Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Jiwa merdeka dan pembebasan golongan tertindas

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pada tahun 2018 saya ke Colombo, Sri Lanka untuk hadiri forum anjuran Religious Freedom Institute. Di sana saya berkesempatan untuk mengatur perjalanan untuk melihat kesan jejak warisan keturunan Melayu. 

Sri Lanka, khususnya Colombo memang terkenal dengan diaspora Melayu. Malah dikatakan komuniti keturunan Melayu di sana dominan dalam bidang ekonomi. Di sana TV1 boleh diakses. Walau mungkin kandungan cerita, berita dan lain-lain dokumentari tidak difahami sepenuhnya oleh keturunan Melayu di sana, setidaknya dapat mereka berterusan mempunyai hubungan sentimental dengan orang Melayu di negara kita. 

Sungguhpun begitu, Melayu Sri Lanka bukan hanya dari wilayah-wilayah di Malaysia, tetapi juga dari sebahagian wilayah Indonesia.

Terdapat pelbagai variasi cerita tentang sejarah keberadaan mereka di sana. Antaranya termasuklah ketika zaman perang Belanda – Portugis, apabila Belanda mengerahkan sebahagian orang Melayu di Hindia Timur (Indonesia) untuk menjadi tentera di Sri Lanka bagi merampas Sri Lanka daripada tangan Portugis pada tahun 1658.

Negara berkenaan juga turut menjadi antara tempat politik buangan pejuang kemerdekaan alam Melayu oleh penjajah. Ulama Sufi yang juga pejuang kemerdekaan dari Sulawesi, Sheikh Yusuf al-Makassari adalah antara tokoh yang dibuang oleh penjajah Belanda ke Ceylon (Sri Lanka) pada September 1684, sebelum beliau dibawa ke Tanjung Harapan, Afrika Selatan pada 1693.

Warisan Melayu di Sri Lanka hari ini, dengan wujudnya Malay Street, Sri Lanka Malay Confederation (Slamac), Colombo Malay Cricket Club dan sebagainya, adalah manifestasi bahawa kaum Melayu dulu adalah kaum tertindas dan menjadi mangsa perhambaan penjajah untuk dipaksa duduk di tanah milik orang.

PBB yang tempang

Inilah hakikat penjajahan dan penjarahan. Mesti ada golongan yang dihalau keluar dari tanah air sendiri dan menjadi pelarian. Hakikat ini masih berterusan berlaku hari ini walau dunia kini diatur dengan Piagam PBB yang kononnya menjamin kebebasan dan kemerdekaan seluruh warga dunia.

Jelas badan antarabangsa sudah tempang dalam memberi hak kepada manusia. Inilah akibatnya bila dunia tidak konsisten memperjuang agenda hak, keadilan dan kebebasan. Sikap ini berpunca daripada kegagalan mereka yang mengatur dunia untuk mengambil iktibar daripada penindasan.

Ketika zaman gelap, mereka dirundung penindasan dan pembodohan yang dilakukan sang raja dan agamawan songsang hingga akhirnya tercetus semangat untuk bangkit menjadi bangsa yang bebas Merdeka.

Malangnya pencerahan - renaissance yang didukung mereka lebih didorong semangat pemberontakan. Maka, terjemahan kepada pencerahan iaitu reformasi dan revolusi adalah semata mengambil jalan keluar dari keterikatan nilai-nilai yang membangun masyarakat. 

Ini yang ditegaskan Will Durant dalam The Story of Civilization: “The brilliant enfranchisement of the mind sapped the supernatural sanctions of morality, and no others were found to effectually replace them. The result was such a repudiation of inhibitions, such a release of impulse and desire, so gay a luxuriance of immorality, as history had not known since the Sophists had shattered the myths, freed the mind, and loosened the morals, of ancient Greece” 

Akibatnya kemerdekaan dan kebebasan yang mereka kecapi hanya kemerdekaan batang tubuh peribadi yang tertumpu kepada kelompok mereka, dengan kemuliaan darjat juga hanya semata untuk kelompok mereka. Sebaliknya kebebasan untuk orang lain tidak dianggap sebagai kebebasan. Lantas, mereka menghalalkan penjajahan, penindasan dan pembodohan ke atas manusia lain di luar Barat walau mereka sendiri melaungkan kata-kata pembebasan dan kemerdekaan. 

Noam Chomsky

Mereka akan terus melakukan, atau setidaknya merestui, penjajahan atau jenayah perhambaan bangsa selain Barat selagi mereka tidak memahami erti manusia. Lihat apa yang berlaku di Palestin, penjajahan berterusan direstui atas pelbagai helah seperti yang disebut Noam Chomsky sebagai tindakan yang paradoks.

“The last paradox is that the tale of Palestine from the beginning until today is a simple story of colonialism and dispossession, yet the world treats it as a multifaceted and complex story – hard to understand and even harder to solve.”  

Sebaliknya, andainya mereka tidak mencabut nilai-nilai kemanusiaan dalam mengangkat makna kebebasan, dengan memahami hakikat insan sebagai makhluk yang setara punya darjat terhormat dan bermartabat, mereka tidak akan melakukan penjajahan atau merestui penjajahan.

Merdeka jiwa

Bulan ini, negara kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-67 serta penubuhan Hari Malaysia ke-61. Bibit-bibit filsafat kemerdekaan dan kebebasan acuan Barat ini seolah wujud dalam pemikiran kita dan tanpa sedar kita menari mengikut rentak gendang yang dipalu mereka. Kita seolah sudah lupa untuk ambil iktibar dari penindasan dan penjajahan yang kita lalui, iaitu dengan menyebar luas nilai kebebasan serta memberdaya kelompok tertindas – mustad’afin di bumi lain. 

Bukan dengan mendabik dada, biadab, sombong, angkuh dan berpaling dari membantu mereka yang dizalimi di tanah air mereka sendiri. Amat mengecewakan bilamana wujud suara sumbang yang membantah usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi rawatan kepada 41 pesakit kritikal dari Palestin akibat dari jenayah genosid yang dilakukan regim Israel.    

Lantaran itu, badan masyarakat sivil seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), BDS Malaysia, Greenpeace, ABIM, PKPIM serta individu tokoh dan ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab moral bagi membetulkan keadaan ini dengan mengeluarkan kenyataan bersama menyokong usaha murni ini. 

Di manakah jiwa merdeka kita? Bila jiwa kita masih terpasung dengan erti pembebasan yang angkuh lagi sombong cerminan Barat yang menelurkan doktrin white supremacy

Situasi ini sesungguhnya mengingatkan kita akan saranan Franzt Fanon dalam konteks peranan para ilmuwan era pasca kolonial yang menegaskan - apa yang harus mereka lakukan....apabila polis kulit putih terakhir angkat kaki, bukan sekadar menggantikan polis kulit putih dengan rakan sejawatnya, polis pribumi. Sebaliknya peranan kaum ilmuwan adalah ‘the invention of new souls” atau pembinaan jiwa baru. Pembinaan jiwa baru ini adalah jiwa merdeka. 

Penegasan Fanon ini terkait dengan pesan Prof Syed Hussein Alatas yang pernah menyinggung permasalahan “minda tertawan”. Beliau merujuk kaum terpelajar pribumi yang terkurung dalam sistem dan orientasi Barat hingga tidak mampu melepaskan diri dari sudut pandang, perspektif dan paradigma keilmuan Barat.

Negara kita menerusi kelompok ilmwuan harus mengusahakan pencerahan yang membawa kepada kesedaran reformasi. Tapi pencerahan yang kita garap harus dibezakan daripada pencerahan Barat yang didorong semangat memberontak khususnya terhadap kewibawaan agama dan tradisi. Kita perlu kukuh membela pendirian filsafat kita agar kita tidak mengulangi kebobrokan Barat dalam mengangkat racun yang meruntuhkan nilai-nilai peradaban dunia. 

 “Jawa terus menerus kalah... kalau Tuan mempelajari sejarah Jawa, terlalu sedikit pemimpin-pemimpin itu yang mati di medan perang karena membela pendirian filsafatnya. Semua goyah, menyerah pada Belanda, dan dengan demikian juga mengakui keunggulan Eropa, filsafat Eropa, bukan hanya ilmu dan pengetahuannya”. – Petikan dari dialog antara Tuan L kepada Minke dalam  karya agung Tetralogi Buru Pramoedya, Rumah Kaca


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan bekas Presiden ABIM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.