Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ulang tahun BN ke-50 dan 1974 yang penuh makna

Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

KOLUM | Pada 1 Jun lalu, BN menyambut ulang tahunnya ke-50. Tarikh 1 Jun 1974 adalah ketika mana BN secara rasminya didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Tetapi penubuhan asasnya dilakukan pada 1 Januari 1973.

Turut menyambut ulang tahun ke-50 ialah hubungan diplomatik Malaysia dengan Republik Rakyat China. Perjanjian untuk hubungan itu dimeterai pada 31 Mei 1974. Petronas juga akan menyambut ulang tahunnya yang ke-50 pada 17 Ogos ini.

Tahun 1974 juga menyaksikan pilihan raya umum (PRU) diadakan pada 24 Ogos dengan kemenangan besar diperoleh BN yang menubuhkan kerajaan pertamanya - dengan mengambil kira bahawa sebelum itu Malaysia diperintah oleh Perikatan - walaupun parti dominan tetap juga Umno.

Tetapi di penghujung tahun 1974, iaitu pada 3 Disember, satu demonstrasi pelajar besar-besaran yang mempertikaikan dasar-dasar kerajaan telah diadakan di Kuala Lumpur.

Apabila disebut ulang tahun ke-50 penubuhan BN, maka turut boleh diperingati ialah ulang tahun ke-50 perlawanan terhadap BN. Pada tahun 1974, parti-parti utama yang menolak BN ialah DAP, Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) dan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas).

Termeterainya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China adalah suatu peristiwa politik besar bagi negara ini. BN didaftarkan penubuhannya selepas bermulanya hubungan Kuala Lumpur-Beijing.

Tun Razak

Sekembalinya beliau dari Beijing, Tun Razak Hussein disambut perhimpunan raksasa di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka). Di sana, beliau mengisytiharkan penubuhan BN. Gambar perhimpunan itu disiarkan di muka depan di semua akhbar keesokannya harinya.

Sebelumnya, gambar pertemuan Tun Razak dengan Mao Zedong disiarkan di muka depan semua akhbar. Gambar ini juga dijadikan bahan kempen PRU pada tahun itu. Pada masa itu Republik Rakyat China belum lagi bersifat terbuka dan mengamalkan sistem pasaran.

Bagaimanapun, negara itu telah merintis hubungan dengan Amerika Syarikat dengan Presiden Richard Nixon mengadakan lawatan ke China pada tahun 1972. Perkembangan itu boleh berlaku kerana adanya krisis hubungan Beijing dengan Moscow.

Dengan perjanjian hubungan Malaysia-China, Beijng menghentikan sokongan dan bantuan kepada Parti Komunis Malaya (PKM). Pada mulanya, ia membezakan antara hubungan negara dengan negara serta parti dengan parti. Tetapi selepas perjanjian itu, Pengerusi PKM Musa Ahmad yang telah menghentikan perjuangannya dibawa pulang dari Beijing pada tahun 1980.

Maka akhirnya Parti Komunis China (CCP) menjalin hubungan dengan BN. Semasa majlis pembukaan Perhimpunan Agung Umno pada tahun-tahun 1980-an, wakil dari parti-parti komunis dunia yang memerintah turut diundang sebagai tetamu. Pada tahun-tahun 2010-an, pertemuan-pertemuan antara CCP dan BN pernah diadakan. Akhirnya PKM dibubarkan pada tahun 1989 dengan perjanjian damai antara Malaysia, Thailand dan parti itu.

Perjanjian hubungan diplomatik dengan China itu meraih sokongan kaum Cina kepada BN. MCA, Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) memperoleh undi mereka dan bilangan kerusi DAP berkurangan.

Tun Razak bersama PM pertama China, Zhou Enlai

Terhadap pengundi Melayu, BN sudah lebih awal berjaya meraih dukungan. Ini kerana teras BN itu sendiri adalah pakatan Umno-PAS melalui penubuhan kerajaan campuran di Kelantan dan persekutuan pada 1 Januari 1973.

Bagi mengelak dituduh sebagai pakatan orang Melayu menguasai negara, penubuhan kerajaan campuran dimulakan di Pulau Pinang, iaitu antara Perikatan dan Gerakan pada tahun 1972 sebelum bersama PAS di Kelantan.

Pada Jun 1974, Pesta Pembangunan Kebangsaan diadakan di Stadium Negara yang merupakan suatu acara menggembleng sokongan orang Melayu terhadap BN. Acara itu memberi harapan dan semangat orang Melayu yang ketika itu tertumpu di bidang pertanian dan berada di luar bandar. Tun Razak dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan.

Maka dalam PRU tahun 1974, orang Melayu memberi sokongan padu kepada kerjasama Umno-PAS. Satu-satunya parti pembangkang Melayu utama, PSRM gagal memperoleh sebarang kerusi.

Dalam kabinet baru pimpinan Tun Razak, beliau telah membawa masuk Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi menteri pelajaran. Maka Dr Mahathir perlu menangani demonstrasi pelajar universiti. Antara pemimpin pelajar yang terlibat dengan demonstrasi itu ialah Anwar Ibrahim yang memegang jawatan presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Ketika itu, saya berada di tingkatan tiga dan baru sedar dan minat terhadap politik. Oleh itu saya pun turut teruja dengan penubuhan BN yang memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia setelah berasa terpukul ekoran berlaku Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969.

Dengan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), kempen Muhibbah antara kaum, perisytiharan Rukun Negara sebagai ideologj nasional, kerajaan campuran di Pulau Pinang dan Kelantan, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dan kesemuanya untuk memulihkan semangat rakyat. Puncaknya adalah penubuhan BN yang akhirnya menang besar dalam PRU.

Untuk tujuan itu, semua media massa dikerah untuk menyokong visi dan aspirasi BN. Pada masa itu, media yang ada ialah radio, akhbar dan televisyen; semuanya dikuasai oleh kerajaan atau parti politik pemerintah. Media yang paling luas sasarannya adalah radio khususnya Rangkaian Nasional. Televisyen masih terhad. Edaran akhbar juga terhad.

Jadi saya sering mendengar radio mengenai dasar dan aktiviti kerajaan. Kesemuanya adalah mengenai pembangunan, baik tentang Buku Merah, Bilik Gerakan, Buku Hijau mahupun kata-kata motivasi yang disampaikan melalui lagu-lagu patriotik seperti Muhibah dan Jaya Diri.

Ada satu lagu yang berbentuk memberi harapan setiap pagi dengan pembukaan liriknya berbunyi: “Di Timur Sinar Suria Mulai Terang”, begitu juga dengan lagu Bapa Pembangunan yang dimulakan dengan kata-kata: “Kepadamu Bapa Pembangunan, Ini Janji Kami.” Ia adalah untuk mengajak rakyat supaya menyokong Tun Razak, BN dan kerajaan. Tidak ada sebab untuk rakyat menolak BN.

Selain mendengar radio, saya membaca akhbar-akhbar di perpustakaan sekolah. Gambarannya adalah Malaysia merupakan negara membangun yang mempunyai masa depan cerah.

Pada mulanya, Tun Razak mahu menubuhkan sebuah kerajaan merangkumi semua parti yang ada. Beliau menjemput semua parti yang ada termasuk pembangkang iaitu PAS, Gerakan, PPP, DAP dan PSRM. Bagi Tun Razak, kerja-kerja politik mesti diminimumkan supaya tumpuan boleh diberikan kepada pembangunan. Sebab itu nama yang diberikan adalah National Front. Istilah asal adalah dalam bahasa Inggeris.

Nama National Front semasa Perang Dunia Kedua digunakan untuk menyatukan kumpulan-kumpulan di Perancis yang berjuang menentang Nazi Jerman. Ia diasaskan oleh ahli Parti Komunis Perancis. Tetapi kini National Front di United Kingdom dan Perancis adalah nama parti aliran kanan-jauh (far-right) yang anti imigran.

Pada awal 1970-an, istilah “barisan” dan “nasional” belum biasa digunakan. Kalau di Indonesia, istilah-istilah itu biasa digunakan. Malah semasa Revolusi Indonesia pada tahun 1945, ada sebuah pertubuhan yang bernama Barisan Nasional bertujuan mempertahankan harta benda milik negara ekoran pengunduran pihak Belanda.

Di Malaya dan Malaysia, istilah yang digunakan untuk “nasional” adalah “kebangsaan.” Sebab itu Umno itu bernama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, bukannya pertubuhan nasional.

Hanya selepas 1970-an barulah muncul perkataan nasional dengan meluas seperti Perbadanan Nasional (Pernas), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Amanah Saham Nasional (ASN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang juga ditubuhkan pada tahun 1974.

Istilah “front” pula mula digunakan oleh Socialist Front iaitu gabungan Parti Rakyat Malaya, Parti Buruh dan National Convention Party. Malah apabila disebut dalam bahasa Melayu, ia dieja “Fron Sosialis.” Tetapi rakan seideologi mereka di Singapura yang merupakan pecahan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), menamakan parti baru mereka sebagai Barisan Sosialis. Malah dalam bahasa Inggeris pun, ia tetap memanggil diri mereka sebagai “Barisan Sosialis” dan bukannya Socialist Front.

Tun Razak mengambil dacing sebagai lambang BN. Ia mengekalkan biru tua Perikatan sebagai warna BN, iaitu seperti biru pada bendera kebangsaan. Lambang dacing mencerminkan tema kempen BN semasa PRU tahun 1974 iaitu “masyarakat adil”.

Kalau dalam bahasa Inggeris, ia disebut sebagai “social justice” yang merupakan konsep perjuangan kiri. Ia juga tergambar dalam matlamat DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Dari segi zahir, ia adalah suatu dasar progresif untuk keadilan. Tetapi dari segi perincian, baru dapat ditemui unsur-unsur perkauman dan konservatif.

Saya membaca satu berita dalam Utusan Malaysia pada tahun 1973 di mana Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah lambang BN itu. Ini kerana CAP telah lebih awal menggunakan lambang itu. Maksud lambang CAP ini adalah untuk mendapatkan keadilan bagi pengguna, dan dalam membeli-belah, dacing merupakan alat penting. Maka BN pun jawab bahawa reka bentuk dacing BN tidak sama dengan lambang CAP.

Kemudian timbul cadangan dupaya BN menggunakan kependekan Bernas. Tetapi cadangan itu ditolak. Banyak tahun kemudian Bernas menjadi nama bagi Padiberas Nasional Berhad.

Dalam keadaan BN menguasai media massa, saya cuba mencari suara-suara pihak pembangkang. Maka saya terjumpa juga akhbar rasmi parti pembangkang iaitu Mimbar Sosialis (PSRM), The Rocket (DAP) dan Matahari (Pekemas).

Tun Razak mengundang parti pembangkang supaya menyertai BN. PAS, Gerakan dan PPP menerimanya manakala DAP dan PSRM menolak. Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) juga enggan menyertainya.

Oleh kerana BN memerintah negara dari tahun 1974 hingga 2018, maka mereka telah membentuk rupa negara ini. Jika “negara terpendam” iaitu “deep state” benar-benar wujud, ia adalah hasil dari kepimpinan mereka. Sebarang perubahan besar yang hendak dibawa oleh mana-mana parti politik lain yang memerintah perlu mengikut kerangka ini sebelum dapat melaksanakan reformasi.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.