KOLUM | Kenapa Ismail Haniyeh dibunuh?
KOLUM | Kuasa kolonial Inggeris membantu penubuhan United Malays National Organisation pada tahun 1946. Tujuan kolonial Inggeris memelihara dan memupuk United Malays National Organisation ini ialah untuk memecahbelahkan gerakan antipenjajah yang mengampuh sesudah Perang Dunia Ke Dua.
Gerakan angkat senjata lawan Inggeris untuk merdeka menjadi agenda utama di Tanah Melayu ketika itu.
Di sini ada persamaan hakiki antara Tanah Melayu dan Palestin. British menjajah Tanah Melayu. Palestin juga di bawah Mandat British.
Hamas adalah pertubuhan politik Palestin ditubuhkan pada 1987 sesudah gerakan Intifada Pertama. Intifada ialah gerakan massa Palestin bangun melawan penjajahan Israel.
Zionis Israel - seperti taktik kolonial Inggeris - juga bermain mata dan membantu penubuhan Hamas. Tujuan untuk memecahbelahkan gerakan perjuangan rakyat Palestin. Zionis Israel mengadu domba Al-Fatah dengan Hamas.
Al-Fatah ingin berunding dan meninggalkan garis perjuangan bersenjata. Al-Fatah juga bersetuju untuk mengiktiraf Israel. Manakala Hamas mahu meneruskan perjuangan bersenjata dan tidak mahu mengiktiraf Israel.
Hamas menolak projek Dua Negara – Two States Solution. Al-Fatah yang mendominasi PLO (Palestine Liberation Organisation) bersetuju untuk menerima projek Dua Negara.
Pada hari Rabu 31 Julai 2024, dunia dikejutkan dengan berita kematian Ismail Haniyeh. Sosok ini ialah bekas Perdana Menteri Hamas di Gaza dan jurucakap Hamas yang berpangkalan di Qatar.
Ismail Haniyeh dibunuh di Tehran, Iran. Ismail di Tehran untuk sama-sama merayakan Presiden Iran yang baru.
Rumah tumpangan Ismail meledak. Laporan awal menunjukkan Israel telah menggunakan bom jangka yang telah dipasang lebih awal dalam rumah tumpangan Ismail Haniyeh.
Ketika tulisan ini digarap pihak berwajib di Iran masih menjalankan siasatan.
Membunuh musuh di negara asing bukan satu yang baru. Ada dua negara dalam dunia ini yang sering melakukan perkara ini. Negara ini melakukan secara terbuka walaupun ini melanggar hukum-hakam antarabangsa.
Dua negara ini ialah Amerika Syarikat dan Israel.
Pada 9 Oktober 1967, Che Guevara telah dibunuh di La Higuera Bolovia atas arahan Presiden Johnson dari Amerika.
Pada 30 September 2011, Presiden Barack Obama telah membunuh seorang pendakwah Islam warga Amerika, Anwar al-Awlaki dengan dron di Yaman.
Pada 29 Oktober 2020, Presiden Trump telah membunuh Qassim Soleimani yang berpangkat Jeneral dalam pasukan tentera Iran. Qassim dibunuh dengan dron di Lapangan Terbang Baghdad.
Rakaman sejarah menunjukkan bagaimana Amerika telah membelanjakan 60 juta dolar untuk membunuh Che. Pada tahun 1967 teknologi dron belum muncul. Amat berbeza dengan sekarang. Dengan bantuan teknologi terkini, Obama dan Trump dapat melakukan pembunuhan ini dengan lebih murah, licin dan mudah.
Selain Amerika, Zionis Israel adalah satu-satunya negara yang telah melakukan banyak pembunuhan di luar negara.
Malah di Kuala Lumpur sendiri, Zionis Israel pernah membunuh Fadi Mohammad al-Batsh, seorang jurutera dan pensyarah pada 21 April 2018 di Gombak. Hamas mengakui bahawa sosok ini bertaraf komander dalam Brigade Al-Qassam.
Manakala di Iraq ramai pakar saintis telah ditembak mati oleh agen Zionis Israel. Begitu juga di Iran ramai saintis dan ilmuwan terutama dalam bidang nuklear yang telah dibunuh oleh Mossad, badan risikan Zionis Israel.
Pembunuhan ke atas pemimpin Palestin ini telah berjalan semenjak Israel didirikan. Satu demi satu pemimpin dan aktivis Palestin dibunuh.
Pada tahun 1996 pemimpin Hamas Hana Yahya Ayyash dibunuh. Pada tahun 2004 Ahmad Yassin dibunuh. Ahmad Yassin sosok yang mendirikan Hamas. Dia berjaya dibunuh setelah percubaan awal gagal.
Satu bulan sesudah Ahmad Yassin dibunuh, Zionis Israel telah membunuh Abdul Aziz al- Rantisi yang juga pemimpin Hamas. Pada bulan Januari 2024 Saleh al-Arori pula dibunuh.
Zionis Israel memilih sosok-sosok pemimpin yang berwibawa lagi berkebolehan memimpin perjuangan kemerdekaan Palestin.
Pada hari Selasa 30 Julai 2024, mayat Fuad Syukr, komander tertinggi Hizbullah ditemui dalamruntuhan bangunan yang telah dibom Israel. Fuad Syukr dibunuh di Beirut, Lubnan. Esoknya, Ismail Haniyeh dibunuh di Tehran.
Kenapa Ismail Haniyeh perlu dibunuh ?
Sosok yang bernama Ismail Haniyeh ini adalah muka dan suara Hamas yang dilihat dan didengar oleh dunia. Ismail Haniyeh adalah jurucakap Hamas yang beroperasi di Qatar. Sosok ini mengatur dan menjalankan tugas politik dan kerja diplomatik untuk Hamas. Bekas Perdana Menteri Hamas ini bertanggungjawab menguruskan kepentingan Hamas dengan dunia luar.
Justeru Ismail Haniyeh inilah yang bertanggung jawab menjalankan rundingan gencatan senjata dan pertukaran tawanan dengan Israel.
Pada masa sama, Ismail Haniyeh dicap pengganas oleh Amerika dan negara dalam Kesatuan Eropah (EU).
Ismail Haniyeh ini sama taraf dengan Yahya Sinwar, pemimpin Hamas yang beroperasi dari dalam Gaza. Yahya dan Ismail adalah dua sosok yang menjadi tiang utama menggerakkan perjuangan bersenjata Hamas.
Wajib diketahui sebelum Ismail Haniyeh dibunuh, rundingan untuk gencatan senjata, pertukaran tawanan dan kemungkinan mencari jalan damai telah kedengaran.
Dunia juga diberitahu bahawa Mesir, Qatar, Hamas dan Israel sedang menjalankan rundingan. Presiden Biden sendiri pernah menyuarakan bahawa gencatan senjata dan jalan damai kini dalam tangan.
Amerika dilihat amat kuat mahukan gencatan senjata dan mencari jalan damai semenjak perang yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu. Justeru, dunia melihat Amerika memainkan peranan orang tengah dalam usaha untuk mewujudkan gencatan senjata.
Amerika mahu gencatan senjata ini bukan kerana dasar sokongan Amerika kepada Israel telah kendur. Tidak. Amerika mahu gencatan senjata berlaku sekarang kerana kepentingan politik dalaman Amerika sendiri.
Semenjak 7 Oktober, politik dan wacana politik dalam Amerika berubah. Perang Gaza telah membawa satu perubahan baru kepada generasi muda Amerika.
Generasi muda Amerika di kampus-kampus telah bangun untuk menyokong perjuangan adil Palestin. Tahun 60-an pelajar Amerika bangun ke jalan raya menentang Perang Vietnam. Kali ini mereka ke jalan raya menyokong Palestin.
Ini berita buruk untuk Zionis Israel.
Seminggu sebelum Ismail Haniyeh dibunuh, Benjamin Netanyahu telah datang ke Amerika untuk memberi ucapan rasmi di hadapan Dewan Kongres di Washington DC.
Antara isi kandungan ucapan Netanyahu pada Rabu 24 Julai 2024 ialah ‘...our enemy is your enemy…our fight is your fight…our victory will be your victory…’ Musuh Israel ialah musuh Amerika. Perang Israel ialah perang Amerika. Kemenangan Israel ialah kemenangan untuk Amerika.
Ucapan Netanyahu di Kongres mendapat tepukan berdiri daripada para politikus Amerika. Amat jelas yang para politikus Amerika kini mengikut telunjuk Israel.
Jelas semua telah dirancang. Jelas semua telah disusun. Netanyahu ke Amerika untuk memastikan Amerika akan terus bersama membantu moral dan material - membantu dana dan senjata untuk Israel.
Pada 27 Julai 2024, Sekretariat Hamas di Qatar telah mengeluarkan kenyataan. Ismail Haniyeh meminta warga dunia untuk keluar ke jalan raya pada Sabtu 3 Ogos 2024 - gerakan Solidariti Dunia Bersama Gaza
Tiga hari kemudian – pada Rabu 31 Julai 2024 Ismail Haniyeh dibunuh.
Apa di belakang kenyataan itu sebelum Ismail dibunuh?
Nyata dan jelas Ismail Haniyeh telah tahu bahawa rundingan antara Hamas dengan Israel gagal. Nyata dan jelas niat dan cita-cita Presiden Biden yang mahu gencatan senjata dan mencari jalan damai ini telah disabotaj oleh Netanyahu melalui ucapan di Kongres.
Ismail Haniyeh yang memimpin rundingan antara Hamas dan Israel lebih tahu perincian keadaan sebenar tentang sikap dan niat Netanyahu. Amerika mahu gencatan senjata secepat mungkin sebelum bulan November, di mana pemilihan Presiden akan berjalan.
Manakala Netanyahu mahu rundingan ini gagal. Bukan saja gagal malah Netanyahu mahu Amerika terlibat sama dalam perang ini.
Israel mahu Amerika berperang dengan Iran.
Jelas tak perlu bersuluh Netanyahu dan Israel mahu Amerika terlibat. Telah begitu lama Israel mengotek-otek dan mengacah-acah untuk memulakan perang dengan Iran.
Iran kini menjadi sasaran utama Israel. Iran wajib dimandulkan. Negara yang bernama Iran ini adalah penyokong kuat Hamas. Iran mempersenjatai bukan hanya Hamas tetapi semua kumpulan yang bergerak menentang Israel.
Hizbullah di Lubnan, pertubuhan Jihad Islam dan Houthi dii Yaman adalah apa yang dikenali sebagai Kumpulan Penentang Israel.
Sama seperti Perang Teluk Pertama 1991 yang telah memandulkan Iraq. Perang Teluk Kedua 2003 telah menamatkan riwayat Saddam Hussein.
Pembunuhan Ismail Haniyeh dengan jelas bertujuan untuk membatalkan segala rundingan damai dan menjerut Amerika masuk sama berperang.
Akhbar Washington Post pada 2 Ogos membuat laporan di mana Presiden Biden berkata “...assassination of Hamas political leader Ismail Haniyeh in Tehran has ‘not helped’ efforts to negotiate a hostage-ceasefire deal in Gaza”.
Hizbullah di Lubnan telah berjanji akan membalas kematian Komander Fuad Syukr. Pemimpinnya, Hassan Nasrallah telah memberi amaran bahawa Israel telah melintasi garis merah.
Iran pasti akan membalas pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran.
Daripada laporan media 6 Ogos 2024, dunia diberitahu bahawa Iran akan mengambil tindakan serius dan menghalangnya dengan "kekuatan dan ketegasan" untuk menghukum "penyerang" berdasarkan haknya dan prinsip undang-undang antarabangsa, kata jurucakap Kementerian Luar Nasser Kanaani.
Seyogia diberitahu bahawa Rusia dan Iran telah memperbaharui Perjanjian Strategik antara dua negara hingga ke tahun 2025. Perjanjian ini bermula tahun 2001.
Dunia telah diberitahu pada 5 Ogos 2024 Ketua keselamatan Rusia Sergei Shoigu telah melawat Tehran untuk berbincang dengan pihak Iran. Laporan juga menunjukkan Moscow telah mula menghantar peralatan pertahanan udara dan radar canggih yang didakwa diminta oleh Republik Islam itu.
Lawatan Sergei Shoigu dibuat ketika Iran dan sekutu serantaunya mempertimbang skala tindak balas mereka terhadap pembunuhan ketua biro politik Hamas Ismail Haniyeh. Iran telah berjanji untuk membalas dendam terhadap pembunuhan Haniyeh.
Jelas suasana di Lubnan, Jordan, Syria, Iraq dan Iran dalam keadaan tegang – perang akan meledak bila-bila masa. Banyak negara telah meminta warga mereka meninggalkan Lubnan.
Apakah Hizbullah akan mengubah strategi, daripada membedil utara Israel kepada terus menembak peluru berpandu ke Tel Aviv? Apakah Israel akan menggunakan jet pejuang untuk mengebom kota Beirut? Apakah warga Jordan yang majoritinya orang Palestin akan bangun bersama untuk melawan Israel ?
Semuanya bergantung kepada apakah tindakan Iran.
Ketika tulisan ini habis digarap apa yang kita dengar hanyalah kata-kata. Jet pejuang belum mengebom. Peluru berpandu Iran belum dilepaskan ke arah Tel Aviv. Hizbullah hanya membedil utara Israel.
Justeru kita semua menunggu. Dunia makin tegang. Pasaran saham New York, Tokyo, London dan Kuala Lumpur jatuh mendadak. Apakah perang besar akan meledak ? Apakah senjata nuklear akan digunakan? Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai