KOLUM | Ingin Jadi Nasrallah
KOLUM | Dalam perang paling ganas terhadap umat Palestin dan umat Islam keseluruhannya mutakhir ini, musuh Islam tidak membezakan sama sekali orang Islam. Sunni dan Syiah dibunuh sekali. Jika dunia belahan Sunni memberikan Ismail Haniyeh kesyahidan dalam perjuangan, dunia belahan Syiah ikut memberikan Sayyid Hassan Nasrallah.
Sebelum Haniyeh yang syahid, telah ramai yang mendahuluinya, misalnya Sheikh Ahmed Yassin. Sebelum Sayyid Nasrallah, yang telah syahid juga ramai, misalnya direnggut Syahid Abbas al Musawi. Yang belum dan masih mengelak memberi untuk agama, dan umat; kaum Wahhabi.
Pada tahun 2006, apabila Zionis menggasak Lubnan, saya menulis sebuah puisi dengan judulIngin Jadi Nasrallahdi Tenom Sabah. Puisi ini terbit di Dewan Sastera bulan September tahun tersebut. Ia sempena edisi khas mengenang krisis di Palestin dan Timur Tengah waktu itu. Pada tahun 2010, saya menerbitkan kumpulan puisi pertama saya dengan mengangkat judul puisi inilah - Ingin Jadi Nasrallah - ia dilekat sebagai nama buku.
Lama kemudian, pada tahun 2015, oleh kehebohan dan provokasi kaum Wahhabi. Buku puisi ini yang diterbitkan pada tahun 2010, diharamkan oleh Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri ketika itu). Pada tahun 2018, setelah perlawanan yang panjang, pengharaman buku ini diangkat oleh Mahkamah Rayuan dan para Yang Arif hakim telah menegaskan tiada apa yang boleh mendorong ketidakstabilan dari buku dan puisi ini, seperti yang didakwa oleh Kementerian Dalam Negeri di era Najib Razak tatkala itu. Alhamdulillah.
Pembunuhan Sayyid Hassan Nasrallah pada 28 September 2024 adalah satu keindahan. Hezbullah telah memberi sekian ramai syuhada untuk perjuangan melawan Zionis. Malah Nasrallah sendiri adalah tokoh yang bertanggungjawab mengusir Israel dari bumi Lubnan sepanjang 1990-an dan dianggap rata-rata sebagai hero di Timur Tengah.
Kaum Wahhabi, puak Barat beracun dan musuh Islam sahaja yang enggan menganggap beliau seorang ikon besar. Abdul Hadi Awang, pemimpin PAS yangberangkat ke Iran menghadiri Muktamar PenyatuanIslam Sedunia Kali Ke-38 anjuran Majma' Taqrib Mazahib yang berlangsung pada 19 - 21 September di Tehranmisalnya reti selok-belok permainan musuh Islam dan sekutunya ini.
Dalam status media sosialnya, Hadi memberitahu beliau menegaskandalam ucapannya di Iran - bertajuk'Kerjasama Islam Ke Arah Mencapai NilaiKebersamaan Bagi Mempertahankan Al-Aqsa'- bahawa dunia Islam mesti bersatu.Seterusnya Hadi menghujahkan “ketegasan dunia Islam dalam mempertahankan Palestin melangkaui perbezaan mazhabdan asabiyah perkauman, seterusnya menggembeleng kerjasama dalam kalangan ulama untuk membangkitkan kesedaran umat Islam”.
Beliau kemudian menamatkan kenyataan dengan memberi harapan, “semoga usaha penyatuan ini akan menatijahkan kejayaan yang lebih besar kepada dunia Islam dan perjuangan Palestin,berpaksikan kepada tonggak keadilan, keamanan danperpaduan yang dibawa oleh Rasulullah saw sebagai jalan penyelesaian”.
Apakah yang akan terjadi selepas ini?
Selepas keindahan ini - setelah kesyahidan Hassan Nasrallah - saya percaya akan lebih ramai lagi Nasrallah menjelma. Satu masa dahulu, Israel menyangka mereka telah membenamkan Hezbullah dengan kematian Syahid Abbas Musawi, tetapi ternyata yang tumbuh setelah itu adalah Nasrallah. Demikian, musuh akan merasakan mereka telah berjaya memadam blok pertentangan, namun percayalah akan lebih ramai yang hadir dan berazam untuk ingin jadi Nasrallah. Inilah maksud dari puisi yang saya tulis pada tahun 2006 itu.
Sebetulnya tidak penting sekte atau mazhab; seperti yang saya katakan musuh Palestin tidak percaya semua itu. Hadi percaya itu. Yang penting adalah perlawanan. Tetapi puisiIngin Jadi Nasrallahtersebut menjadi berhantu dan digeruni kaum Wahhabi kerana saya memikirkan dengan penuh perasaan tanda tanya dan gelora, apa sebabnya Hezbollah melihat kesyahidan pemimpin-pemimpin mereka sebagai keindahan?
Ia kembali kepada kata-kata Zainab al-Kubra, adiknya As-syahid Saidina Hussein iaitu cucu Rasulullah SAW di hadapan Raja Yazid di Damsyik. Apabila Yazid yang berasa seronok dengan kesyahidan Hussein menempelak Zainab, ujar Zainab ternyata meruntuhkan istana hijau Umaiyyah. Kata Zainab, aku tak melihat apa pun kecuali keindahan.
Untuk umat Islam yang tidak kenal sejarah Karbala, mereka akan berasa aneh. Tetapi untuk Ismail Haniyeh, Sunni yang akrab dengan ulama Syiah dan malah syahid di Tehran, Iran; ini tidaklah asing. Bahkan semangat dan tenaga Karbala dan suara padu Zainab itulah yang menjadi kekuatan beliau. Pemimpin Hamas yang menggantikan Haniyeh, Yahya Sinwar misalnya melihat pembantaian di Gaza sebagai ‘Karbala moden’. Kebetulan pula sekali, anak perempuan Nasrallah, Zainab namanya, ikut syahid sekali dengan bapanya.
Seperti Yazid, Israel akan bergembira seketika. Akan tetapi seperti juga Yazid, Netanyahu akan melihat betapa melesetnya pembunuhan Nasrallah dan Haniyeh ini memberikan markah. Ini kerana persis pembunuhan Saidina Hussein; yang tidak dijangkakan ialah implikasi negatif daripada pembunuhan cucu Nabi itu. Seluruh dunia Islam yang terkejut dan tersentak oleh ketergamakan Yazid dan Bani Umaiyyah membunuh cucunda Rasulullah SAW telah bingkas.
Barang diingat, Islam tulen yang dibawa Nabi Muhammad - yakni Islam yang anti korupsi - nyaris dihapuskan. Mujurlah Saidina Hussein memilih syahid, maka agama Islam yang kita kenal penuh integriti dan menolak korupsi itu kekal bertahan sehingga hari ini. Inilah makna kepada pemilihan al-Hussein sebagai penghulu di syurga.
Pembunuhan Haniyeh, dan kini Nasrallah, akan mengubah lanskap politik dunia seperti satu gempa bumi besar. Tidak ada apa yang sama kini. Sunni dan Syiah serta mereka yang tertindas dari seluruh dunia akan celik mata. Slogan Zainab melawan kekejaman dan kata-kata “yang kulihat hanyalah keindahan” akan bersipongang dan bertebaran merata.
Memang ada ramai juga yang tidak bersama Saidina Hussein dan ahlul bayt Nabi (Bani Hashim) selepas tragedi Karbala. Mereka yang enggan bersama itu adalah kem Yazid. Kem materi, yakni kem yang melihat kebendaan. Adakah kem Yazid dan kebendaan hari ini?
Jawapannya ada. Beberapa jam sebelum Netanyahu membunuh Nasrallah, dia berada di New York, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam ucapannya, Benjamin Netanyahu mengangkat dua peta Timur Tengah. Satu, kata ketua teroris dunia itu, adalah ‘yang celaka’ di mana ada peta Iran, Iraq dan Syria. Kedua, kata musibat laknat Netanyahu itu, adalah dunia yang ‘rahmat’ di mana ada peta Arab Saudi, Mesir membawa ke India. Tidaklah susah mana memikirkan, yang dibenci Netanyahu itulah yang tulen perjuangannya.
Apakah maksud dua peta tersebut, yang dijulang beberapa jam sebelum si celaka ini mengarahkan pembunuhan Nasrallah?
Mudah. Dalam perang paling jahat terhadap umat Palestin dan umat Islam keseluruhannya, musuh Islam seperti Zionis tidak membezakan sama sekali orang Islam. Baik Sunni dan Syiah dibunuh sekali. Jika dunia belahan Sunni memberikan Ismail Haniyeh kesyahidan dalam perjuangan, dunia belahan Syiah ikut memberikan Sayyid Hassan Nasrallah.
Kita pun tahu, sebelum Haniyeh, yang telah syahid tidak terkata ramai, misalnya Sheikh Ahmed Yassin. Sebelum Sayyid Nasrallah dibunuh, yang telah syahid teramatlah ramai, misalnya pernah dicincang Syahid Abbas al Musawi. Yang belum dan masih mengelak memberi untuk agama, dan umat; adalah kaum Wahhabi.
Dan, kalau pun Haniyeh dan Nasrallah telah pergi, yang ada, seperti kata Zainab al Kubra adalah “keindahan”. Makin ramai yang ingin jadi Nasrallah.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai