Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Panadol untuk rusuhan kaum UK

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Keir Starmer belum pun 100 hari jadi perdana menteri baru di United Kingdom (UK) telah berhadapan dengan rusuhan perkauman yang meluas dalam sejarah negara itu.

Dari segi sejarah Julai 2024 bukan kali pertama rusuhan perkauman berlaku di UK. Selepas Perang Dunia Pertama, protes jalanan, rusuhan dan mogok tercetus di negara-negara di seluruh dunia.

Para buruh menghadapi pengangguran dan kekurangan tempat tinggal. Bukannya kemakmuran masa aman yang dijanjikan.

Ini hasil daripada perang. Di United Kingdom perkara yang sama berlaku.

Pada tahun 1919, satu siri rusuhan ganas di Glasgow, South Shields, Salford, London, Hull, Newport, Barry, Liverpool dan Cardiff menyaksikan pergaduhan jalanan, harta benda yang dirosakkan dan lima orang terbunuh. Beribu-ribu orang kelas pekerja kulit putih di bandar pelabuhan ini mengarahkan kemarahan mereka kepada komuniti etnik hitam dan minoriti.

Mereka menyalahkan pekerja dari negara kolonial - yang bilangannya telah meningkat. Buruh dari negara tanah jajahan di tuduh sebagai mengambil kerja bumiputera tempatan.

Inilah juga nama-nama bandar dan tempat berlakunya rusuhan yang bermula pada 30 Julai sehingga 5 Ogos 2024. Satu minggu 'bumiputera UK' mengamuk di jalan raya.

Perdana Menteri Keir Starmer hanya memberi Panadol sebagai jawapan.

Keir Starmer menuduh ini adalah rusuhan daripada puak kanan. Puak kanan yang rasis dan anti pendatang. Puak kanan tidak suka kaum imigran. Puak kanan tidak ada simpati pada pelarian perang dan pelarian politik.

Justeru jawapan kerajaan Parti Buruh ialah menangkap, mendakwa dan memenjara para penunjuk perasaan. Kes dijalankan secepat mungkin. Tangkap dakwa dan penjara.

Budak sekolah berumur 12 tahun menjadi sejarah sebagai yang paling muda yang pernah didakwa kerana merusuh.

Rusuhan kaum akan datang lagi

Reuters melaporkan lebih 1,000 orang telah ditangkap dan lebih 600 didakwa. BBC melaporkan 118 telah dijatuhkan hukum penjara. Antaranya ialah Tyler Kay, 26 dan Jordan Parlour, 28 yang masing-masing dijatuhi hukuman penjara 38 bulan dan 20 bulan kerana mencetuskan kebencian kaum di media sosial.

Inilah contoh jawapan kerajaan Parti Buruh yang baru naik takhta.

Justeru untuk saya jawapan PM Keir Starmer ini sama seperti memberi Panadol. Jika saya merasa sakit kepala saya akan menelan dua butir pil Panadol. Sakit kepala saya pasti akan hilang. Ubat ini memadamkan rasa sakit. Tetapi ubat ini tidak mengubati sakit kepala saya.

Yang dikutuk dan dilawan oleh PM Keir Starmer hanya manifestasi. Yang dipadamkan hanya gejala. Sebab musabab kenapa kepala sakit masih wujud.

Menuduh semua rusuhan ini kerana para penunjuk perasaan ini bersikap rasis adalah tidak tepat.

Sebab musabab kenapa bumiputera United Kingdom merusuh masih wujud. Ada jambatan telah runtuh. Ada keresahan tidak selesai. Tidak berganjak. Tidak dirungkai. Sakit kepala ini akan muncul sekali lagi. Rusuhan kaum ini akan datang sekali lagi.

Kemarahan utama yang diluahkan oleh para demonstran ialah sistem polis yang berat sebelah. Apa yang dipanggil two tier policing.

Istilah "kepolisan dua peringkat" telah digunakan untuk memperlihatkan bahawa tindakan polis telah lebih ganas menangani orang di sebelah garis politik kanan dari garis politik kiri.

Antiorang kulit hitam

Sikap polis sedemikian dilihat wujud kebelakangan ini. Pihak polis lebih cermat berhemah dan kurang ganas bila berhadapan dengan pendatang yang tidak berkulit putih. Polis berkelakuan seperti ini kerana takut dituduh rasis atau antiorang berkulit hitam.

Tidak dapat dinafikan sikap ini wujud. Sikap polis UK ini sama seperti sikap kerajaan Jerman bila berhadapan dengan Zionis Israel. Kerajaan Jerman akan lemah dan tidak kritikal terhadap Israel yang melakukan genosid. Ini kerana kerajaan takut Jerman dituduh rasis sekali lagi. Dituduh sebagai saki baki Hitler.

Pengalaman polis mengawal Brixton Riot 1981 atau Bloody Sunday mengikut istilah majalah Times telah memberi pengajaran. Dari sini timbul sikap kepolisian dua peringkat.

Brixton wilayah bermajoriti warga kulit hitam. Polis kota London ketika berhadapan dengan keganasan orang berkulit hitam telah dituduh rasis kerana sering menahan orang hitam. Walhal orang berkulit hitam itu memecah kedai dan merampok.

Hari ini tuduhan rasis digunakan untuk melapik apa saja kejahatan dan kebejatan si kulit hitam.

Hari ini muncul satu lagi bom nuklear yang akan dilontar kepada sesiapa saja yang mengkritik pendatang halal dan pendatang haram ke UK dan negara Eropah. Bom nuklear ini ialah Islamophobia.

Anti-Islam telah digunakan untuk mendinding pencerobohan pendatang haram. Atau mengkritik perangai kolot anti tamadun para penganut Islam.

Betul ke yang datang berperahu menyeberang Selat Inggeris itu pelarian politik atau pelarian perang?

Saya sebagai bekas pelarian politik di Belgium dan di UK berani berkata: Betul ada pelarian politik. Saya sampai ke Belgium tahun 1980an menyaksikan ramai pelarian dari Iran dan Indo China.

Tapi dalam masa yang sama ada juga pelarian ekonomi. Mereka datang ke Eropah bukan kerana politik tetapi kerana ekonomi. Mereka mahu mencari pekerjaan di Eropah.

Bersama saya di Rumah Tumpangan Braine le Comte ada dua beradik anak muda dari Ghana, dari Eriteria dan dari Nigeria. Tidak ada perang dalam negara ini. Dan mereka juga bukan aktivis pelajar atau aktivis NGO. Datang ke Belgium untuk mencari kerja.

Dua beradik dari Ghana itu mahu melamar menjadi soldadu kolonial Belgium.

Tahun 1980an Perang Vietnam dan Indo China telah tamat. Boat People dari Asia kini telah mula mengenap. Ramai bermastautin di Amerika dan Eropah.

Tertiba muncul Boat People yang baru. Kebelakangan ini kita membaca dan melihat berita kapal dari Afrika menyeberang Laut Tengah membawa pendatang ke Eropah. Kita sering terbaca bagaimana Selat Inggeris telah menjadi tumpuan pendatang haram.

Pelarian ekonomi

Memang sah ada negeri sedang berperang. Ada perang di Syria, di Afghanistan dan di Sudan tapi yang meluruh nak datang ke Eropah dan UK bukan hanya dari negara berperang. Dari Pakistan, dari China, dari India dan dari Sri Langka semua nak masuk ke Eropah.

Mereka pelarian ekonomi. Bukan pelarian politik atau perang.

Dari benua Afrika mereka berkapal masuk ke Itali dan Greece. Dua negara ini menjadi sasaran kerana pesisiran pantai negara ini paling hampir dengan benua Afrika.

Dari Itali mereka melolos masuk ke Eropah Timur atau meluluskan diri ke Peranchis. Bila sampai ke Peranchis mereka ke Calais. Kota pelabuhan Calais ini paling hampir dengan pelabuhan Dover – pelabuhan Inggeris. Kota Dover ialah sasaran akhir pendatang ini.

Pelik tetapi benar – mereka sudah sampai ke Itali, sudah berlabuh di Greece, sudah masuk ke Perancis – kenapa tidak minat meminta suaka politik dan perlindungan di negara ini?

Persoalan inilah yang PM Keir Starmer wajib rungkai. Keir Starmer wajib tanya dirinya sebelum menuduh para pendemo itu semua rasis dan ekstremis kanan.

Saya sendiri berani menjawab. Jawapan saya ini hasil pengalaman saya sebagai pesuaka politik.

Saya dibebaskan dari penjara di Bombay atas arahan Mahkamah Agong India. Mahkamah menerima permintaan kerajaan Belgium yang telah menerima saya sebagai pelarian politik. Di Belgium saya mendapat hak sama seperti rakyat Belgium kecuali saya tidak boleh mencampuri politik Belgium.

Saya mendapat bayaran hidup bulanan. Saya belajar di universiti sama seperti warga Belgium. Tidak ada beza antara saya dengan Bumiputera Belgium. Tapi kenapa saya masih mahu berpindah ke UK.

Saya memilih UK kerana sistem negara ini dari pengalaman saya adalah yang terbaik

dalam dunia ini. Kota London adalah kota budaya yang kosmopolitan yang terunggul dalam dunia. Kota London ialah kota ilmu yang terulung dalam dunia.

Di Belgium saya wajib mendaftar diri di Commune - daerah mukim saya tinggal. Jika daerah ini menolak maka saya tidak akan dapat berpindah ke sana.

Tuan rumah tempat saya menyewa flet mahu melihat saya telah di terima sebagai warga. Tanpa persetujuan Commune - majlis daerah – saya tidak akan dapat menyewa bilik atau flet.

Setiap warga di Eropah ada menggunakan kad pengenalan. Di UK tidak ada sistem kad pengenalan.

Abdul dari Kenya boleh mengaku berasal dari Syria. Wakuma Omboro dari Nigeria boleh menyamar menjadi Anton dari Jamaica.

Polis di Tanah Besar Eropah boleh menahan sesiapa saja dan meminta melihat kad pengenalan yang sah. Dalam saku saya sentiasa ada kad pengenalan dari Wavre – Commune tempat saya tinggal.

Saya tidak boleh berpindah randah tidur di sana sini. Adalah kesalahan jenayah jika tidak membawa ‘carte d'identité’. Malah saya sendiri walau pun penduduk tetap di Wavre Belgium pernah ditahan oleh polis.

Polis di UK tidak ada hak menahan atau bertanya apa apa pun kepada sesiapa pun di jalan raya. Sesiapa saja boleh menyewa bilik atau flet jika tuan empunya telah bersetuju.

Bulan Julai saya boleh tinggal di Bromley – by – Bow London dan bulan Ogos saya boleh berpindah ke Brixton London. Tidak ada soal jawab. Ini mustahil boleh berlaku di Jerman, di Perancis atau di Belgium.

Pada hemat saya sebagai bekas pelarian politik sistem inilah yang menjadi tarikan para pedatang haram ke UK. Mereka merasa tidak bernafas di Perancis atau di Jerman.

Satu lagi tarikan kepada pendatang haram ini ialah undang-undang hak asasi manusia yang di guna pakai di UK.

Pelarian bila sampai ke UK akan diberi perlindungan. Akan di sediakan tempat tinggal. Akan di beri makan minum. Akan di beri duit saku.

Di Belgium saya lalui semua ini.

Apa yang saya tulis ini pengalaman saya tahun 1980an. Pelarian politik diberi penghormatan. Berita saya sampai ke Belgium muncul di muka hadapan Le Soir akhbar harian Belgium.

Tahun 2024 pendatang yang bukan berkulit putih – kini digasak oleh 'bumiputera asli' Eropah. Suasana telah berubah. Orang berkulit hitam tidak lagi disambut dengan tangan terbuka di Eropah.

Memberi perlindungan kepada pendatang dianggap – mengabihkan boreh. Sistem sosial UK menjadi huru hara. Dana majlis tempatan diguna untuk menampung pendatang haram. Bumiputera marah lalu mereka keluar berdemo.

Apakah mereka rasis bila bumiputera melaungkan: Kera di hutan disusukan – anak di rumah mati kelaparan.

Pada hemat saya laungan ini tidak boleh ditamatkan dengan Panadol. Jika bukan Panadol apa yang wajib di lakukan. Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.