Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Siapa Sasterawan Negara baru?

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Saya tidak tahu siapa yang akan dipilih oleh panel penilai sebagai Sasterawan Negara baru. 

Mungkin Azmah Nordin, anak Kedah yang kini menetap di Sabah. Menteri Pendidikan di bawah Kerajaan Perpaduan boleh beroleh sedikit markah jika mengangkat beliau kerana Azmah adalah penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah (ASNS) yang kedua selepas Amil Jaya.

Azmah memulai karier penulisannya di Sabah, mengarang rencana untuk akhbar tempatan, merebak ke bidang penulisan novel dan cerpen. Bagusnya, tema, latar dan plot cerita Azmah kebanyakannya berkisar kepada subjek kepelbagaian etnik Sabah.

Azmah juga adalah penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 2009,dan telah menulis lebih 60 buah buku, kebanyakannya berdasarkan penyelidikan beliau mengenai masyarakat pelbagai etnik Sabah. Karya novel beliau merangkumi untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa. Saya kira tiga kumpulan cerpen beliau yang pernah diterbitkan oleh DBP iaitu Singkowoton (1994), Wizurai (1997) dan Kasih Seputih Kemboja (2001) adalah mercu tanda kekuatan kerjaya penulisannya. 

Untuk meraih gelar Sasterawan Negara, penulis itu mestilah pernah memenangi hadiah sastera utama. Azmah pernah merangkul Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (1996/1997, menerusi Menongkah Arus dan Permainan Kematian), Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (2000/2001, Kasih Seputih Kemboja) dan banyak lagi. Selain itu, tiga buah novel karya Azmah yang sering menjadi tumpuan pengkaji adalah Menongkah Lumrah (1996), Singgahmata (1997) dan Syumul (1999). 

Cuma mungkin Azmah tidak dikenali oleh generasi baru dan saya tidak pasti sekiranya ada karya beliau yang sudah diterjemah. Akan tetapi saya tidak fikir panel penilai Sasterawan Negara peduli semua itu jika mereka ingin memberi.

Kalau tidak Azmah Nordin dari Sabah, mungkin sahaja orang Johor boleh dinobatkan. Mungkin Johan Jaafar, bekas pegawai penyelidik, ketua Bahagian Majalah dan ketua Bahagian Penerbitan Am di Dewan Bahasa dan Pustaka boleh diberi pangkal “SN” pada namanya. Nama Johan lebih sering disebut bersekali dengan Utusan Malaysia setelah menjadi ketua pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu itu. 

Johan dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1953, mendapat pendidikan di Johor sebelum melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1977. Beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Nottingham, England dan mendapat Ijazah Sarjana pada 1992. 

Kelebihan Johan yang mungkin menyerlah daripada nama-nama sedia ada ialah beliau turut menulis drama pentas. Lama sudah tiada Sasterawan Negara yang mahir pentas. Kali terakhir tentulah Cikgu Noordin Hassan, atau Anwar Ridhwan. 

Drama Johan yang tersohor adalah Angin Kering, Sang Puteri, Pasrah dan Asiah Samiah. Beliau juga berani mengadaptasi karya pengarang lain, iaitu adaptasi daripada novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Salina dan Rumah Kedai Di Jalan Seladang. Sebetulnya novel Johan tidak juga buruk, ada karyanya seperti Api Di Tanah Perkuburan (1973), Warna Tinta (1976), Genta Rasa (1977) dan Laguku Untukmu (1980) agak membekas jika dibaca. 

Cumanya, dulu-dulu Johan itu sendiri anggota Panel Pemilihan Sasterawan Negara, jadi saya tidak tahu kalau beliau masih berada dalam panel tersebut. Jika beliau yang menjadi penilai maka peluang Johan sungguhlah terjejas.

Kalau tidak Azmah atau Johan, ada seorang lain yang saya berpandangan mesti diberi pertimbangan. Orangnya Zakaria Ali. Ini pilihan yang menarik kerana Zakaria ada keistimewaan seperti Muhammad Haji Salleh, iaitu beliau juga berkarya dalam bahasa Inggeris.

Dr Zakaria Ali pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard, Massachusetts dan berjaya memperoleh Ijazah Phd pada tahun 1991. Beliau juga pernah menuntut di Mexico. 

Genre penulisan Dr Zakaria mencakupi sajak, esei seni, novel dan cerpen. Novel tersohor Zakaria adalah Empangan yang meraih Sayembara Novel Yayasan Sabah - GAPENA ke-IV dan Hadiah Sastera Malaysia 1991/1992 juga menerusi novel yang sama. Novel ini memang salah sebuah karya terbaik dari kesusasteraan Melayu. Karya novel Empangan menurut saya amat unik kerana ia membincangkan gejala kemusnahan alam sekitar semata-mata atas alasan pembangunan. Selain itu, Zakaria juga rajin menerjemah karya asing ke dalam bahasa Melayu. Markah juga dapat diberikan kepada beliau kerana masih berkarya, dan menerbitkan novel Kubu beberapa tahun lalu. 

Kalau tidak tiga nama di atas, yang mungkin dekat meniti namanya di kalangan generasi baru tentulah Zainal Rashid Ahmad. Tidak ramai orang awam yang tahu Zainal adalah pengarang sastera dan graduan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam bidang penulisan kreatif. Zainal telah menulis novel seperti Hikayat Tanah Jauh, kumpulan cerpen Magis Kota, Pop Urban dan kumpulan puisi Orang Sepi Pergi ke Gurun dan Dodoi Buat Kelasi Yang Pasrah Pada Tidurnya. Terdapat juga novelnya dengan judul Latto & Asmiranda dan Merpati Cinta Musim Perang.

Bakat Zainal sebetulnya amat menyerlah dalam cerpen. Antara karya cerita pendek beliau yang begitu diingati adalah Genderang Perang, Sekuntum Bunga Neraka dan Cinta Ahmad Mutawakkil. 

Selain itu, Zainal juga unik seperti Johan Jaafar kerana merupakan bekas wartawan. Antara lain Zainal pernah berkhidmat di Utusan Melayu, Astro, NTV7 dan TV3 serta pernah merangkul bermacam anugerah televisyen seperti Anugerah Dokumentari Terbaik.

Saya tidak fikir akan ada kejutan dalam pemilihan Sasterawan Negara yang bahru. Ada juga cakap-cakap untuk memilih Lim Swee Tin, Nisah Haron, Siti Jasmina Ibrahim, Mana Sikana, Abu Hassan Morad, Uthaya Sankar SB dan Rosli K Matari. Saya tidak fikir panel penilai sukakan kejutan. Lebih baik kita tidak dikejutkan dari tidur lena. Lagipun, sastera Melayu kini dibaca sesama kita sahaja, dan tidak atau belum melepasi sempadan ke Indonesia malah pun.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.