Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Lurus tak bertempat

KOLUM | “Kawai kabo ke Tuanku," kata pakcik yang nampak marah-marah itu.

Mungkin kami pernah ceritakan hal ini lama dulu tetapi kerana keadaan yang sesuai, kami ceritakan sekali lagi di sini.

Sebelum betul-betul cergas membuat lukisan, kami bekerjasama dengan arwah Ahmad Zaidi dalam menghasilkan kraf berunsur kaligrafi. Zaidi memiliki sebuah kedai bingkai gambar dan kami selalu menghabiskan masa di situ.

Kerana bosan melihat kami yang hanya duduk ssajer, dia mencadangkan supaya kami menghasilkan sesuatu yang boleh menambah pendapatan kedainya.

Kami melihat banyak lebihan kertas tebal (mounting board) yang terbuang lalu cuba menghasilkan khat daripada kertas-kertas tersebut. Khat yang dihasilkan itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Bersama Zaidi kami berkongsi untung. Setelah hanya berjual di kedai, Zaidi membuat keputusan untuk menjelajah ke merata tanah air untuk tujuan promosi.

Kami akan pergi ke pesta-pesta kraf tangan, dan semasa berbincang mengenai sewa tapak dengan Majlis Daerah Pekan, orang ramai menjadi tidak setuju dengan kadar yang dikenakan.

Menurut mereka, sewa berkenaan adalah terlalu mahal.

Kisah tak sahih

Sesuatu yang harus difahami mengenai orang Pekan ialah, mereka semuanya menganggap masing-masing mempunyai hubungan baik dengan pihak istana.

Sementelah pula Sultan Pahang memang terkenal baik dan ramah dengan rakyat.

Orang Pekan memang begitu.

Selain sangat menyayangi pemerintah, mereka juga bersedia untuk melakukan apa saja demi kedaulatan daerah tersebut. Hidup dan mati mereka adalah untuk itu, malah berbangga kerananya.

Dan dekat dengan kerabat diraja adalah impian dan maksud hidup mereka.

Antara orang Pekan yang kami kenali ialah Sukairi Saari. Malah ayat yang sentiasa dia gunakan untuk bersetuju atau pun tidak ialah "tuanku suka ni" atau "tuanku tak suka ni".

Kami tidak tahu setakat mana akrabnya hubungan dia dengan istana, namun jika dilihat daripada penampilan yang serba serebeh itu, kami rasa dia sekadar menjual nama saja.

Ada cerita yang tidak dapat disahkan kesahihannya mengenai sultan ini.

Gambar hiasan

Satu kumpulan budak-budak Tabligh sedang mengadakan sesi ziarah di bandar Pekan apabila bertemu dengan seorang lelaki yang sedang berjogging.

Sepertimana kelazimannya mereka pun mula bercerita akan kebesaran Tuhan dan peri pentingnya mengikut suri teladan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Lelaki itu mendengar dengan penuh tekun dan setelah selesai lelaki itu pun meminta diri.

Budak-budak Tabligh itu datang dari luar kawasan. Mungkin kerana sedang asyik mahsyuk dalam kerja-kerja tabligh lalu mereka tidak perasan bahawa yang didakwah mereka itu adalah Sultan Pahang yang memang diketahui sering berjalan-jalan melihat rakyat  di sekitar bandar diraja tersebut.

Jadi sombong kerana kuasa

Ada cerita yang mengatakan bahawa sultan kemudian menghantar wakilnya ke surau tempat budak-budak Tabligh terbabit berteduh untuk mengetahui siapa mereka.

Ada juga cerita yang mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku setelah itu.

Yalah, kita bukan boleh percaya sangat cerita budak-budak yang jadi kuat beramal dengan hadis dhaif ini.

Menghormati institusi diraja adalah sesuatu yang bagus. Sementelah pula ada yang berpendapat bahawa hanya itu sajalah pertahanan akhir bangsa Melayu.  

Lalu hanya apabila dimurka sultan kerana mengenakan denda yang tidak datang bersama perikemanusiaan ke atas satu pasukan bola sepak yang dimalangkan, misalnya, baru mahu bertindak balas, maka itu semua menjadi  bukti bahawa kita adalah kumpulan yang lurus tidak bertempat.

Kita jadi satu bangsa yang tidak ada hati budi.

Menjadi sombong hanya kerana mempunyai kuasa juga tidak membantu sesiapa. Menjelaskan kebolehan untuk melakukan kejahatan misalnya juga tidak menarik hormat manusia kepada kita.  

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "ikutlah resmi padi, semakin menguning semakin menunduk berisi". Maka ambillah sebagai peringatan , dan mana tahu kerana itu kita akan lebih disayangi.

Semasa perbincangan mengenai sewa tapak pesta kraf itulah pakcik yang tidak bersetuju dengan kadarnya mengugut untuk pergi terus kepada sultan untuk mengadu hal.

Gambar hiasan

Kami orang luar dan tidak faham mengenai kesetiaan yang begitu tebal kepada keluarga kerabat. Jadi apabila mendengar kata-kata tersebut menjadi terlalu teruja.

Andaian kami, mungkin lelaki tersebut orang istana atau setidak-tidaknya orang terkenal kerana dia dengan begitu mudah boleh pergi terus ke istana untuk mengadu hal sekecil itu.

Setelah disiasat, kemudiannya didapati dia hanya peniaga kraf tangan seperti kami juga, namun keberanian dan juga sifat yakin dirinya itu membuatkan seluruh dewan menjadi gempar.

Kami lupa sama ada sewa tapak pesta kraf itu dikurangkan atau tidak kerana semasa mereka giat bertekak, kami dan Zaidi mengambil keputusan untuk enggan berniaga di sana.

Kami biarkan saja orang Pekan berkelahi sesama mereka. Biar mereka sama-sama mengadap raja bagi menentukan siapa yang lebih akrab hubungannya.

Kecintaan orang Pekan kepada keluarga diraja adalah sesuatu yang membanggakan dan tidak terjangkau dek fikiran sesiapa yang datang luar dari daerah tersebut.

Semoga Tuhan selamatkan orang Pekan.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan sesekali menyertai rombongan Tabligh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.