Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sudahkah Malaysia jadi negara sukan?

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sukan Olimpik Paris telah melabuhkan tirai. Peluang untuk kita cipta sejarah meraih emas telah pun terkubur.

Meletakkan misi emas ini ibarat kita bermati-matian untuk pecahkan ruyung sagu. Kalau ruyung itu berjaya dipecahkan maka akan kelihatanlah sagu-sagu di dalamnya untuk manfaat rangsangan semangat olahragawan dan olahragawati kita lain.

Pelbagai ikhtiar telah dibuat, pelbagai jenis kapak digunakan tapi ruyung masih kebal di situ. Bekas pemain badminton nombor satu dunia sebelum ini Dato’ Lee Chong Wei serta juara Dunia Keirin 2017 Dato’ Azizul Hasni Awang telah hampir berjaya, namun masih gagal untuk pecahkannya. Seperti ada penunggu pada ruyung tersebut, seolah apa diikhtiar kita buat semua tak jadi.

Namun, timbul persoalan dalam keghairahan kita untuk meletakkan sasaran emas, adakah rakyat kita sendiri sudah benar-benar bersedia ke arah itu? Dari temasya ke temasya kita berulang meletakkan bebanan hanya kepada individu atlet tapi bagaimana pula dari sudut ekosistem masyarakat kita dalam membudayakan sukan?

Berdasarkan Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) 2020, ia menunjukkan penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti sukan adalah sebanyak 62.7% dan menurun pada 2021 kepada 52%.

Dalam konteks untuk mencapai sasaran pingat, Kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai ruang yang terhad untuk melakukan yang lebih kerana di Malaysia persatuan sukan mempunyai ruang dan cara kerja yang tersendiri.

Namun, apa yang boleh dilakukan KBS adalah membina ekosistem dan budaya sukan kepada rakyat. Dari sudut ini ia memerlukan penyelarasan dengan Kementerian lain seperti Pendidikan, Luar Bandar, Wilayah dan sebagainya untuk menyemarakkan aktiviti dan kejohanan sukan setempat. Menerusi ekosistem yang kuat ia bukan semata membawa kepada cara hidup sihat rakyat, tetapi juga membangun peluang kerjaya yang lebih terbuka dalam bidang sukan.

Mentaliti bersukan untuk apa?

Dalam pada itu, jika Malaysia benar-benar negara sukan dengan catatan indeks penglibatan rakyat mencecah angka 80%, ia berupaya memperbetulkan mentaliti kita semua tentang objektif kita bersukan dan objektif kita untuk bertanding dalam kejohanan sukan.

Jika tidak kita akan berterusan melihat sebilangan rakyat kita yang terlalu obsess untuk dapatkan pingat tapi tanpa menyedari proses sukar untuk mencapai sasaran tersebut. Lihat saja apa berlaku kepada Lee Zhi Jia apabila beliau sendiri diaibkan dan dikecam kerana kalah kepada Kunlavut Vitidsarn dalam peringkat separuh akhir Olimpik baru-baru ini. Hakikatnya kecaman ini akan membunuh semangat atlet kita.

Tidak kurang Dato Azizul Hasni Awang yang turut dikecam, berat lagi kecaman yang diterima oleh pelumba basikal trek jepun Shinji Nakano.

Maka di sini timbul persoalan asas. Adakah kita berada di landasan betul dalam menyertai kejohanan sukan? Mengapa kita terburu-buru melepaskan segala kemarahan dengan cacian dan makian di laman sosial hanya semata gagal meraih sasaran? Bersukan atas semangat kesukanan atau semata memuaskan rasa obses dalam diri kita?

Sebenarnya kita lupa bahawa kejayaan seseorang atlet bukan semata diukur dengan berapa banyak pingat yang dia kecapi. Tapi sejauh mana proses pengorbanan yang dia lakukan untuk melangkah jauh ke hadapan.

Orang suka bercerita tentang momen seseorang atlet menang pingat emas tapi orang jarang-jarang bercerita kisah kepedihan atlit itu harungi sebelum berjaya meraih gelaran.

Kita lupa Dato Lee Chong Wei dan Dato Azizul Hasni Awang telah meraih pelbagai gelaran dunia dan menjadikan nama Malaysia meniti di bibir peminat kedua-dua bidang sukan ini di negara lain walau mereka gagal meraih emas Olimpik.

Dari sini kita perlu faham apa tujuan kita bersukan. Sukan adalah untuk kita bersama amalkan gaya hidup sihat, saling mengenali dan memahami serta memelihara hubungan antara kita semua. Menerusi kefahaman ini ia akan mengajar kita untuk mengurus kemenangan dan kekalahan dengan baik. Kefahaman ini hanya boleh dibentuk jika rakyat kita benar-benar bersedia untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan dengan membudayakan aktiviti bersukan.

Transformasi kebudayaan – meluruskan tujuan bersukan

Maka, menjadikan Malaysia negara sukan memerlukan transformasi kebudayaan; ‘budaya’ terhasil daripada kata akar budi dan daya – “budi” - menerusi pembinaan nilai-nilai bersama berasaskan renungan pemikiran yang sihat - dan merealisasikannya menerusi elemen “daya” – menggerakkannya untuk tindakan, yang seterusnya membawa kepada nilai kebersamaan berasaskan pemikiran yang rasional, lantas membangun terserap menjadi norma hidup seluruh warga.

Ia akan mematangkan dan meluruskan mentaliti kita dalam melihat sukan yang bukan semata untuk menunjukkan dengan gah siapa paling hebat di dunia secara merit. Tetapi kebersamaan kita atas semangat kesukanan untuk kita saling menghargai potensi dan bakat antara satu sama lain.

Michael J. Sandel dalam buku The Tyranny of Merits pernah menyinggung hal ini dalam aspek pendidikan sebagai bebanan untuk individu dalam masyarakat yang hanya memikirkan tentang diri mereka sendiri dan mengabaikan kepentingan untuk belajar tentang ‘gratitude and humility’. Beliau menjelaskan perkara ini didasari sikap dan cara fikir bahawa kelayakan mereka yang telah berjaya adalah semata-mata atas dasar merit dan kelebihan peribadi. Golongan ini menafikan sistem sokongan yang menjadi latar pengaruh kejayaan seseorang individu.

Maka di sini penting untuk kita telaah karya R.H. Tawney bertajuk Equality (1931) di mana beliau menggarisbawahi kesejahteraan sosial sebagai: “Social well-being…. depends upon cohesion and solidarity. It implies the existence, not merely of opportunities to ascend, but of a high level of general culture, and a strong sense of common interests… Individual happiness does not only require that men should be free to rise to new positions of comfort and distinction; it also requires that they should be able to lead a life of dignity and culture, whether they rise or not”.

Orang yang mengamalkan budaya sukan akan faham bahawa kemenangan itu bukan bermaksud kita akan menang selamanya. Hakikatnya kemenangan itu sentiasa dikongsi bersama bergantung kepada prestasi dan usaha menggilap potensi di masa mendatang.

Begitu juga kalah tak bermaksud kita akan kalah selamanya. Kalau kita gagal urus kekalahan, maka timbul la mereka yang ‘terpaling badminton’, ‘terpandai’ kayuh basikal yang datang dengan hemburan kata-kata kesat atas nama buli siber.

Olimpik kali ini banyak cerita menarik. Cerita menarik yang bukan semata bersandar kepada pemenang pingat emas secara tiba-tiba. Mungkin ramai teruja dengan atlet Gimnastik Artistik Amerika Simone Biles berjaya merangkul emas khususnya dalam ‘all-around’ dan ‘vault’ title kali pertama atlet wanita Amerika berjaya merangkulnya.

Tapi tak ramai bercerita kekecewaan yang dihadapi peminat beliau apabila beliau tarik diri di saat akhir di pentas Olimpik Tokyo 2020 atas masalah peribadi.

Begitu juga kisah Arshad Nadeem olahragawan Pakistan yang berjaya meraih pingat emas dalam acara rejam lembing. Dalam laporan News18, Nadeem datang dari keluarga susah hanya makan daging sekali setahun iaitu ketika Aidil Adha. Beliau pergi Latihan dan kejohanan dari satu bandar ke bandar lain adalah hasil derma penduduk kampung yang sentiasa meletakkan harapan tinggi kepadanya.

Untuk membalas kepercayaan orang kampung, beliau terus mara memperbaiki kelemahan dan seterusnya berjaya meraih pelbagai gelaran antarabangsa seperti dalam sukan Komanwel, Sukan Asia dan sebagainya.

Kisah-kisah ini menunjukkan lumrah atlet itu ada tempoh jatuh bangun. Jatuh bangun mereka didorong ekosistem dan dukungan bersama.

Kita punyai ramai atlet berbakat yang berpotensi menyumbang pingat Los Angeles kelak.

Atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan, berusia 22 tahun telah mencipta sejarah angkat berat negara dengan pencapaian yang membanggakan. Walaupun meraih kedudukan keempat, beliau hanya kurang satu kilogram dari pemenang gangsa Hampton Morris dengan 298 KG.

Begitu juga raja pecut negara Azeem Fahmi yang baru berusia 20 tahun telah berjaya memecah rekod negara dengan catatan 10.09 saat 100 meter. Walau tewas dalam pusingan pertama Olimpik, ia adalah pendedahan awal untuk beliau lebih mara ke hadapan.

Tidak terlepas pasangan beregu badminton Pearly Tan dan Thinaah yang berjaya menempa sejarah beregu wanita negara apabila kali pertama layak ke Separuh Akhir Olimpik. Walau kali ini mereka gagal meraih gangsa, namun konsistensi yang dipamerkan membuka peluang untuk mereka mencipta kejayaan di Los Angeles nanti. Begitu juga atlet penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dan pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang berjaya masuk ke pentas akhir Olimpik kali ini.

Lebih utama, pemenang pingat gangsa Lee Zii Jia dan pasangan Aaron Chia – Sooh Woi Yik yang pasti bakal menyinar dengan lebih gemerlapan di Los Angeles.

Mereka ini pasti akan menyambung cerita-cerita menarik atlet Paris 2024.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan bekas Presiden ABIM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.