.
Hamba yang bekerja di bawah tuannya telah kehilangan harga diri dan kemerdekaan. Laungan merdeka yang bergema tidak akan dapat memasuki gegendang telinga. Apatah lagi hendak masuk ke dalam hati Melayu hamba.
Denda tebus hamba lari
Berkibarlah bendera merdeka berpuluh-puluh kali, nyanyilah lagu Negaraku hingga ke pagi, jiwa Melayu masih dalam perhambaan meski negara berpuluh tahun merdeka.
Sewaktu membuat kajian manuskrip tentang surat-surat Laksamana Perak kepada Francis Light, ada beberapa pucuk surat yang menceritakan tentang hamba.
Perdagangan hamba memang dibenarkan sama tarafnya dengan jual beli kayu, kain, senjata dan juga candu. Begitulah secara umum tulisan kami yang dibentangkan dalam satu seminar di tengah-tengah kota kapitalis Kuala Lumpur.
Kewujudan hamba dalam sistem sosial di tanah Melayu termasuk juga Perak adalah lebih awal sebelum kedatangan Inggeris lagi. Menurut Gullick, sebahagian daripada mereka adalah orang Indonesia. Sebahagian yang lain terhasil disebabkan oleh belenggu dengan hutang.
Menurut Abdur-Razzaq Lubis, Pulau Pinang menjadi pusat perdagangan hamba abdi yang aktif.
Hamba dari seluruh kepulauan Nusantara termasuk Melayu, Batak, Jawa dan bangsa lain dijual beli di Pulau Pinang.
Bagaimanapun hamba yang paling digemari adalah perempuan dan budak lelaki dari Pulau Nias di pantai barat Sumatera.
Ia disebabkan gadis-gadis Nias mempunyai perwatakan yang lebih cantik dan cerah kulitnya.
Hamba turut menjadi topik perbincangan antara Laksamana Perak dengan Light. Sepucuk surat daripada Laksamana Perak mencadangkan jalan penyelesaian isu hamba yang lari.
Laksamana mencadangkan kepada Light agar jika ia berlaku hendaklah dikenakan denda sebanyak enam rial sebagai tebusan.
Dalam surat yang lain sebagai menjaga nama baik negeri, Laksamana Megat memaklumkan kepada Light bahawa hamba yang melarikan diri dari Pulau Pinang akan dicari di Perak dan berjanji akan menghantar pulang jika didapat ditangkap.
Begitulah eratnya hubungan kelas kapitalis memperdagangkan manusia.
Sebuah rekod British yang bertajuk Papers Relations to Slaves in the Colonies keluaran Session 29 Jan – 28 July 1824 Vol XXV mencatatkan nama Marie Antoinette yang berusia 32 tahun sebagai salah seorang hamba dalam kolum ‘race’ sebagai ‘Malay’ yang berharga £47.
Itu adalah tentang wanita Melayu diperhambakan oleh orang Inggeris.
Hakikatnya, perhambaan wujud dalam masyarakat Melayu sendiri. Melayu memperhambakan Melayu. Ada Melayu menjadikan orang asal sebagai hamba mereka.
Sebuah novel tulisan Mahat a/l China atau nama penanya Akiya bertajuk ‘Hamba’ dan ‘Perang Sangkil’ menceritakan tentang kehidupan orang asal yang menjadi hamba orang Melayu.
Novel sejarah itu diterbitkan oleh Center For Orang Asli Concerns (Pusat Prihatinan Orang Asli) pada 2013.
Sifat kelompok berkuasa yang tiada nilai kepimpinan tinggi akan sentiasa menekan dan menindas kelompok manusia yang tidak berkuasa, lemah dan tidak mempunyai pengetahuan.
Latar belakang yang panjang tersebut hanya dalam lipatan sejarah. Lebih malang, sejarah itu sering berulang kembali.
(Artikel ini diubah suai dari kertas kerja dibentangkan penulis dalam Kongres Masyarakat Terpinggir anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya Akademi Pengajian Melayu pada 25 Mei lalu.)
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai