Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kenangan bersama Syed Husin Ali

Allahyarham Dr Syed Husin Ali meninggal dunia pada Sabtu 29 Jun lalu. Saya mula mengetahui mengenai Allahyarham ialah pada tahun 1974 melalui akhbar Mimbar Sosialis, lidah rasmi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Ketika itu beliau adalah ahli jawatankuasa PSRM. Saya pula berada di tingkatan tiga di High School Batu Pahat, sekolah yang sama di mana Syed Husin belajar. Pada masa beliau, ia bernama Government English School (GES).

Pada 1 Disember 1974 saya pindah ke Kuala Lumpur. Pada 3 Disember 1974, pada hari Sabtu, pelajar universiti UM, UKM, UTM, UPM dan ITM melancarkan demonstrasi besar-besaran. Saya pun turun menyaksikannya.

Polis melancarkan operasi dan menangkap para pemimpin pelajar dan juga para pensyarah. Ahli akademik yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ialah Syed Husin. Beliau adalah juga Setiausaha Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM).

Pertama kali saya bertemu Syed Husin ialah pada tahun 1983 dalam majlis memperingati Ahmad Boestamam yang meninggal dunia pada 13 Januari tahun itu.. Majlis itu diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ahmad Boestamam adalah pengasas Parti Rakyat Malaya (PRM), nama lama PSRM. Saya buat liputan majlis itu untuk Utusan Malaysia.

Kali kedua saya berjumpa Syed Husin ialah ketika mesyuarat penubuhan pakatan pilihan raya oleh parti-parti pembangkang pada tahun 1986. Mesyuarat itu diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar. Beliau mewakili PSRM dan saya datang untuk buat liputan bagi Utusan Malaysia. Pada masa itu ketuanya, Kassim Ahmad telah keluar parti dan jawatannya dipangku oleh Razak Ahmad.

Pakatan yang diberikan nama Harakah Keadilan Rakyat (HAK) itu disertai oleh PAS, PSRM, Parti Nasionalis Malaysia (Nasma) dan Parti Sosialis Demokratik (SDP). DAP tarik diri pada saat akhir. Syed Husin datang awal dan dapatlah saya berbual dengannya.

Semasa saya menjadi editor Harakah, iaitu lidah rasmi PAS dari tahun 1988 hingga 1993, kami sentiasa memberi ruang kepada isu-isu yang diketengahkan oleh PRM seperti perjuangan membela peneroka bandar (setinggan). Untuk itu, kenyataan-kenyataan akhbar Syed Husin turut disiarkan.

Ketika itu PRM adalah sekutu PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Menjelang pilihan raya umum tahun 2004 pula, PRM telah bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi PKR.

PKR berpakat dengan PAS dan DAP atas nama Barisan Alternatif. Maka dicadangkan supaya Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR perlu dicarikan tempat “selamat” bagi membolehkan beliau masuk ke Parlimen. Maka kawasan yang dicadangkan ialah Kota Baru, Kelantan.

Bagaimanapun, seorang pemimpin utama PAS membantah. Bagi beliau pengundi Kelantan akan tolak seorang “sosialis “

Bila membaca laporan itu, saya berasa tersinggung. Ketika itu saya adalah editor rencana Utusan Malaysia. Bagi saya, akhlak Syed Husin adalah jauh lebih baik berbanding banyak “pejuang Islam.” Walaupun seorang intelektual, Syed Husin bersikap rendah diri. Beliau juga zuhud, berprinsip, bersih, cakap yang betul dan menunaikan amalan suruhan agama.

Sedang saya berfikir tentang perkara ini di meja kerja, ketua saya panggil.

“You tulis pasal ini,” dia mengarahkan.

Saya faham akhbar tempat saya bekerja itu tentu mencari isu untuk memecah-belahkan pembangkang. Tetapi bagi saya, ia adalah peluang untuk membela Syed Husin daripada pandangan buruk sesetengah orang ramai terhadap seorang “sosialis”.

Rencana itu tersiar dalam Utusan Malaysia. Dalam PRU itu, PAS kalah pada calon BN, Zaid Ibrahim. Syed Husin bertanding di tempat tradisi PRM iàitu Batu dan tentunya kalah. Masa pengundian, saya sempat meninjau kawasan itu. Dalam PRU itu, PKR kalah teruk dan PAS terlepas Terengganu.

Pada sekitar tahun 2000-an, ada seorang bekas pelajar veteran Universiti Malaya mengundang saya untuk mendengar kisah-kisah Kelab Sosialis Universiti Malaya di Singapura yang hendak dijadikan buku. Majlis itu diadakan di Kolej Universiti Lincoln di Putra Mall (sekarang Sunway Putra Mall).

Syed Husin turut hadir. Beliau menegur saya: “I hanya baca tulisan you tentang hal ehwal antarabangsa tetapi dalam hal politik negara…” sambil beliau menguiskan tangannya menunjukkan rasa tidak senang. Saya tertawa saja dan faham. Ini kerana dalam hal antarabangsa, saya boleh mengkritik dasar-dasar luar Amerika Syarikat yang selari dengan pendirian beliau. Tetapi dalam hal ehwal dalam negara, tentu sebagai wartawan Utusan, saya menulis mempertahankan Barisan Nasional dan mengkritik pembangkang.

Dalam majlis itu, beliau bernostalgia dengan menceritakan penglibatan beliau dalam Kelab Sosialis Universiti Malaya Singapura pada tahun 1950-an

Saya juga seringkali berjumpa Syed Husin dalam majlis-majlis pelancaran buku dan forum khususnya di Gerakbudaya.

Antaranya adalah Pelancaran Buku "Jalan Pulang" oleh Kassim Ahmad. Majlis itu diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2008.

Kebetulan saya duduk semeja dengan Syed Husin berhampiran dengan pentas. Pada masa itu Kassim sudah keluar dari PSRM dan menyertai Umno walaupun untuk beberapa tahun saja.

Hubungan Kassim dan Syed Husin adalah rapat. Kedua-duanya belajar sama di Universiti Malaya Singapura dan aktif dalam Kelab Sosialis. Mereka menyertai PRM dan merupakan intelektual muda yang diharapkan menyegarkan parti itu. Akibat perselisihan antara pemimpin lama dan baharu, Ahmad Boestamam dan penyokongnya yang terdiri antaranya Ishak Surin dan Hussein Yaacob keluar parti dan menyertai Pekemas dan kemudian menubuhkan Parti Marhaen.

Kassim pun mengambil alih kepimpinan dengan menjadi ketua. Beliau memperkenalkan sosialisme saintifik ke dalam perlembagaan parti dan menukar nama PRM kepada PSRM.

Lidah rasmi yang bernama Banteng bertukar menjadi Mimbar Sosialis. Banteng adalah nama jenis seladang yang menjadi lambang PRM. Ia juga melambangkan golongan marhaen.

Syed Husin membantah cadangan Kassim itu. Ini kerana sosialisme saintifik itu sebenarnya Marxis dan ia memudahkan kerajaan mengaitkan PSRM dengan fahaman komunis. Fahaman sosialisme saintifik dimasukkan ke dalam perlembagaan parti. Tetapi Syed Husin akur dengan sokongan ahli parti kepada Kassim dan sosialisme saintifik.

Apabila Kassim keluar dari PSRM pada tahun 1984, jawatan ketua dipangku oleh Razak Ahmad dari Johor Bahru. Pada tahun 1986, dari bahagiannya dicadangkan supaya sosialisne saintifik digugurkan daripada perlembagaan parti dan nama parti ditukar kembali daripada PSRM kepada PRM.

Perkara ini dipersetujui sebelum tahun 1989 dan ia tidak ada kaitan dengan kejatuhan Soviet Union pada tahun itu.

Pada tahun 1990, perubahan perlembagaan parti menjadi rasmi dan Syed Husin dipilih sebagai Presiden PRM. Jawatan yang dahulunya dinamakan sebagai “Pengerusi” digantikan dengan Presiden.

Seorang pemimpin parti, Dr Nasir Hashim tidak setuju. Beliau keluar parti dan menubuhkan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Lidah rasmi parti yang bernama Mimbar Sosialis pun bertukar menjadi Berita Rakyat.

Saya tanya Syed Husin bagaimana hubungannya dengan Kassim setelah dia keluar dari PSRM.

Katanya, hubungannya adalah sebagai kawan saja. Tidaklah seperti dulu masa dalam parti dan mempunyai fahaman perjuangan yang sama.

Paling akhir saya bersua dengan beliau ialah pada tahun 2019 dalam satu majlis di Gerakbudaya, Petaling Jaya. Ada dua pertanyaan saya kemukakan.

Pertamanya mengenai Pusat Sejarah Rakyat yang ketika itu, pejabatnya terletak di Gerakbudaya. Di situlah terletaknya bahan-bahan arkib seperti keratan akhbar mengenai “perjuangan rakyat” yang disimpan. Apa yang dimaksudkan dengan “perjuangan rakyat” ialah gerakan kiri di negara ini. Secara khusus ia meliputi sejarah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pusat Tenaga Rakyat (Putera) yang menggabungkan pertubuhan kiri seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Gerakan Rakyat Muda (Geram), Barisan Tani Se-Malaya (Batas) dan Hizbul Muslimin. Tetapi lebih banyak bahan ialah mengenai PRM, Malayan People's Socialist Front (SF) yang menggabungkan PRM, Parti Buruh Malaya dan National Convention Party.

Pusat ini juga mengandungi bahan-bahan ketika PRM menjadi PSRM dan kembali kepada PRM sebelum ia begabung dengan Keadilan.

Soalan kedua saya kepada Syed Husin adalah selain daripada Hassan Karim, ada tidakkah pemimpin PKR lain yang berasal dari PRM. Dua pemimpin utama PRM yang ada dalam PKR iaitu Razak Ahmad dan Rustam Sani ketika itu sudah meninggal dunia..

Beliau menjawab ada tetapi kemudian perbualan kami terganggu.

Apabila beliau meninggal dunia, ketiadaan beliau sememangnya dirasakan sebagai kehilangan khusus bagi mereka yang menganjurkan dan menghadiri majlis-majlis berkaitan sejarah perjuangan.

Ini kerana beliau sering diundang untuk berbicara atau menghadiri majlis-majlis sedemikian, baik sama ada yang diadakan di di Gerakbudaya, Universiti Malaya, DBP mahupun di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Dengan gaya hidup sederhana, berintegriti, berprinsip, dan banyak berkorban, beliau telah mencorakkan perjuangan kiri di negara ini, dan selanjutnya turut mengukir perjalanan politik Malaysia secara langsung atau tidak langsung. Untuk melihat hal ini, tentulah ia memerlukan artikel yang lain.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.