KOLUM | Politik memilih ketua kampung
KOLUM | Cara pemilihan ketua kampung sewaktu tempoh pemerintahan PN sama ada di bawah Muhyiddin Yassin atau Ismail Sabri Yaakob mirip pendekatan watak pencuri dalam filem Nujum Pak Belalang yang membahagikan harta curi.
"Satu untuk kau, satu untuk aku; dua untuk kau, dua untuk aku."
Akhirnya dalam sebuah kampung ada tiga ketua kampung. Ia mungkin adil kalau dilihat dari sudut angka kerana semua parti dalam kerajaan ketika itu sama-sama mendapat faedah.
Tetapi dari akal yang waras, itu adalah satu kelucuan.
'Formula' itu adalah jalan penyelesaian jangka pendek yang memanfaatkan peluang ‘terpijak’ menjadi kerajaan. Dan sementelah ‘terpijak’ maka ia dihenyak semahu-mahunya.
Sistem pentadbiran di peringkat akar umbi menjadi cacamarba.
Selepas PRU ke-15, Perak menjadi negeri pertama yang membuka jalan penubuhan kerajaan perpaduan dan menunjukkan contoh dalam mencari formula jawatan politik di peringkat akar umbi ini.
Di Perak, urusan ketua kampung terletak di bawah portfolio Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Mohd Zolkaply Harun dari Umno.
Kenaifan mencari jalan penyelesaian pemilihan ketua kampung boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara parti-parti dalam PH dan Umno. Jawatan ketua kampung mempunyai nilai politik dalam sosiobudaya Melayu.
Keadaan kini berbeza
Ini politik akar umbi Melayu. Di sinilah kekuatan politik Umno dan juga Amanah yang berkongsi segmen pengundi yang sama.
Sewaktu Pakatan Rakyat mengemudi kerajaan Perak (2008) mereka melaksanakan sistem demokrasi dalam pemilihan ketua kampung. Ketika itu ramai ghairah menghargai demokrasi hingga menenggelamkan sedikit soal kepentingan politik parti yang memerintah.
Ia menyebabkan ada pemimpin parti di peringkat kampung tidak terpilih menjadi calon kerana kalah dalam proses pengundian.
Memanglah wujud kebaikan pada pendekatan tersebut kerana ia sekurang-kurangnya menyuburkan demokrasi dan memastikan kualiti pemimpin sesebuah kampung.
Ketika PH menjadi kerajaan pada 2018 pula, urusan pemilihan ketua kampung menjadi lebih mudah kerana ia melibatkan parti-parti komponen kerajaan sahaja.
Namun sekarang keadaan berbeza apabila PH berkongsi kuasa dengan Umno.
Sebagai sebuah parti yang memiliki tradisi kepimpinannya di kampung, Umno mempunyai mekanisme pemilihan tersendiri. Ketua kampung dipilih oleh ketua bahagian Umno dan lazimnya jawatan itu dapat kepada ketua cawangan.
Sistem itu sememangnya mampu memperkukuhkan kedudukan politik ketua bahagian.
Sebaliknya, parti komponen dalam PH terutamanya Amanah dan PKR masih belum memiliki tradisi yang kukuh. DAP pula tiada tradisi ketua kampung kecuali di sesetengah tempat yang terdapat sebilangan kecil pemimpinnya terdiri daripada kalangan Melayu yang mendapat dukungan rakan PH lain.
Kuasa majoriti yang tidak bersama kuasa kebijaksanaan hanya membawa kepada masalah the tiranny of majority. Kezaliman majoriti bukan sekadar menafikan pihak minoriti tetapi menafikan kebijaksanaan bermasyarakat dan berkerajaan.
Pembentukan sesebuah kerajaan sama ada campuran atau perpaduan, ia sebenarnya berasaskan beberapa persetujuan umum yang mungkin berbentuk perjanjian dan persefahaman.
Pun begitu, samada persefahaman atau persetujuan tersebut tidak terlalu mengikat pemimpin mentadbir sesebuah kerajaan.
Proses ‘merisik’ berjalan
Persefahaman atau perjanjian seharusnya dijadikan panduan bersama. Jika timbul perselisihan, semua pihak perlu membuat rundingan semula sehinggalah menemui titik persefahaman baru dicapai.
Begitulah seterusnya. Kuncinya ialah rundingan dan duduk semeja. Berteriak dalam media sosial sekuat manapun bukanlah kaedah penyelesaian politik.
Pada waktu tertentu, pemimpin perlu mengambil pendekatan autokratik selepas peluang secara demokrasi diberikan. Tidak boleh selamanya demokratik.
Autokratik bukan sewenang-wenangnya. Ia tetap dengan kebijaksanaan tahap tinggi yang memperlihatkan kualiti kepimpinan.
Proses pemilihan ketua kampung di peringkat PH dimulakan sejak Jan 2023 dengan mendapatkan senarai calon-calon yang difikirkan layak. Setelah jawatankuasa pemilihan terbentuk, agenda awal badan tersebut ialah mengemukakan formula.
Peringkat awal formula berasaskan matematik dan latar belakang sejarah sesuatu kampung. Menggunakan pengalaman sewaktu 22 bulan menjadi kerajaan, jawatankuasa itu tidak begitu mengambil masa lama untuk mencari titik persetujuan.
Kami menjangkakan cabaran besarnya ialah ketika berhadapan dengan Umno di peringkat akar umbi. Sebelum berunding terus dengan Umno, beberapa proses merisik dilakukan terlebih dahulu.
Pertamanya, antara PH dengan Umno masih kekok bersama. Bukan mudah mencari jalan harmoni kerana bertahun-tahun berseteru, tiba-tiba menjadi rakan kongsi kuasa politik.
Akhirnya PH dan Umno merumuskan formula sebagai panduan perbincangan dari peringkat negeri hingga ke akar umbi. Mesti ada keanjalan di antara persefahaman atau perjanjian dengan formula yang dirumus.
Ia tidak semestinya 100 peratus menyelesaikan tetapi diharap dapat mengurangkan pergeseran atau ketidaktentuan.
Benar, di peringkat akar umbi cabaran itu mulai menguji kebijaksanaan kepimpinan di semua peringkat. Tambahan pula dengan had waktu yang ditetapkan untuk diselesaikan.
Jawatankuasa itu bagai dikejar waktu dan pada masa sama mencari-cari ramuan di peringkat akar umbi untuk berbincang.
Hanya orang tempatan yang lebih arif kepimpinan di peringkat akar umbi. Panduan dan arahan daripada pimpinan negeri tidak memadai untuk kepimpinan akar umbi duduk semeja.
Ada yang gagal, ada yang masih ragu-ragu walaupun memang ada yang sudah jauh di hadapan mengukuhkan hubungan. Ia adalah proses pembelajaran politik yang melelahkan tetapi harus dilalui dengan kebijaksanaan.
Setelah dari sudut kuantiti ketua kampung tidak seperti yang diharapkan, tibalah masanya untuk melihat prestasi dari segi kualiti individu yang terpilih.
Ketua kampung perlu mempersiapkan diri sebagai pemimpin masyarakat tanpa mengira parti politik.
Mentaliti ketua kampung adalah sebagai ejen kerajaan yang mempunyai peranan penting dalam mencapai hasrat dan cita-cita pemerintah.
Dalam resam politik, seni mendapat kekuasaan dan pengaruh demi kemajuan perjuangan parti dan juga kebajikan kampung perlu seimbang. Berasaskan falsafah itulah, hujung minggu lalu satu program khas untuk mempertingkatkan potensi ketua kampung sebagai pemimpin berkualiti diadakan di Ipoh.
MUHAIMIN SULAM ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Ketua Kampung PH Perak. Artikel ini tidak mewakili pandangan PH negeri sebaliknya pandangan peribadi penulis.
Tulisan ini juga tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai