Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sains tonggak pembinaan negara

Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

Minggu lalu ada seorang bekas pelajar yang pernah dapat banyak A dalam keputusan SPM dilaporkan meninggalkan pengajian sains di peringkat ijazah sebab merasakan bahawa “fizik kuantum menjauhkan dirinya daripada agama”.

Dalam negara demokratik seperti Malaysia, semua warga negaranya bebas untuk memilih kepercayaan dan jalan hidup masing-masing,

Tetapi jika banyak pelajar sains yang cemerlang memilih untuk meninggalkan pengajian sains atas apa jua sebab, maka negara akan kerugian tenaga sains dan pasti ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan.

Pernyataan jelas bahawa negara ini meletakkan sains sebagai tonggak negara terdapat dalam Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Di bahagian pertama Rukun Negara, ada disebut bahawa “Malaysia mendukung cita-cita hendak membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden”.

Namun begitu, sejak merdeka lagi negara mendukung bukan saja penggunaan sains dan teknologi tetapi juga pengajiannya. Fakulti Sains di Universiti Malaya memulakan sesi pengajiannya pada tahun 1959 dengan empat jabatan iaitu Botani, Kimia, Matematik dan Zoologi. Jabatan Fizik pula ditubuhkan pada tahun 1964.

Biasiswa juga diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajarannya di Singapura dan United Kingdom dalam bidang sains, perubatan dan kejuruteraan.

Sebenarnya, asal usul ilmu sains di negara ini telah disemai oleh kerajaan kolonial. Britain menggunakan sains untuk meningkatkan pendapatannya dari penjajahan mereka ke atas Malaya.

Institut Penyelidikan Getah (IRR) ditubuhkan pada tahun 1925 dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tahun 1901 berperanan besar untuk memerangi malaria dan memelihara kesihatan para pekerja ladang milik orang British.

Mereka juga menubuhkan Kolej Pertanian Serdang dan Kolej Teknik Cheras untuk melahirkan tenaga-tenaga mahir dalam bidang pertanian dan teknikal bagi membantu peningkatan hasil dari usaha-usaha peladangan iaitu getah dan pelombongan iaitu bijih timah.

Pentadbiran kolonial juga memperkenalkan silibus dan peperiksaan Universiti Cambridge dalam bidang sains. Aliran-aliran sains diperkenalkan di sekolah-sekolah utama di seluruh Malaya dan Singapura. Buku-buku sains British juga dibawa masuk dan mengisi perpustakaan sekolah dan awam.

Bagi masyarakat Melayu pula, pengenalan terhadap sains mula datang pada kurun ke-19. Pada awalnya sains dipanggil “ilmu kejadian.” Buku awal sains bahasa Melayu diterbitkan dalam tulisan jawi dan mengenai haiwan-haiwan di Malaya.

Tetapi penyebaran ilmu sains secara besar-besaran hanya berlaku pada tahun 1970-an dengan menyedari perlunya Bumiputera turut menguasai bidang sains dan teknologi untuk membangunkan negara dan meningkatkan pendapatan rakyat. Lebih-lebih lagi selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), penyusunan semula masyarakat hanya boleh berlaku jika Bumiputera juga turut menyertai bidang sains.

Namun begitu, untuk meningkatkan bilangan pelajar sains Bumiputera bukanlah sesuatu mudah. Mata-mata pelajaran sains dan matematik dirasakan jauh lebih susah berbanding sastera. Kebanyakan pelajar Melayu lebih gemar mengambil aliran sastera berbanding sains.

Pada tahun 1970-an, kerajaan menggalakkan pelajar-pelajar Bumiputera berpotensi dari seluruh pelosok negara untuk memasuki aliran sains dengan memberikan bantuan dan kemudahan tinggal di asrama supaya dapat bersekolah di bandar yang mempunyai kemudahan pendidikan sains.

Cabaran besar bagi pendidikan sains di negara ini ialah ia diajar dalam bahasa Inggeris. Buku-buku juga dalam bahasa Inggeris. Sedangkan kebanyakan mereka adalah pelajar-pelajar di sekolah-sekolah Melayu yang kurang menguasai bahasa Inggeris.

Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan kerajaan telah melaksanakan suatu program besar dengan mendirikan banyak sekolah menengah kebangsaan di seluruh negara yang menggunakan bahasa Melayu bagi aliran sains.

Cabarannya ialah tidak cukup tenaga pengajar sains bukan saja bagi sekolah aliran bahasa Melayu tetapi juga bagi aliran bahasa Inggeris. Untuk sekolah kebangsaan jenis bahasa Inggeris, guru-guru dari United Kingdom dan Amerika Syarikat turut dibawa masuk.

Untuk sekolah kebangsaan, guru-guru dari Indonesia turut datang mengajar. Maka banyaklah istilah-istilah bahasa Indonesia digunakan bagi pengajaran sains. Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diarahkan supaya menerbitkan buku-buku sains bahasa Inggeris yang diterjemahkan kepada bahasa Melayu.

Selain pengenalan aliran sains di sekolah-sekolah berasrama penuh, kerajaan juga membina Sekolah-sekolah Menengah Sains dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan pelajar-pelajar cemerlangnya dihantar melanjutkan pelajaran keluar negara.

Universiti kedua negara diubah namanya dari Universiti Pulau Pinang kepada Universiti Sains Malaysia (USM). Sementara Universiti Malaya kekal menggunakan bahasa Inggeris, kerajaan menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu. Maka ia turut menambah khazanah buku-buku sains dalam bahasa Melayu.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, sekolah-sekolah di negara ini masih kekurangan guru sains. Maka Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Nalaysia (UTM) mengadakan program pendidikan besar-besaran untuk menghasilkan guru-guru sains peringkat diploma untuk mengajar di sekolah-sekolah.

Perjuangan pendidikan sains di negara ini bukanlah suatu perkara mudah. Selain daripada menyediakan infrastruktur dan fasiliti pendidikan, turut penting adalah menyemai minat terhadap sains, matematik dan teknologi. Ia petlu disemai dari kecil. Maka pendidikan sains di peringkat sekolah rendah juga penting bagi melahirkan para saintis.

Tetapi pendidikan sains bukan hanya untuk memenuhi keperluan tenaga pekerja dalam proses pembangunan negara. Turut penting ialah kesadaran sains dan celik sains dalam masyarakat. Maknanya pendidikan sains dalam bentuk mata pelajaran Sains Am untuk semua pelajar termasuk yang bukan dalam aliran sains adalah juga penting. Ini kerana kesedaran sains mengajak seseorang untuk bersikap logik dan rasional dalam cara mereka berfikir. Celik sains pula bermaksud mempunyai minda yang terbuka terhadap fenomena alam semula jadi dengan memiliki ilmu pengetahuan yang besar. Maknanya dengan celik sains, seseorang tidaklah mudah mempercayai perkara-perkara yang tidak masuk akal atau tidak berasas. Maka pendidikan sains juga bertujuan melahirkan masyarakat saintifik, sesuatu yang belum tercapai.

Namun dari awal lagi, tidak ada bantahan dari sudut agama terhadap ilmu sains. Di Kolej Islam Klang yang ditubuhkan pada tahun 1955 dan diambil alih oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1967 serta dijadikan salah sebuah sekolah berasrama penuh pada tahun 1972, aliran sains turut diperkenalkan dengan pelajar juga dihantar keluar negara untuk menyambung pengajian.

Bagaimanapun pada akhir 1979-an dan awal 1980-an, berlaku apa yang disebut sebagai “Kebangkitan Islam” di seluruh dunia yang ditandai dengan Revolusi Islam Iran dan minat terhadap agama oleh anak-anak muda.

Di universiti-universiti tempatan, muncul minat besar terhadap agama di kalangan para pelajar terutama yang mengambil bidang sains dan kejuruteraan. Mereka mengubah penampilan dan gaya hidup. Banyak pelajar wanita memakai skaf dan kemudiannya tudung. Persatuan-persatuan Islam menjadi aktif, begitu juga dengan gerakan dakwah.

Di United Kingdom juga, pelajar-pelajar Melayu dalam pengajian sains dan kejuruteraan turut cenderung kepada agama dan aktif dalam kumpulan-kumpulan dakwah.

Pada tahun 1990-an, banyak pula ibu bapa yang suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama dan mengambil aliran agama. Untuk menampung permintaan ibu bapa, banyak sekolah agama didirikan. Kalau keadaan ini meningkat dengan meluas, aliran sains akan kekurangan pelajar cemerlang. Maka diperkenalkan juga aliran sains di sekolah-sekolah agamam Malah Universiti Islam Antarabangaa (UIA) mempunyai fakulti sains. Kerajaan juga membina Kolej Universiti Sains Islam Malaysia (KUSIM), kini dikenali sebagai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Apabila pada tahun 2000-an, banyak ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak ke tahfiz, maka kerajaan turut membina tahfiz. Bagi memastikan para pelajar turut memasuki aliran sains, maka diperkenalkan “tahfiz sains”. Selain daripada menjadi hafiz dan belajar agama, pelajar berkaitan turut belajar sains dan berada dalam aliran sains.

Sejak tahun 1995, saya tertarik untuk membaca buku-buku sains popular yang meliputi tajuk-tajuk mencabar seperti Teori Evolusi, fizik kuantum, astronomi dan kosmologi.

Bagi saya, sains tidak pernah mengajak seseorang untuk mempercayai sesuatu. Sains bukan agama. Para saintis hanya memaparkan hasil kajian mereka.

Banyak saintis beragama Islam yang pastinya berasa sains tidak menjauhkan diri mereka daripada agama. Sebaliknya ada daripada mereka melihat sains sebagai kaedah menyerlahkan kehebatan alam yang menunjukkan keagungan Pencipta. Maknanya, terpulang pada setiap individu untuk melihat alam, iaitu sama ada ia menjauhkan diri daripada agama atau sebaliknya, iaitu sains mendekatkan lagi seseorang pada Penciptanya.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.