Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bangunlah segera dari lena

KOLUM | Ramai yang percaya lalu dengan megahnya berkata bahawa hidup ini sebenarnya ringkas dan mudah saja. Menurut mereka tiada apa yang rumit tentang hidup jika kita menjalaninya dengan sederhana dan menerima semua takdir seadanya.

Namun sebaik pertama kali menonton filem berjudul What’s Eating Gilbert Grape arahan Lasse Hallstrom tulisan Peter Hedges sekitar 1995, saya mula mempertikaikan dogma itu.

Saya menyifatkannya sebagai suatu pandangan hidup yang dangkal dan tak berpijak di bumi nyata.

Entah mengapa saya terlalu menyukai What’s Eating Gilbert Grape yang telah menunjukkan prestasi buruk di panggung. Filem tak balik modal itu tidak dicalonkan untuk hampir semua kategori Oscar.

Cuma Leonardo DiCaprio satu-satunya tercalon bagi kategori pelakon pembantu terbaik terbaik. Itu pun dia tewas kepada Tommy Lee Jones yang memenanginya menerusi filem The Fugitive.

Sejak itu saya mula tertanya-tanya: keseronokkan dan kepuasan apa yang saya alami sepanjang 1 jam 58 minit menonton filem itu.

Entah jalan spiritual apa yang telah dibentangkan oleh pengarah, penulis dan para pelakonnya sampai tergamak saya berubah fikiran mengatakan hidup secara sederhana dan seadanya itu rekaan kultus yang cuba menafikan kompleksiti kehidupan manusia.

Pandangan yang karut

Bingung juga memikirkan entah kenapa saya begitu terpersona dengan filem gagal tersebut. Tetapi dari situlah saya semakin berkeinginan untuk menonton lebih banyak sungguhpun saya sendiri tidak tahu apa yang saya cari atau mahu dapatkan dari filem.

Hinggalah pada 2022 - selepas menonton The Whale arahan Darren Aronofsky dan ditulis oleh Samuel D Hunter. Filem itu tiba-tiba mengembalikan semula sensasi lama tentang perasaan, persoalan dan pertikaian yang selama lebih 20 tahun saya cari dan saya tanya.

Baru saya sedar rupanya ada satu watak dalam kedua-dua filem itu yang menarik perhatian sekali gus mengganggu saya.

Watak Charlie yang diperkenalkan dalam filem The Whale membuka suatu lembaran kefahaman dan pemikiran baru. Dimensi moral, etika dan kemanusiaan yang saling berkomunikasi di antara watak Bonnie dalam What’s Eating Gilbert Grape dan Charlie dalam The Whale akhirnya membuatkan saya tahu apa yang selama ini saya cari dalam setiap filem yang saya tonton.

Proses interaksi itu menemukan saya dengan jawapan mengapa saya mengatakan hidup sederhana dan pasrah dengan takdir itu karut.

Melalui Charlie, saya mula memahami bahawa persoalan-persoalan saya tentang Bonnie adalah terkait dengan watak-watak keluarga dan masyarakat yang mengelilinginya.

Sepertimana Charlie, Bonnie teruk bergelut dengan masalah marginalisasi sampai akhirnya mereka membuat keputusan untuk memenjarakan diri di rumah.

Hari ini isu-isu marginalisasi adalah sesuatu yang berlaku setiap hari. Apa yang lebih meresahkan ialah apabila ia berlaku tanpa disedari. Malah seperti dialami Bonnie dan Charlie, mereka biasa diperleceh dan dijauhi oleh masyarakatnya yang enggan peduli.

Kena pandai menyaring, memilih

Masyarakat kita hari ini adalah masyarakat penyembah viral dan bernabikan populariti. Budaya populis sekarang ini sudah menjadi suatu agama yang dianuti ramai.

Dunia seni zaman ini lebih mengagumi prank, troll dan perlecehan dengan bermacam jenis jenaka yang mengaibkan lagi membodohkan .

Lelucon mengeji wajah atau mengutuk badan seseorang menjadi budaya. Kalau mahu memenangi hati pengundi anugerah bintang paling popular, humor mengaibkan adalah resipinya.

Tidak ada siapa yang akan terselamat daripada wabak ini walaupun kau menantu seorang negarawan yang pernah menjadi menteri.

Bagi mengubati masyarakat yang dijangkiti wabak ini, mungkin para pembikin filem kita harus menghasilkan watak-watak sehebat Charlie dan  Bonnie.

Walaupun dramaturgi dalam filem dan tivi kita hari ini amatlah menyedihkan, pengkarya kita haruslah berusaha untuk menyaring dan memilih pelakon yang bukan hanya berpengikut ramai di media sosial, bahkan reti melontarkan ketepatan gaya dialog yang diberi.

Pengkarya harus tahu kepentingan memaknakan watak dengan menginteraksikan keupayaan intelektual ke dalam isu-isu sosial dalam masyarakat.

Watak Bonnie yang memiliki seorang anak autistik bernama Arnie, serta watak Charlie yang memiliki anak degil bernama Ellie, adalah representasi kerumitan masalah hidup yang tidak semua orang mampu fahami.

Dari watak yang dibangunkan dalam filem itulah nanti para penonton dapat menemui apa yang mereka cari.

Pengkarya harus segera bangun dari tidur. Cukong-cukong platform dan konglomerat elit stesen-stesen penyiar harus sedar akan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan jiwa negara dan pembinaan akal masyarakat.

Kemiskinan masih mencengkam

Dikhuatiri seandainya kalian terlewat, filem moral sebaik What’s Eating Gilbert Grape dan The Whale yang mendidik mungkin akhirnya jadi suatu wit untuk kita semua saling memperlekeh dan mentertawakan golongan marginal.

Sampaikan isu seperti kemiskinan, keciciran, kesenjangan dan peminggiran dalam masyarakat suatu hari nanti jadi bahan jenaka pelawak-pelawak kita untuk jadi popular dan kaya.

Jangan sampai karya agung The Republic tulisan Plato - yang memperincikan ketinggian dan kemurnian nilai seni sebagai alat melahirkan rakyat berguna - akan jadi bahan gelak ketawa semua.

Malah karya yang menyarankan agar seni seperti filem haruslah bermoral, berpemikiran, membina dan menyedarkan demi melahirkan masyarakat yang beretika dan berakal itu mudah-mudahan tidak sampai dibakar dalam festival-festival filem atau acara-acara anugerah yang kita adakan.

Pembikin filem seharusnya jadi pemikir dan intelektual yang mencipta watak-watak seperti apa yang ada dalam filem What’s Eating Gilbert Grape dan The Whale.

Kita memerlukan watak yang mampu membuatkan seorang budak berumur 16 tahun berfikir dan mempersoalkan nilai yang dipegang masyarakat.

Di luar sana kemiskinan masih mencengkam masyarakat. Mangsa banjir masih diperbodohkan oleh orang politik dengan pelbagai alasan.

Ada isteri dan anak yang tak tahu ke mana perginya suami dan bapa mereka yang hilang dalam penculikan paksa. Ada perhambaan wanita dan gadis serta penderaan kanak-kanak yang mempergunakan agama.

Bahkan dalam liga bola sepak kita, masih ada pemain profesional yang tak dibayar gaji serta masih ada ramai anak kelainan upaya yang tidak mendapat layanan dan kehidupan yang sewajarnya.

Rupa-rupanya apa yang saya cari dalam filem selama ini adalah diri saya sendiri. Saya mahu lihat ada pejuang yang memperjuangkan hidup mereka supaya saya dapat terinspirasi menjadi si berani seperti mereka.

Anda pula bagaimana?


HARIS HAUZAH ialah seorang tua yang gemar duduk di gerai-gerai di kaki lima untuk melihat orang bercakap politik sambil makan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.