Skip to main
Logo Malaysiakini

Istana Budaya: Permohonan Man Bai lambat, tak lengkap

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani berkata beliau menolak permohonan penyanyi Man Bai untuk mengadakan persembahan kerana permohonan lambat dibuat.

“Untuk mengadakan persembahan pada tahun yang sama sudah dikira lewat kerana Istana Budaya menerima permohonan setahun awal daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, Man Bai meluahkan mendakwa tidak diberi ruang untuk mengadakan persembahan bersama seorang lagi penyanyi, Rahim Maarof di IB.

Penyanyi lagu Kau Ilhamku itu berkata, dia kecewa kerana walaupun sudah berada di era Malaysia Baru, sistem pentadbiran IB masih berada di takuk lama.

Man Bai yang juga pelakon itu tidak menolak permohonannya ditolak kerana wujudnya sikap pilih bulu.

Disebabkan isu tersebut, Man Bai juga menegaskan dia tidak akan menjejakkan kaki ke IB kecuali sistem atau ketua pengarahnya berubah.

Difahamkan Man Bai menghantar permohonan berkenaan pada Ogos tahun lalu dengan tarikh dicadangkan untuk persembahan iaitu pada 23 dan 24 Disember 2018.

Juhari berkata, disebabkan permohonan Man Bai diterima lewat, ruang persembahan itu diberikan kepada Bin Jamal Events Sdn Bhd - syarikat milik penyanyi Jamal Abdillah - bagi menjayakan Konsert Duo Legenda: Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah.

“Tarikh yang dimohon oleh pihak Man Bai telah pun diisi dengan program yang terlebih awal membuat permohonan. Pihak Bin Jamal dihantar pada 2017,” katanya.

Konsert berkenaan berlangsung pada empat hari di IB bermula pada 20 hingga 23 Disember lalu. 

Selain dihantar lewat, kata Mohamed Juhari, permohonan Man Bai juga didapati tidak lengkap.

Pada masa sama katanya, IB sentiasa melancarkan program-program yang bakal diadakan sepanjang tahun pada setiap awal tahun.

“Bagaimanapun, Istana Budaya sentiasa membentangkan permohonan baru ke ahli jawatankuasa untuk menilai cadangan yang diterima,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi menyarankan agar artis menghantar permohonan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.

“Kita sentiasa mahukan industri seni negara segar dengan aktivitinya dan kementerian amat mengalu-alukan penggiat seni tampil dengan idea baru dan bernas.

“Namun untuk melancarkan pengurusan acara-acara di Istana Budaya, saya sekali lagi menyarankan agar rakan-rakan artis dapat mengikut tempoh waktu yang ditetapkan jawatankuasa penilai Istana Budaya," katanya.

Man Bai dan Rahim bakal berganding bahu mengadakan Konsert 2V Manbai dan Rahim Maarof di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur pada 6 April depan.