Skip to main
Logo Malaysiakini

Achey tak kisah jual pisang goreng, kerja loji kumbahan

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Jika ditakdirkan perlu menjalani kehidupan miskin sekalipun, pelawak Achey tidak kisah asalkan punca rezekinya itu diperoleh daripada sumber halal.

Dia juga menjelaskan seboleh-bolehnya tidak akan memilih bidang pekerjaan yang ingin dilakukan jika suatu hari nanti populariti sedang dikecapinya pudar.

Katanya, kehidupan perlu diteruskan waima perlu mencari wang di tepi jalan mahupun menyara diri sebagai pekerja sistem pembetungan.

“Bagi saya pekerjaan boleh didapati di mana-mana. Kita manusia biasa, kalau sudah tak popular buka payung tepi jalan jual pisang goreng pun satu sumber rezeki.

“Populariti satu bonus Tuhan bagi kita, kalau tidak ada lagi kita boleh gunakan kudrat apa yang ada,” katanya.

Achey ditemui pada sidang pengumuman Bintang Bersama Bintang di Sri Pentas, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Mohd Nasir Hamzah itu berkata, situasi sama juga akan diterapkan kepada isterinya, Nor Hasanah Yahaya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kelibat isterinya yang dilihat menjual sate setiap kali pulang ke kampung di Segamat, Johor.

Tak terkesan tohmahan

Disebabkan status Achey sebagai seorang selebriti, turut muncul spekulasi yang mengatakan dia kini kurang menerima tawaran pekerjaan.

Kenyataan itu dikuatkan lagi apabila dia seolah-olah membiarkan isterinya membanting tulang dengan menjual sate. Bagaimanapun, Achey menyangkal dakwaan terbabit.

“Itulah kerja dia setiap kali kami pulang ke kampung. Pernah dia meniaga sate sampai seminggu. Lagi pun dia sedang memajukan perniagaan ibunya iaitu produk sate sejuk beku,” katanya.

Malah Achey, 32, yang juga penyanyi lagu Yang Terindah itu menolak sekiranya ada berpendapat apa dilakukan Hasanah sebagai sesuatu yang hina.

“Hina satu skop yang diberikan masyarakat, tapi kalau halal itu datangnya daripada apa yang kita usahakan biarpun kerja di loji kumbahan,” katanya.

Katanya, dia tidak terkesan dengan tohmahan dilemparkan netizen, malah sering melihat sesuatu perkara dalam sudut yang positif.

“Kalau saya seorang yang tak positif, bagaimana saya boleh terima keadaan tidak dikurniakan zuriat selama 9 tahun,” katanya.