Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sangkaan kita dah meleset

Artikel ini sudah 15 hari diterbitkan

KOLUM | "Untung seratus lebih!" kata Nobi.

Dia menjual air kotak di dalam Stadium Darul Makmur pada setiap kali ada acara bola sepak disitu.

Budak-budak yang tinggal di Transit Quarters, kuarters pekerja kerajaan yang berhampiran dengan stadium tersebut, memang selalu akan berniaga di sana bila ada apa-apa acara.

Bola sepak pula tentu saja satu acara besar pada waktu itu.

Jika tidak berniaga, mereka akan bertugas sebagai ball picker dengan bayaran RM10 setiap perlawanan. Min juga - semasa masih sangat remaja - ada berjual di sana.

Nobi pada waktu itu tinggal dengan kakaknya, Nor, di Transit. Ada sekali kami mengikut dia berniaga di sana.

Suami Kak Nor, Abang Zainal, ialah kakitangan kerajaan, maka dia layak untuk mendiami kuarters berkenaan.

Kami rajin juga menonton bola sepak di stadium. Semasa masih budak, kami akan mengikut Buyung, tukang kebung dan juga water boy bagi pasukan Pahang waktu itu.

Buyung juga seorang tukang urut untuk pasukan tersebut. Memang jika di rumah pun dia ada menyediakan perkhidmatan mengurut.

Kami tinggal sekampung. Satu atau dua hari sebelum ada perlawanan, Buyung biasanya akan bertanya sama ada kami mahu mengikut dia ke stadium atau tidak.

Melompat nak ke stadium

Jika kami mahu, kami perlu bersedia seawal jam 1 tengah hari kerana dia akan mengambil kami di rumah semasa dia pulang makan. Kami membonceng motosikalnya untuk ke stadium.

Dari situ kami melihat dari dekat akan Abdah Alif, Jamal Nasir, D Devendran, Rosmaini Mohd Shah, Tajudin Noor dan ramai lagi legenda pasukan bola sepak Pahang.

Melihat mereka dari dekat sememangnya mengujakan. Tambahan pula pemain-pemain bola sepak pada zaman itu sangat rugged. Tidak seperti pemain bola sepak sekarang yang jika tersilap pandang kita sangkakan adalah anggota kumpulan budak-budak BTS.

Mungkin David Beckham boleh dipersalahkan dalam hal ini. Dia adalah pemula. Selepas Beckham, semua pemain bola sepak adalah jambu. Tiada lagi pemain yang 'jantan' seperti Socrates, Zico atau sekurang-kurangnya yang boleh dimaafkan, Kevin Keegan.

Setelah dewasa, kami akan ke stadium bersama Stone dan Fairuz. Biasanya kami akan bersembahyang Isyak di Surau Transit Quarters.

Sebaik saja imam memberi salam akhir, kami bertiga melompat berkejar ke stadium yang terletak lebih kurang 200 meter dari situ.

Namun jika perlawanan hari itu tidak begitu penting, kami akan masuk ke stadium ketika separuh masa kedua, yakni setelah selesai sembahyang Isyak. Pada waktu-waktu hampir habis perlawanan biasanya pintu stadium akan dibuka dan waktu itulah kami masuk untuk menonton secara percuma.

Pernah sekali semasa sedang mencari-cari di mana hujungnya barisan panjang manusia yang beratur untuk masuk, kami terpandang seorang ustaz yang kami kenal baik. Dia berada berhampiran pintu masuk.

Kami bertiga mengira-ngira dan membuat Keputusan - yakni berdasarkan kedudukan dia dalam barisan dan kami yang masih muda dan tergesa-gesa ini berlari ke stadium - dia belum sembahyang Isyak.

Rasanya itu adalah benih pertama yang kami semai dalam hal mencari salah orang beragama. Kamu pula, bila?

Ketaasuban yang melampau

Penjaga gawang pasukan Pahang yang sedikit kemudian - iaitu Khairul Azman - tinggal berhampiran dengan rumah kami. Pada waktu petang-petang, semasa masih kanak-kanak, dia akan membawa sebiji bola dan mengajak kami bermain di tapak pembinaan perumahan yang terbengkalai.

Di atas tanah merah itulah dia mengasah bakat sehingga menjadi penjaga gol nombor satu negara.

Kemudian negara digemparkan dengan skandal rasuah bola sepak yang membuatkan pasukan negara kita rebah dan sejak itu tidak pernah lagi bangun.

Bayangkan, dari sebuah pasukan yang dihormatinya di dunia sebelah sini, kita kini adalah pasukan ‘cap ayam’. Mengais-gais mencari keunggulan yang pernah kita kecapi.

Selepas peristiwa berkenaan kita jarang lagi mendengar cerita-cerita sensasi bola sepak sehinggalah baru-baru ini.

Hati kita jadi tersentuh apabila melihat akan fizikal Faisal Halim. Dengan luka di kepala, muka dan juga tangannya. Kita jadi hiba apabila memikirkan yang itu semua terjadi hanya kerana bola sepak.

Mengapa hingga begitu jahat dia diperlakukan?

Semasa berita pemain Colombia, Andres The Gentelman Escobar, dibunuh kerana menjaringkan gol sendiri di Piala Dunia 1994, kita menganggap itu sebagai aneh.

Ketaasuban melampau kepada bola sepak, menurut kita, pasti tidak akan berlaku di negara ini.

Ini negara yang ramai orang Islam dan penduduknya suka akan keamanan yang ada.

Sangkaan kita meleset, dan dengan budaya mengejek yang semakin membiak dalam kalangan penyokong pasukan bola sepak di mana-mana sekarang, kita sebenarnya boleh menjangkakan kejadian yang lebih buruk akan berlaku pada masa akan datang.

Wang beli kaset

Sukan sepak takraw juga sedang menuju arah yang sama. Lihat saja bagaimana setiap kali mendapat markah pemain akan mengejek pihak lawan.

Bola sepak - dan mungkin juga sepak takraw serta sukan-sukan lain - kini bukan lagi alat hubungan kemanusiaan. Sukan hari ini adalah jambatan untuk gold and glory.

Ahli sukan pula adalah gladiator yang bebas diperlakukan seperti mana pun oleh tuannya.

Faisal mungkin ‘diraikan’ hari ini, namun siapa tahu akan nasibnya nanti apabila dia tidak lagi diperlukan?

Nobi memberi kami upah RM5 kerana menolongnya menjual air kotak di stadium.

Dengan wang tersebut kami beli kaset Zenyatta Mondatta oleh kumpulan The Police, album pertama kumpulan tersebut yang kami dengar.

Dia juga perlu masuk ke stadium seawal jam 3 petang untuk mencari tapak berniaga, selain untuk mengelak daripada membayar tiket perlawanan.

Kami berhenti mendengar lagu-lagu kumpulan The Police apabila mereka meletup dengan lagu Every Breath You Take.

Kami berhenti mengikuti perkembangan bola sepak dalam dan luar negara setelah berlaku skandal rasuah pasukan negara pada 1994.

Transit Quarters yang asalnya adalah sebuah ladang getah sudah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan kompleks beli-belah dan hotel.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan peminat nombor satu skuad Sri Pahang FC.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.