Skip to main
Logo Malaysiakini

Lan Solo Next Level gamit memori suka dan duka

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Lan Solo mengakui dia sentiasa menghargai setiap detik sukar yang ditempuhi sejak awal membina karier sebagai penyanyi.

Pernah dilanda kemelut bersama kumpulan lamanya - Kristal - Lan masih tersenyum dan malah tidak mengeluh dengan takdir hidupnya itu.

Kini pemilik nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof itu merasakan dirinya sebagai insan bertuah apabila diberi kesempatan untuk mengadakan Showcase Lan Solo Next Level di depan 500 peminat di Matic, Kuala Lumpur kelmarin.

"Sudah 20 tahun dalam dunia seni, persembahan ini sebenarnya sudah lama dirancang tetapi tak dapat direalisasikan ketika masih bersama kumpulan.

"Jadi bila betul-betul dilaksanakan, macam-macam memori pula tergambar. Antaranya ketika zaman muda pergi buat persembahan naik van atau lori, ada kala terpaksa pinjam duit, tumpang studio orang, pernah juga nak balik duit minyak dan tol pun tak ada,” katanya.

Lan, 33, berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan persembahan itu.

Penyanyi lagu Berpisah tanpa Rela itu yang mula bergerak sendirian sejak 2017 itu berkata dia pernah berasakan dunianya menjadi gelap sebaik diumum akan direhat daripada Kristal.

Bagaimanapun, kata Lan, hidup perlu diteruskan dan dia mempunyai keluarga untuk disara.

“Ada ibu bapa, keluarga dan tanggungan besar yang sangat memerlukan, jadi saya nekad waktu itu kena kerja keras walau kena merangkak balik

“Sanggup asal boleh berdiri atas kaki sendiri dan teruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Persembahan Lan turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas anggota kumpulan Kristal iaitu Ainol, Ezan, Ejal, Amai dan Joe.

Lan mempersembahkan 18 lagu antaranya Resam Pak Belalang, Amboi, Selagi Ada Rindu, Bujang Senang dan Sangkar Cinta.

Mengulas soal sambutan, Lan berkata dia amat terharu dan berterima kasih kepada peminat yang menunjukkan sokongan luar biasa.

“Saya teruja, bahagia dan bangga kerana peminat sanggup datang menyaksikan persembahan ini,” katanya.

Dia turut mendedahkan sebuah projek khas bersama bekas anggota Kristal namun perinciannya belum boleh dimaklumkan kepada umum.

“Kami cuba rancang sesuatu, mungkin akan bentuk kumpulan tak terikat melalui projek khas. Cuma ia bukan akan digerakkan dalam waktu terdekat,” katany lagi.