KOLUM | 13 Mei di UK: Media sosial dan berita palsu
KOLUM | Berita palsu ini bukan sesuatu yang baru. Berita ditokok tambah untuk menyedapkan cerita adalah perkara biasa. Berita berubah penceritaan dari mulut ke mulut adalah lumrah.
Melapor berita ini macam cerita Enam Orang Buta Melihat Gajah.
Malah laporan dari media mana pun – dari stesen tv apa pun – dari akhbar – dari portal apa pun semuanya memiliki lenggok dan condong.
Lenggok dan condong ini bergantung kepada tuan empunya media. Bergantung kepada garis politik pemilik media. Tulisan dan laporan berita yang kita baca itu juga bergantung kepada pandangan dunia sang penulis dan sidang redaksi.
Media apa pun dan akhbar tersohor mana pun yang mendakwa sebagai objektif adalah karut. The New York Times yang mendakwa tidak memihak itu kenyataan bohong.
Radio BBC yang mendakwa memberi laporan seimbang itu kenyataan tipu. RTM, Utusan, TV3 dan semua yang sewaktu dengannya akan memihak dalam melapor.
Malah tulisan saya ini juga ada lenggok dan condongnya. Pandangan dunia dan pandangan budaya saya mempengaruhi bentuk gaya dan apa yang saya tulis.
‘Aji-no-moto berita’
Berita dan laporan berita juga seperti masakan. Aji-no-moto ditambah dalam berita untuk menyedapkan berita.
Apa dia aji-no-moto dalam berita?
Sensasi, gempak, ganjil, memeranjatkan, lain daripada yang lain, gambar atau tajuk berita. Semua ini aji-no-moto. Seperti masakan Perancis dihias seperti seni tampak.
Tahun 2024 ini berita dan pemberitaan telah diubah oleh teknologi Internet.
Terkini terbaru berita dari teknologi ini telah dituduh sebagai memulakan dan menambah luaskan pergaduhan bumiputera UK berkulit putih dengan kaum pendatang yang tercetus pada 29 Julai 2024 yang lalu.
Kes rusuhan bumiputera UK ini berlaku di zaman Internet. Kini Internet dan media sosial di tuduh sebagai punca rusuhan.
Awal dulu saya telah menulis bagaimana Perdana Menteri UK Keir Starmer yang belum 100 hari naik takhta telah kelam-kabut dan gopoh-gapah bila berhadapan dengan rusuhan bumiputera ini.
Keir Starmer (gambar bawah) terus menuduh rusuhan kaum ini didalangi oleh kumpulan kanan.
Pada 5 Ogos portal PBS dari Amerika melaporkan: British Prime Minister Keir Starmer, in office just a month, has promised to crack down on groups of 'right-wing thugs' - Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang memegang jawatan baru sebulan, telah berjanji untuk membanteras kumpulan 'samseng sayap kanan'.
Untuk sesiapa yang boleh berfikir, yang boleh membaca dan meneliti akan ketawa bila membaca Keir Starmer dengan analisa kontotnya. Tuduhan semberono terhadap kumpulan pelampau sayap kanan ini dilihat sebagai tanda keupayaan fikrah Keir Starmer.
Warga yang rasional berfikir tidak akan membeli cerita dongeng yang dijaja oleh Perdana Menteri UK yang baru ini. Justeru sebab dan punca sebenar kenapa rusuhan kaum wajib digali.
Tiba-tiba seorang jantan dari Lahore Pakistan di tangkap. Farhan Asif berumur 32 tahun dituduh sebagai pencetus, sebagai pemula dan sebagai penyebab berlakunya rusuhan di United Kingdom.
Mamat dari Lahore 4,000 batu dari UK dijadikan punca rusuhan ala 13 Mei di UK. Biar betul.
Polis Pakistan telah menahan seorang wartawan bebas tempatan yang dituduh menyebarkan berita palsu yang membawa kepada rusuhan dan keganasan yang meluas terhadap masyarakat Islam di UK berikutan kejadian menikam tiga gadis muda di bandar Southport, kata seorang pegawai pada Isnin.
Farhan Asif, yang bekerja untuk platform digital, Channel3Now, telah ditahan di bandar timur laut Lahore, kata ketua polis tempatan kepada pemberita.
Ini berita betul. Saya pungut maklumat ini dari Anadolu Agency - agensi berita dari Turki. Berita ini dilapor pada 20 Ogos 2024.
Saya rasa PM Keir Starmer akan merasa lega bila membaca laporan dari agensi berita ini. Starmer pasti berfikir rupa-rupanya Internet dan fake-news – berita palsu yang menjadi punca pergaduhan kaum bukan dasar kerajaan.
Media dan politikus di UK menuduh Farhan Asif dari Lahore sebagai punca rusuhan.
Ini samalah seperti Tungku Abdul Rahman dalam bukunya: 13 Mei Sebelum Dan Selepas.
Tunku menuduh gambar Khir Johari dan Isteri memakai pakaian klasik Cina penyebab rusuhan 13 Mei. Gambar ini menaikkan kemarahan orang Melayu lalu mereka mengamuk di Setapak dan Kampung Baru.
Portal Channel3Now ini bukan condong ke mana-mana pihak. Portal ini mengeluarkan berita pendatang haram membunuh bumiputera berkulit putih dengan aji no moto untuk menarik pembaca.
Politikus di UK dan di Tanah Melayu memiliki perangai dan pendekatan yang sama. Mereka mencari jalan mudah bila berhadapan dengan masalah yang tebal dan rumit.
Tidak ada politikus dari mana parti yang berkuasa berani menghurai dua perkara – dua teori - yang pada hari ini sering ditimbulkan orang ramai di Eropah dan di Amerika.
Saya sendiri pada awalnya tidak faham akan makna dan tanda dua teori ini. Pertama teori nativism dan kedua teori replacement.
Nativisme dasar politik untuk mempromosi atau melindungi kepentingan Orang Asli atau Orang Asal ke atas kepentingan pendatang, termasuk sokongan terhadap langkah antiimigresen dan sekatan imigresen.
Justeru saya melayukan menjadi bumiputera. Teori ini amat mudah difahami kerana sesudah peristiwa 13 Mei kita di Tanah Melayu mula mengamalkan teori ini.
Sementara itu, teori replacement ini bersangkutan dengan demografi. Warga kulit putih di Amerika Syarikat dan Eropah membuat spekulasi bahawa penurunan kadar kelahiran di kalangan orang kulit putih membawa bahaya kepada negara watan mereka. Kedatangan imigran pendatang bukan Kristian akan melemahkan identiti nasional.
Saya melayukan sebagai teori mengubah budaya.
Pada hemat saya hujah dan fakta yang berasaskan dua teori inilah yang menyebabkan berlakunya rusuhan 13 Mei di United Kingdom.
Malah teori ini juga sedang diguna pakai di Amerika dan di Eropah.
Manifestasi daripada teori ini sedang kita lihat dalam kempen Donald Trump. Calon Presiden ini mahu menghantar pulang semua pendatang haram yang mencuri masuk ke Amerika Syarikat.
Data dari portal migrationpolicy.org menunjukkan hari ini ada 11.4 juta pendatang haram di Amerika. Saya ulang. Ada 11.4 juta pendatang haram di Amerika. Bukan 11 orang tapi 11 juta.
Di Jerman parti AFD – Alternative for Germany – cukup popular (gambar atas). Parti ini semakin merebak dan semakin mengampuh di Jerman.
Induk kempen AFD ini juga sama seperti kempen Trump. Mahu pendatang haram dihalau keluar dan menghentikan pengambilan pendatang baru.
Data Parlimen Eropah menunjukkan ada 5.1 juta pendatang memasuki EU dari negara bukan EU pada 2022, peningkatan sekitar 117 peratus (2.7 juta) berbanding 2021. Majoriti pendatang haram.
Pendatang haram dari luar Eropah inilah yang menjadi pemangkin masalah sosial yang kini menghantui UK.
Malah pandangan dan ajaran dari dua teori ini sedang tersebar meluas di Eropah. Sweden, Austria, Perancis dan Itali memperlihatkan kekalahan garis sosial demokrat. Parti tradisional yang mengamalkan garis lama makin digasak dan akan disingkir oleh dua teori ini.
Amat mudah untuk menuduh penganut dua teori ini sebagai pelampau kanan. Amat mudah untuk Keir Starmer menuduh mereka yang merusuh di Southport sebagai rasis.
Menuduh bumiputera sebagai rasis mudah. Menuduh John dan Jenny yang tidak suka kepada Abdeel dan Amineeh sebagai rasis cara kontot berfikir.
Jika Abdeel dan Amineeh tidak berada di UK apakah John dan Jenny menjadi rasis? Sila jawab.
Kenapa kanan diterima di Jerman?
Pada hemat saya - malah berkali-kali telah saya nyatakan rasis ini bom nuklear yang dibalingkan tanpa memahami sejarah dan budaya.
Tuduhan rasis tohmahan untuk memadamkan hujah rasional yang terpendam di dalam sanubari anak watan.
Mari kita kembali meneliti lenggok dan condong ke mana laporan media arus perdana hari ini.
Rusuhan bumiputera berkulit putih di UK sudah reda. Ramai masuk penjara. Lenggok dan condong media masih terus menuduh kumpulan samseng kanan bersama bantuan Internet dan media sosial sebagai pencetus rusuhan. Penangkapan Farhan di Lahore memperkuat hujah ini.
Dalam pada itu, media di Jerman mengakui bagaimana AFD semakin popular. Media tidak pula merungkai kenapa ini berlaku. Kenapa garis kanan semakin diterima dan berkemungkinan akan mengalih lanskap politik Jerman?
Di Amerika media arus perdana sebulat suara menenggelamkan isu pendatang haram. Memperlekehkan projek tembok sempadan yang ingin didirikan oleh Trump untuk menghalang kemasukan pendatang haram dari Mexico.
Lenggok dan condong yang dijual dan dijaja oleh media arus perdana mengenai kelucahan Trump, tentang sikap Trump terhadap wanita dan tentang hak wanita untuk menggugurkan anak.
Berita tentang 11 juta pendatang haram yang pasti akan membawa masalah sosial dalam masa terdekat diletakkan di bawah punggung.
Media arus perdana terus memperlekehkan teori bumiputera dan teori mengubah budaya sebagai picisan. Media di Amerika dan di Eropah serentak dan seirama memperkecilkan kebangkitan garis politik baru sebagai rasis.
Media-media arus perdana ini mengulangi sekali lagi sikap dan lenggok laporan mereka sama seperti yang mereka lakukan ketika Bush menuduh Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.
Apa sangkut pautnya apa yang berlaku di Amerika dan Jerman dengan kita di Malaysia? Apa lenggok dan condong media kita terhadap pendatang haram? Sila tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai