Skip to main
Logo Malaysiakini

Penghendap pecah masuk rumah Taylor Swift kali ketiga

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Seorang lelaki yang pernah dipenjarakan selepas memecah masuk rumah penyanyi dan penulis lagu Taylor Swift, sekali lagi ditahan atas kesalahan sama.

Menurut jurucakap polis, Roger Alvarado, 23, dari Homestead, Florida memanjat tangga dan memecahkan pintu kaca pada jam 2.30 pagi (waktu tempatan) untuk masuk ke kediaman tersebut.

Bagaimanapun, bintang Hollywood itu tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.

Alvarado yang berdepan tuduhan menghendap dan mencuri berada dalam tempoh percubaan selepas dibebaskan dari penjara 5 Feb lalu.

Untuk rekod, Alvarado pernah ditahan sekurang-kurang dua kali sebelum ini di kediaman penyanyi The Shake It Off itu yang bernilai AS18 juta (RM4.4 juta) di Manhattan dalam waktu kurang dari tempoh setahun.

Ekroan kes pecah masuk April lalu, Alvarado yang didapati menggunakan bilik mandi Taylor, 29, dan tidur di katilnya dipenjara lebih sembilan bulan.

Sebagai sebahagian daripada hukuman, hakim memerintahkan Alvarado untuk menjalani program kesihatan mental.

Dua bulan sebelum itu, dia ditahan kerana didakwa memecah masuk pintu depan dengan menggunakan pencedok. Ketika kejadian itu, sekali lagi, Taylor tidak berada di rumahnya.

Melalui sebuah artikel disiarkan pada Rabu lalu, Taylor memberitahu Elle Magazine dia bimbang dengan keganasan yang mungkin berlaku dan mula mengambil langkah berjaga-jaga.

“Laman sesawang dan tabloid memuat naik setiap alamat kediaman saya di dalam talian.

“Apabila terdapat banyak penghendap yang memecah masuk rumah, sudah tentu kamu akan bersedia untuk mana-mana situasi terburuk yang boleh berlaku,” katanya.