Skip to main
Logo Malaysiakini

BELASUNGKAWA | Semua orang pasti ada cerita baik tentang Pyan

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

BELASUNGKAWA | Biar kami mulakan semula.

Semua orang pasti ada cerita tentang baiknya Pyanhabib dan ini pula adalah cerita kami.

Semasa mula-mula mahu bersungguh dalam melukis, hampir setiap bulan kami akan ke galeri-galeri di sekitar Kuala Lumpur untuk melihat pameran. Dan antara galeri yang sering kami lawati ialah Galeri RA yang pada waktu itu terletak di Jalan Aman.

Dalam salah satu lawatan itu kami ternampak Pyan sedang ralit melayan pameran.

Sebelum itu, selain melukis kami juga menulis secara kecil-kecil di medium dalam talian. Kami menggunakan nama pena Osman Tikus. Tulisan kami pada waktu itu banyak tertumpu kepada puisi dan ia dipaparkan di ruang-ruang forum di internet.

Pernah sekali kami dihubungi oleh Pyan melalui e-mel. Kami lupa sebabnya. Mungkin juga kerana kami menggunakan nama Osman Tikus.

Setelah itu kami tidak pernah lagi berhubung dengan dia, sehinggalah pada detik pertemuan yang tidak dirancang di Galeri RA yang kami ceritakan tadi.

Dalam berdebar, kami tegur dia, dan seperti yang semua orang tahu dia akan membalas siapa pun yang menegurnya dengan senyuman.

Jadi penunjuk jalan

Lalu kami pun memperkenalkan diri dan memberitahu yang kami ialah Osman Tikus yang pernah lama dulu berutus e-mel dengan dia.

Pyan mengingati peristiwa tersebut dan segera menarik tangan kami. Dibawanya kami bertemu dengan Zurina, isterinya. Dan dari situlah kami mula bersahabat.

Selepas pertemuan tersebut, setiap kali kami ke Kuala Lumpur, sebelum masuk ke kota raya tersebut kami akan singgah untuk minum kopi dan bersembang dengan Pyan.

Biasanya kedai mamak di kawasan Melawati adalah pusat persinggahan yang kami berdua persetujui.

Setelah selesai semua urusan di Kuala Lumpur, dalam perjalanan pulang kami sekali lagi akan minum sebelum mengucapkan selamat tinggal untuk bertemu lagi.

Dan bila-bila kami perlu ke mana-mana di dalam bandar raya Kuala Lumpur, dia akan jadi penunjuk jalan. Beritahu saja ke mana, pasti dibawanya.

"Gua sudah seratus tahun duduk KL," kata dia.

Mungkin kerana menyangka kami ini ahli menyampaikan puisi depan orang ramai, dalam satu majlis di Galeri RA dia telah mencadangkan nama kami sebagai salah seorang pendeklamasi.

Kami yang tidak pernah dan tidak mahu pernah naik ke pentas ini pun setuju dek kerana teruja atas peluang yang diberikan.

Kami meminta Meor Pesta Jiwa untuk mengiringi persembahan kami dengan petikan gitarnya. Harapan kami adalah, "bior orang kolompo tahu terrer tak terrer-nya orang Kontan" dalam hal membaca sajak.

Hasilnya, persembahan sulung kami itu menjadi persembahan terakhir. Kami memalukan diri sendiri dan juga Pyan.

Gembira macam selalu

Mengenai pameran, untuk pameran Sesat Di Kuala Lumpur yang akan diadakan sedikit masa lagi, kami memilih lagu Balada Osman Tikus sebagai tema.

Ada lukisan figura Pyan di sudut paling bawah karya berkenaan. Sengaja kami letakkan disitu kerana kami yakin yang Pyan akan datang ke pameran yang meraikan sahabat karibnya, M Nasir itu.

Harapannya, dengan melihat figuranya itu dia akan gembira.

Selain menjadi saing minum kopi dan penunjuk arah, ada masanya kami berdua akan keluar dari Kuala Lumpur hanya untuk bersiar-siar. Pernah hingga ke Kuala Lipis kami berdua terjah.

Sebelum kenal Pyan, kami tidak pernah mengadakan pameran luar dari Kuantan. Pameran pertama kami di Kuala Lumpur ialah di Galeri RA.

Untuk makluman semua, pada masa itu jika Galeri milik Pak Engku Raja Ahmad itu mengadakan pameran, maka akan ramai pengunjungnya.

Pertama kerana galeri tersebut sememangnya sebuah galeri yang terkenal; dan kedua, seperti kata Sinaganaga: makanan dia sedap!

Kami mengandaikan yang jemputan untuk berpameran itu juga datangnya daripada unjuran Pyan kepada pihak pengurusan galeri tersebut.

Setelah beberapa tahun, kami jarang bertemu. Kali terakhir ialah di Galeri HOM baru-baru ini. Kami duduk berbual dan seperti selalu dia kelihatan gembira.

Siang semalam kami bertemu Sinaganaga dan dia memberitahu kami yang Pyan tidak sihat. Kami mencadangkan untuk pergi berziarah dia dalam masa satu atau dua hari lagi.

Rupa-rupanya Tuhan mempercepatkan waktu dan insya-Allah kami akan ke rumahnya esok.

Selamat jalan Pyan. Aku saksi kebaikan kamu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.