Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan Alumni Aswara mahu penjelasan penggabungan fakulti

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bercadang mengadakan forum khas bagi merungkai secara tuntas isu penggabungan fakulti yang dikatakan mencetus rasa tidak puas hati ramai pihak.

Justeru, Presidennya, Zul Huzaimy Marzuki, berharap Aswara akan bersikap terbuka untuk menjelaskan tujuan penggabungan kedua-dua fakulti dalam forum itu nanti.

“Sekarang ni tujuannya tak jelas. Apabila tak jelas, timbullah suara-suara yang mempertikaikan penggabungan itu.

“Sebab itu saya sebagai presiden dan anggota alumni nak forum ini diadakan.

"Salah satu sebabnya ialah untuk membincangkan hala tuju penggabungan Fakulti Penulisan dan Fakulti Perfileman Aswara," katanya kepada Malaysiakini.

Zul Huzaimy yang terkenal sebagai pelakon juga berkata persatuan itu inginkan penjelasan mengenai kesan baik dan buruk penggabungan fakulti terbabit.

Katanya, antara kemelut membelenggu Aswara ketika ini berpunca daripada saiz pengurusan dikecilkan ekoran penggabungan fakulti penulisan dan fakulti perfileman institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut pelajar lepasan jurusan seni teater itu, penggabungan fakulti menyebabkan ramai beranggapan mereka telah kehilangan banyak keistimewaan.

“Nampak gaya pelajar Aswara tak setuju. Tapi keistimewaan seperti apa (yang hilang) saya tak tahu.

“Pada masa sama ia juga dilihat menyebabkan saiz pengurusan dikecilkan, ada orang ditamatkan kontrak, dipendekkan perkhidmatan dan macam-macam lagi,” katanya.

Jumpa dan berbincang

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan seorang lepasan Aswara melancarkan petisyen dalam talian untuk mendesak perkhidmatan Prof Dr Mohd Rizon Juhari sebagai rektor IPT itu ditamatkan.

Antara lain dia dituduh dengan pelbagai dakwaan serta salah laku. Bagaimanapun Mohd Rizon menafikan dakwaan tersebut.

Nur Lina Mastura Tajaludin menyasarkan petisyen tersebut kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyuarakan rasa tidak puas hati antaranya berhubung lanjutan kontrak Mohd Rizon.

Petisyen dilancarkan kira-kira jam 2 petang semalam yang hanya menyasarkan 200 tanda tangan sudah mengumpul hampir 1,500 sokongan.

Zul berkata, forum yang dijangka dilaksanakan awal Mac ini antaranya bakal disertai Mohd Rizon dan anggota Lembaga Pengarah Aswara.

Sementara itu, ditanya pendirian alumni berhubung kemelut sedang melanda Aswara, pelakon filem Mat Moto itu menegaskan pihaknya akan sentiasa memihak kepada perkara yang sebenar.

“Siapa benar kami tak tahu. Itu sebab kami nak penjelasan. Tapi kami dihamun pula, ada kata kami tak buat kerja.

"Kalau tak berpuas hati, silalah jumpa dan kita boleh berbincang,” katanya.