Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Harapan untuk 'Bangladesh baru'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | Sebaik saja Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajid, meletakkan jawatan pada 5 Ogos lalu, suatu perasaan euforia (kegembiraan bercampur keterujaan) melanda negara itu terutama dalam kalangan para pelajar.

Anak-anak muda keluar beramai-ramai ke jalan raya Dhaka bagi menyambut kemenangan dengan menyifatkan negara mereka sebagai “Bangladesh baru” (New Bangladesh).

Begitu tinggi harapan pelajar-pelajar universiti dan kolej itu. Seperti di mana-mana dalam dunia, anak-anak muda terpelajar adalah penggerak bagi pembaharuan dengan bersikap idealis walaupun naif.

Apa yang berlaku di Bangladesh pernah juga terjadi di Sri Lanka pada 2022, dan - jika lebih jauh lagi - di Indonesia pada 1998 yang menjatuhkan kerajaan semasa di negara terbabit.

Gerakan sebegitu seringkali bermula dengan bantahan daripada para pelajar sebelum akhirnya pihak tentera bertindak menghentikan sokongan terhadap kerajaan.

Di Bangladesh, pada mulanya tuntutan pelajar adalah untuk penghapusan kuota 30 peratus kakitangan awam kepada keluarga-keluarga pejuang kemerdekaan.

Tetapi setelah ada penunjuk perasaan mati ditembak oleh anggota tentera, tuntutan jadi meluas kepada peletakan jawatan Sheikh Hasina.

Pembangkang dibebas dari penjara

Tuntutan penghapusan kuota itu pada mulanya telah dipenuhi kerajaan dengan penurunan daripada 30 peratus kepada tiga peratus. Tetapi peletakan jawatan perdana menteri itu hanya berlaku apabila tentera memihak kepada para pelajar.

Pasukan keselamatan terbabit enggan mematuhi arahan kerajaan supaya “menembak dada” penunjuk perasaan. Sebaliknya tentera -melalui Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabudeen Sharfuddin Ansari - meminta Sheikh Hasina meletak jawatan dan meninggalkan Bangladesh dalam masa 48 jam.

Malah dia dihalang daripada berucap sebelum berlepas ke India dengan menggunakan pesawat tentera.

Shahabudeen kemudian membubarkan kabinet Liga Awami dan parlimen negara itu. Dia melantik pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunos Muhammad Dula Mia, sebagai perdana menteri interim (sementara).

Kabinet pula digantikan dengan majlis penasihat yang terdiri daripada pihak tentera, wakil gerakan pelajar dan teknokrat-teknoktat lain.

Persiapan dibuat bagi mengadakan pilihan raya umum (PRU) baru. Serentak dengan itu, ahli-ahli politik pembangkang yang ditahan oleh kerajaan Sheikh Hasina dibebaskan.

Antaranya ialah pesaing ketatnya, Khaleda Zia dari Parti Nasional Bangladesh (BNP).

Sheikh Hasina menyatakan bahawa dia akan pulang dan bertanding dalam PRU tersebut, Dia yang berusia 76 tahun telah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali dengan tempoh keseluruhan 20 tahun.

Sheikh Hasina terpilih menjadi perdana menteri dari 1976 hingga 2001, sebelum diikuti dari 2009 hingga 2024.

Dia ialah anak kepada Bapa Kemerdekaan Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman, yang dipanggil secara mesra oleh Bangabadhu.

Akhirnya tak sehaluan

Terdapat banyak video di media sosial yang menunjukkam bagaimana para pelajar meraikan kejatuhan Sheikh Hasina dengan meruntuhkan patung-patung Mujibur Rahman serta menurunkan dan memadamkan potretnya di merata-rata tempat di Dhaka.

Patung-patung itu bukan saja dirosakkan bahkan turut dihina dengan pelbagai cara.

Ada yang meruntuhkannya dengan menggunakan jentera berat, maknanya usaha para pelajar itu dibantu oleh pihak lain yang tidak menyukai bukan saja kerajaan Sheikh Hasina tetapi juga jati legasi bapanya.

Tetapi ada patung seorang pemimpin yang mereka tidak runtuhkan, sebaliknya dihormati dan diletakkan kalungan bunga.

Ia adalah patung perdana menteri pertama Bangladesh, Tajuddin Ahmed. Dia menjadi perdana menteri pada 1972 iaitu ketika Mujibur Rahman menjadi presiden.

Walaupun dari parti yang sama, Tajudin pernah berpecah dengan Mujibur Rahman.

Turut membantu tindakan para pelajar itu meruntuhkan patung-patung berkenaan ialah beberapa orang berpakaian seragam yang dipercayai anggota tentera.

Dalam klip video itu, mereka meruntuhkan patung berkenaan di depan himpunan para pelajar.

Ada laporan yang menyatakan bahawa berlaku perpecahan dalam kalangan tentara dengan pegawai atasan menyebelahi Sheikh Hasina, manakala anggota biasa - yang lebih ramai bilangannya - enggan mematuhi arahan menembak penunjuk perasaan.

Tetapi akhirnya pemimpin tentera akur dengan tuntutan pelajar bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar.

Pertembungan antara pelajar dengan tentera pernah berlaku di Myanmar yang mengakibatkan korban anak-anak muda dan pemberontakan yang masih berlanjutan.

Tugu, patung tokoh negara

Di Thailand, pertembungan di antara gerakan pelajar dengan tentera juga masih bermasalah. Ini kerana walaupun demokrasi dilaksanakan ekoran gerakan pelajar, tentera masih mempunyai pengaruh yang besar.

Ia dibuktikan apabila tokoh pilihan majoriti pengundi melalui PRU gagal menjadi perdana menteri apabila ditolak oleh pihak tentera.

Rasa tidak puas hatinya tentunya akan berterusan walaupun PRU telah diadakan.

Melihat begitu banyak patung Mujibur Rahman di seluruh negara tentunya mendatangkan tanda tanya. Begitu juga dengan adanya patung-patung pejuang kemerdekaan di banyak tempat.

Menjadi perkara biasa di pelbagai tempat di dunia apabila tokoh utama sesebuah negara diabadikan dalam bentuk patung supaya rakyat mengingatinya di samping menyemai semangat patriotisme.

Di Malaysia pun, patung Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman turut didirikan dan diletakkan di depan bangunan parlimen.

Tugu Negara pula membentuk patung-patung anggota tentera yang mengalahkan komunis daripada menguasai negara. Tetapi itu saja.

Di Indonesia terdapat beberapa patung bapa kemerdekaan mereka, Sukarno.

Tetapi di Bangladesh, bilangan patung Mujibur Rahman itu banyak. Dengan potret besar pada dinding-dinding bangunan. Ia seperti suatu usaha politik untuk mempertahankan serta melanjutkan pemerintahan Sheikh Hasina dan Liga Awami.

Apa yang dilakukan oleh mereka itu adalah sama seperti rejim-rejim komunis pada zaman Perang Dingin. Soviet Union umpamanya membina patung pengasasnya, Vladimir Lenin, di merata-rata tempat. Begitu juga di negara-negara komunis Eropah Timur, China dan Korea Utara.

Rakyat bebas berniaga

Amalan personality cult atau pendewaan terhadap pemimpin ini bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan yang dikaitkan dengan penubuhan negara berkenaan.

Ia menekankan fahaman bahawa mencintai negara bermakna menyokong dan setia pada kerajaan sedia ada. Lebih-lebih lagi Sheikh Hasina adalah anak kepada pengasas Bangladesh.

Ia juga berkaitan dengan legitimasi Liga Awami dan hak entitlement keluarga para pejuang kemerdekaan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam.

Bangladesh bukan negara sosialis atau komunis walaupun Liga Awami -yang bererti Liga Rakyat - asalnya adalah sayap kiri Liga Muslim ketika sebelum penubuhan Bangladesh.

Walaupun nama rasmi negara ialah republik rakyat, ia adalah demokratik yang melaksanakan PRU. Maknanya Republik Rakyat Bangladesh bukanlah seperti Republik Rakyat China.

Rakyat Bangladesh bebas berniaga dan meninggalkan negara.

Ada dasar dan pentadbiran Sheikh Hasina yang baik. Apabila berdepan dengan kebangkitan para pelajar, penyokongnya turut mengedarkan maklumat mengenai pencapaian kerajaan ahli politik itu.

Muhammad Yunos Muhammad Dula Mia

Antaranya membuka peluang lebih besar kepada wanita, pembinaan lebuh raya dan laluan kereta api bandar, begitu juga dengan penubuhan universiti.

Tetapi melihat tindakan pelajar dan orang ramai meruntuhkan patung Mujibur Rahman serta memadam gambarnya di tembok-tembok, ia menunjukkan betapa marahnya rakyat pada kerajaan. Ia seperti marahnya rakyat di negara-negara komunis pada pemimpin mereka.

Melihat kepada pakaian masing-masing, sebahagian daripada perusuh yang meruntuhkan patung-patung itu ialah golongan Islamis. Mereka meruntuhkan semua jenis patung termasuk patung hiasan di pekarangan rumah perdana menteri.

Apabila ditanya mengapa, mereka berkata, membiarkan keberadaan patung adalah haram di sisi Islam.

Mereka percaya kewujudan banyak patung di Bangladesh menyebabkan negara itu tidak ada berkat.

Haramkan parti lawan

Ada juga beberapa peristiwa kuil-kuil Hindu diserang dan patung-patung keagamaan dimusnahkan. Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh pelampau Islam dan bukannya para pelajar yang membuat tuntutan asal.

Keadaan huru-hara di negara itu diambil kesempatan oleh segolongan pelampau yang tidak toleran pada minoriti Hindu.

Walaupun Bangladesh merupakan negara sekular yang mempunyai majoriti penganut Islam, terdapat minoriti Hindu yang merupakan lapan peratus penduduk negara tersebut.

Maka sudah tentu terdapat banyak kuil yang mempunyai patung. Sebarang rusuhan mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan.

Terdapat golongan konservatif Islam yang besar di Bangladesh. Sebahagian daripada mereka menjadi penyokong parti Islamis, Jamaat-e-Islami yang memperjuangkan penubuhan negara Islam.

Jamaat-e-Islami Bangladesh pada mulanya adalah sebahagian daripada Jamaat-e-Islami Pakistan yang ditubuhkan pada 1941. Mereka mempunyai hubungan fahaman politik dengan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Semasa perang kemerdekaan pada 1971, Jamaat-e-Islami cawangan Bangladesh menolak pemisahan wilayah itu daripada Pakistan. Maka pemimpin-pemimpinnya dianggap sebagai pengkhianat, lalu ia diharamkan.

Pada 1975, apabila berlaku rampasan kuasa tentera, Jamaat-e-Islami ditubuhkan semula. Dalam pilihan raya, parti itu sering bersekutu dengan BNP.

Mudah menjatuhkan rejim

Jamaat-e-Islami menyokong tindakan pelajar membantah kuota berkenaan. Ekoran itu Sheikh Hasina mengharamkan parti berkenaan pada 1 Ogos lalu.

Tetapi dengan ketiadaan Sheikh Hasina sebagai perdana menteri, penyokong-penyokong Jamaat-e-Islami kini muncul semula.

Walaupun secara emosi para pelajar meletakkan harapan tinggi terhadap kemunculan “Bangladesh baru” tetapi ia akan diikuti dengan realiti politik yang memperlihatkan persaingan di antara Liga Awami dan BNP dengan Jamaat-e-Islami bersekutu dengannya.

Dinamik politik Bangladesh adalah sebegitu rupa.

Pengalaman politik kebangkitan pelajar dan rakyat sama ada di Filipina, Indonesia, Thailand mahupun Sri Lanka menunjukkan, adalah lebih mudah untuk menjatuhkan rejim lama dan menggantung harapan.

Mewujudkan suatu “negara baru” menjadikan ia terlalu idealistik dan naif. Tetapi perjuangan tidak mengenal puas hati.

Walaupun tidak tercapai semuanya, namun sekurang-kurangnya perubahan tetap diinginkan dan kebahagiaan juga dicapai apabila dilakukan dengan bersungguh-sungguh.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman selama lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.