Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Debat Presiden AS dan Malaysia

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Ramai yang menanti-nanti untuk menyaksikan lawak dari negara yang kononnya “terpaling” mendukung nilai demokrasi, apabila media Amerika Syarikat, CNN mengadakan debat antara calon presiden, Joe Biden dan Donald Trump.

Kesudahannya tidak mengecewakan. Mungkin disebabkan “AS bukan negara kita”, ditambah pula secubit rasa “dengki berbaur benci” lantaran hipokrit kuasa besar ini, maka sesetengah daripada kita lebih peka dan kritis terhadap hujah kedua-dua calon sepanjang perdebatan.

Adegan “tanya lain jawab lain” tidak berlaku hanya sekali, sama ada disengajakan atau tanpa disedari, malah setiap kali calon presiden AS terbabas dari landasan, kita tergelak sambil menyampuk di depan skrin, “sembang ke laut dah”.

Seorang kelihatan nyanyuk, dibuli oleh seorang lagi yang merepek dengan penuh keyakinan tanpa sokongan fakta. Keadaan ini membuatkan kita tertanya-tanya, apakah ini calon presiden terbaik yang boleh ditawarkan dari populasi kira-kira 342 juta orang di AS? Apakah Parti Demokrat gagal mencarikan seorang pengganti kepada Joe Biden, 81, yang jelas bergelut untuk menyusun dan menghabiskan ayatnya?

Soalan-soalan sedemikian menempias ke muka kita sendiri, jikalau kita tidak mudah lupa. Pernah Malaysia mengejutkan satu dunia dengan perdana menteri berusia 93 tahun pada 2018. Dan jangan lupa, Anwar Ibrahim bakal mencecah usia 80 tahun jikalau berjaya menyempurnakan tempoh perkhidmatan untuk penggal ini sehingga Disember 2027.

Kita sudah kedengaran cadangan agar Anwar diberikan mandat untuk penggal kedua. Untuk rekod, kedua-dua orang Presiden Bersatu dan PAS sedia ada, Muhyiddin Yasin dan Hadi Awang, adalah sebaya kepada Anwar yang lahir pada tahun 1947.

Tiada bola tanggung daripada moderator

Sudah tentu prestasi buruk Biden mencuri tumpuan debat yang berlangsung pada 27 Jun 2024, di samping menyuntik keyakinan kepada Trump untuk debat pusingan seterusnya. Kekhuatiran yang menyusul termasuklah apakah senarionya jikalau Trump menang dalam pemilihan presiden AS kelak? Justeru itu, tekanan diasak terhadap Biden untuk berundur dalam masa terdekat agar calon lain diberi laluan bagi menghalang kemaraan Trump.

Apapun, tulisan ini cuba mengungkit sesuatu yang tidak menonjol, dan barangkali sudah menjadi kebiasaan bagi orang umum khususnya di Amerika Syarikat, iaitu moderator yang berperanan untuk memimpin dan mengawal proses debat. Tiada sehiris rasa rendah diri, malah kedua-dua moderator tidak memilih bulu ketika berdepan dengan bekas dan penyandang presiden dari parti politik yang berbeza.

Sebagaimana yang disaksikan, kedua-dua calon presiden AS untuk penggal seterusnya ini juga kelihatan akur dengan ketegasan moderator apabila diminta berhenti berucap setelah masanya tamat. Malah moderator tidak teragak-agak untuk mencelah apabila calon presiden semakin jauh tersasar, dan beberapa kali moderator memberi peringatan tentang baki masa yang ada, sambil meminta calon untuk menjawab soalan yang belum terjawab.

Begitu juga dengan soalan yang dilontarkan, bukan bola tanggung, dan bukan soalan yang terbuka luas seperti “apa pandangan anda dalam isu ini”, yang sudah tentu diambil kesempatan untuk memberi jawapan yang sekabur dan selonggar mungkin. Sebaliknya moderator menuntut agar diperincikan dasar atau langkah yang bakal diambil untuk mengatasi masalah yang diketengahkan.

Bagaimana jika HARDtalk di Malaysia?

Pernah juga debat sebegini diadakan di Malaysia, antara Anwar Ibrahim dengan Najib Razak, pada 12 Mei 2022. Cuma pada ketika itu Najib sudah menjadi mantan perdana menteri, dan Anwar lebih dilihat sebagai ketua pembangkang yang paling lama bergelaran “bakal perdana menteri”. Terdapat beberapa batasan yang menyempitkan skop debat, misalnya dilarang menyentuh kes yang sedang dibicarakan dalam mahkamah, malah soalan yang diajukan moderator pun nampak lunak.

Kita seolah-olah berpuas dengan “debat berlangsung aman, tanpa provokasi”, kerana “debat masih bukan budaya kita” beberapa tahun sebelum ini. Maka ia dianggap satu langkah besar apabila calon perdana menteri berani tampil untuk berdebat, dan penyokongnya mampu mengawal diri sepanjang proses pemimpinnya bertikam lidah.

Pada masa yang sama, ramai antara kita yang teruja ketika menonton program bagaimana pengacara mengasak tetamunya, khususnya politikus yang diundang. Paling epik HARDtalk BBC di United Kingdom. Tiada ruang untuk tetamu memutar belit, atau berbohong kerana setiap kenyataannya dipersoalkan, disemak kesahihannya dengan fakta dan angka. Apatah lagi situasi “tanya lain jawab lain”, sudah tentu akan dicelah pengacara sebelum tetamu sempat “sembang ke laut”.

Namun, cuba kita bayangkan, andainya pengacara mengasak bertalu-talu apabila tokoh politik kita berdolak-dalik, lebih-lebih lagi jikalau tokoh itu berlatarbelakangkan agama, sudah tentu pengacara akan dianggap biadab dan tidak menghormati tokoh politik atau agama yang lebih berusia. Lagi malang andainya pengacara dan tetamu berbeza warna kulit dan agama. Irama lagunya pun sudah melantun-lantun dalam otak kita.

Lama-kelamaan profesionalisme pengacara dan wartawan dibongsaikan batas “kesopanan” – mereka tidak diasuh untuk menghadam jawapan dan menyusul dengan soalan yang lebih tajam, sebaliknya dilatih untuk bertanya dan terus mengangguk – tanpa mempersoalkan sama ada jawapan itu menjawab soalan.

“Kesopanan” sedemikian sudah tentu diambil kesempatan politikus untuk memboloskan diri dari situasi yang kekok. Politikus tidak perlu menjawab secara jelas “apa sumbangan terhadap konstituensinya sejak terpilih sebagai wakil rakyat”; malah mereka tidak perlu menjawab mengapa ponteng ketika mesyuarat Dewan Rakyat bersidang. Politikus bebas menggunakan kayu ukur yang berbeza mengikut kesesuaian sendiri, tanpa dipersoalkan wartawan pada mukanya mengapa pendiriannya saling bercanggah dulu dan kini.

Media yang bebas

Mungkin kita tidak menganggap ini penting kerana musuh politiknya akan melondehkan kecacatan dan kelemahan hujahnya, jikapun tiada wartawan sanggup ataupun mampu berbuat demikian. Maka kita ketawa terbahak-bahak dengan video politikus yang membebel tanpa menjawab ketika berdepan dengan wartawan. Ia dijadikan bahan lawak dalam kalangan sekelompok manusia yang bersikap sinis terhadap politikus tersebut.

Namun harus diingatkan, bahawa media sosial semakin mengasingkan masyarakat kita kepada zon selesa masing-masing. Sementara sekelompok manusia mengeluh “apalah kualiti politikus sebegini?!”, sekelompok manusia yang lain pula memujanya bagai pemimpin yang alim dan suci. Kritikan sebelah sana dianggap penghinaan dari kaca mata sebelah sini, pemujaan sebelah sini pula dipandang sebagai hasil pembodohan dari kaca mata sebelah sana. Ulasan yang rasional, jalan penyelesaian yang pragmatik ditenggelamkan sindiran yang sinis, juga cemuhan dan makian yang berapi-api.

Tiada medium neutral yang selesa untuk dialog, malah untuk pertembungan idea berbeza. Wartawan yang kritis disyaki “bukan orang kita”, kalaupun tidak dianggap biadab. Suasana politik dan mentaliti masyarakat sebegini tidak menyuburkan perkembangan media, yang sepatutnya menuju ke arah lebih matang, bebas, dan kritis – selepas berlangsungnya pertukaran kuasa kerajaan di peringkat persekutuan.

Malangnya profesionalisme dan kewibawaan media tempatan terbantut, dan seolah-olah terkapai-kapai dalam arus mengejar views dan likes di media sosial. Kandungan media yang berat dan mendalam kurang mendapat sambutan di pasaran, sebaliknya kandungan yang ringan dan cetek lebih mudah ditularkan. Untuk berita politik pula, sifat manusia yang “hanya percaya apa yang ingin dipercayai”, melahirkan kelompok manusia yang terbuai dalam propaganda masing-masing.

Negara demokratik seperti AS turut terjebak dengan gejala sedemikian, cuma mereka masih memiliki media dan pengamal media yang agak berwibawa untuk mengendalikan perbezaan politik dalam negaranya. Semakan fakta, analisis yang mendalam, masih menjadi amalan sesetengah media, dan media sedemikian kekal bertahan dalam pasaran.

Berbalik kepada Malaysia, apakah media sedemikian wujud, dan mampu bertahan?