KOLUM | Penyangak dalam politik
KOLUM | Antara kehebatan Dr Mahathir Mohamad ialah menggunakan istilah mudah untuk menyampaikan sesuatu idea - termasuk yang rumit - agar senang difahami masyarakat.
Pada ketika tertentu kaedah itu berjaya melaksanakan pembunuhan karakter seperti yang dilakukan Mahathir sewaktu menyerang kerajaan Najib Razak sejak 2016.
Mahathir menggunakan istilah "penyangak" untuk mengaitkan Najib dengan skandal penyelewengan dalam 1MBD.
Mahathir berkata kes 1MBD mewujudkan "kerajaan kuku besi" yang ditakrif sebagai "kleptokrasi" iaitu kerajaan pencuri, penyangak dan perompak. Itu adalah kenyataannya pada 2016 iaitu dua tahun sebelum Najib dan Umno berjaya dijatuhkan.
Demikianlah kekuatan politik Mahathir yang perlu dipelajari. Mencontohi atau tidak adalah satu perkara lain.
Penggunaan istilah penyangak kepada pesaing politik adalah satu pendekatan yang lebih kepada mainan sentimen. Ia bukan pencerahan kepada masyarakat.
Dalam politik, sentimen lebih diperlukan berbanding pencerahan. Apatah lagi ketika itu, tempoh untuk menghadapi PRU hanya tinggal dua tahun sahaja. Pendekatan tersebut adalah jalan singkat untuk mendapatkan kuasa daripada mereka yang sedang duduk di atas singgahsana.
Pencerahan pula adalah suatu proses yang lambat. Pencerahan adalah proses pendidikan sehingga jalan kebenaran itu diperolehi melalui proses logik, fakta, ada saling berkaitan dan kukuh.
Garis pemisah halal, haram
Bidang politik bukanlah sains politik yang akan diberi markah dalam peperiksaan di penghujung semester universiti.
Justeru membakar sentimen bukan saja sangat mudah bahkan murah. Ia tidak perlu hujah yang rasional. Ia memadai dengan retorik yang menarik dan menangkap minda orang ramai.
Istilah penyangak itu diulang-ulang sebut di merata tempat dan waktu sehingga menjadi sebuah 'orkestra' berkumandang siang malam.
Pendekatan tersebut meraih sokongan ramai dan berjaya membina persepsi sehingga Umno hilang kuasa buat pertama kali sejak mereka wujud.
Dalam politik sebenarnya, kelompok penyangak adalah aktor yang dibiarkan hidup demi kelangsungan politik. Istilah penyangak merujuk kepada kelompok manusia yang tidak mempertimbangkan soal moral dalam mendapat faedah peribadi atau kelompok.
Mereka mencuri harta dan khazanah negara secara sistematik dan organik. Hasil haram yang diperolehi dijadikan modal dalam memperkukuhkan kedudukan dan kuasa.
Di sinilah suburnya politik wang dalam sesebuah parti tanpa mengira sama ada ia dilabel sebagai parti agama atau parti bangsa.
Akar perbuatan penyangak ini ialah rasuah. Namun istilah rasuah tidak lagi memberi kesan emosi yang besar dalam pemikiran masyarakat kerana ia sudah membudaya.
Dua jenis penyangak politik
Dalam sistem pemerintahan yang korup, garis pemisah di antara halal dan haram, atau benar dan salah boleh diurus melalui kerjasama (atau gotong-royong) yang songsang.
Hal ini dihurai secara mendalam oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya, ‘Rasuah - Sifat, Sebab dan Fungsi’.
Jangan berasa aneh jika sang penyangak tanpa segan silu mengusung buku tersebut ke merata tempat demi memperlihatkan etos mereka sebagai kelompok yang memerangi penyelewengan, rasuah, dan segala kemungkaran.
Sang penyangak dalam politik bernafas panjang apabila mendapat perlindungan politik daripada pemimpin korup.
Sekurang-kurangnya terdapat dua jenis penyangak yang wujud dalam sistem politik. Pertama, sang penyangak yang sudah bersama pemimpin sewaktu tiada kuasa.
Bagi mereka, langkah bergayut di pinggang pemimpin adalah pelaburan jangka masa panjang. Faedah akan dapat diraih apabila kuasa diperolehi nanti.
Jenis kedua ialah sang penyangak yang datang selepas pemimpin mempunyai kuasa. Jenis ini adalah yang paling banyak dan terzahir dalam pelbagai rupa dan bentuk.
Sang penyangak boleh saja datang sebagai seorang saudagar besar, sarjana hebat, birokrat atasan, sasterawan, bangsawan, ulama, seniman dan pelbagai sarung kerjaya yang boleh memberi keyakinan kepada pemimpin yang berkuasa.
Penyangak-penyangak terbabit melakukan kerja-kerja kotor politik seperti membuat dan menyebar fitnah, mencari modal politik, memusnahkan pesaing, malah menganjur pertemuan sulit dengan musuh politik yang boleh bekerjasama meski boleh membunuh karier politik sahabat sendiri.
Sejenis 'muka tembok'
Sang penyangak dari jalur saudagar menggunakan modal sebagai senjata, manakala birokrat jahat menggunakan jabatannya. Jika penyangak dari jenis ulama, mereka gunakan ayat-ayat suci untuk meyakinkan pengikut.
Jika sasterawan yang menyangak, mereka menggunakan keindahan kata dan menyusunnya sebagai perangkap makna.
Begitulah dengan jalur-jalur lain, masing-masing dengan cara sendiri.
Politikus suci yang beridealisme tentu tidak tergamak melakukan kerja-kerja kotor. Mereka tidak mempunyai kemahiran atau pengetahuan melakukannya. Oleh itu, segala perbuatan jahat akan dilakukan oleh penyangak masing-masing sama ada di bawah pengetahuan dan restu pemimpin atau sebaliknya.
Untuk penyangak kampungan mereka hanya memerlukan sedikit imbuhan. Misalnya apa saja habuan bagi meneruskan kehidupan agar sedikit lebih selesa. Ia boleh hadir dalam bentuk pemberian projek atau peruntukan tertentu.
Dapat berfoto atau makan bersama dengan pimpinan pun sudah cukup menjadi kebanggaan.
Hubungan sang penyangak dengan pimpinan sering diperagakan kepada umum. Hal itu kerana mereka memang tiada modal lain yang lebih meyakinkan. Hanya berharap dan bersandar dengan pemimpin sajalah ada.
Pedulilah jika penyangak itu dilabel balaci, barua atau apa-apa gelaran buruk yang lain.
Sang penyangak sedaya upaya meletakkan diri sebaris dengan pimpinan. Memang tidak sukar untuk melakukannya. Mereka memang jenis muka tembok dan tidak tahu malu.
Mereka bukan sekadar menjadi pembuntut yang setia pada pemimpin tetapi menjadi orang kanan atau kiri pada berdirinya sang pemimpin dalam majlis.
Pemimpin baik sebenarnya tidak memerlukan pembuntut yang kerjanya menjadi pasu bunga, bunga manggar atau tukang sorak.
Pemimpin yang baik memerlukan pengikut atau penyokong yang bekerja dengan peluh keringat sendiri, serta memiliki akal nurani yang bersih.
Perlu diingat bahawa sang penyangak juga pada masa yang sama membiayai kerja-kerja kebajikan dan menganjurkan acara keagamaan dalam masyarakat. Itulah siri drama yang dipertontonkan sehinggalah sampai episod penghabisan.
Emosi pengikut yang lurus bendul boleh mengalir membasahi bumi.
Kemudian episod lain muncul dan mengulangi drama pembodohan politik dalam masyarakat. Oleh sebab itu, penyangak, penunggang agama akan lebih galak dalam masyarakat pandir.
Dalam kes-kes tertentu, sang penyangak berlagak sebagai orang perantara. Mereka ada kabel dengan pemimpin dan mampu mempengaruhi keputusan pemimpin.
Jika pemimpin melangkah sekali, penyangak sudah sepuluh kali ganda di hadapan.
Begitulah kreatif dan cekapnya penyangak dalam politik berlagak.
Oleh sebab itu, kita perlu meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan masyarakat agar slogan Madani dimaknakan dengan peradaban sebenar. Bukan bunyi bising dari sebuah tong kosong.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai