Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhaimi berahsia bukan sebab takut mati

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Penyanyi nasyid kontroversi, Suhami Saad, menegaskan dia merahsiakan lokasi seminar anjurannya - kecuali kepada peserta yang sudah membuat bayaran - bukan disebabkan dia bimbang nyawanya diancam.

Bekas anggota kumpulan Inteam itu berkata, dia merahsiakan lokasi tersebut semata-mata bertujuan mahu memastikan program dapat berjalan lancar.

“Tidak, saya bukanlah orang yang takut mati. Saya percaya bahawa saya pasti akan mati.

“Tujuan lokasi acara itu dirahsiakan adalah untuk memberi keselesaan kepada peserta selain memastikan kelancaran program,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Suhaimi ditanya sama ada tindakannya tidak mendedahkan lokasi seminar keibubapaan yang dikendalikannya berpunca dia bimbang terhadap ancaman nyawanya.

Untuk rekod Suhaimi sebelum ini pernah mendakwa mendapat ancaman bunuh melalui media sosial.

Suhaimi baru-baru ini memuat naik poster Seminar Keibubapaan dan Pendidikan Awal di akaun Facebook rasminya dan segera mengundang perhatian ramai.

Turut berceramah di sekolah, masjid

Melalui maklumat tertera pada poster itu, Suhaimi memaklumkan dia akan bertindak selaku satu-satunya penceramah untuk peserta yang sanggup membuat yuran pendaftaran sebanyak RM269.

Bagaimanapun, tindakan Suhaimi diselar terutama apabila dia enggan menyatakan tempat program yang bakal berlangsung pada 31 Mac ini.

Melalui sebaran yang dibuatnya Shah Alam dinyatakan sebagai lokasi seminar tersebut.

Maklumat lain tertulis pada poster ialah, isteri Suhaimi, Ina Naim, akan membuat penampilan istimewa bersama empat anak mereka.

Nama Suhaimi menjadi perhatian ekoran kegigihannya mempertahankan idea menolak bentuk Bumi sebagai sfera, sebaliknya berbentuk rata, serta enggan menerima suntikan vaksin.

Dia juga tidak menghantar anak-annaknya ke sekolah.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, dia melakukan seminar bertujuan membuka minda selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah pembelajaran di rumah (homeschooling).


Baca 'Sukar ubah pemikiran penyokong bumi rata'


Sebelum ini pun katanya dia giat memberi pendedahan mengenai kaedah yang dirasakannya terbaik itu melalui lintas langsung di Facebook.

Katanya dia juga sering turun padang ke sekolah-sekolah terpilih, masjid dan institusi pengajian tinggi untuk membuat seminar.

“Saya tidak paksa atau buruk-burukkan cara dan pilihan pihak lain, hanya berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman.

“Setiap orang dikurniakan mata, telinga, akal dan hati untuk menilai dan memilih,” katanya.

Mengulas kredibilitinya sebagai penceramah, Suhaimi berkata kewibawaan seseorang itu tidak harus dinilai daripada pencapaian sijil semata-mata.

“Kredibiliti itu tidak harus dinilai melalui kata kata dan komen netizen mahupun sijil.

"Apa pula kredibiliti mereka untuk menilai saya?

“Memberi nilai terhadap sesuatu adalah hak setiap orang berdasarkan kualiti, bukti dan kepercayaan setiap orang. Saya tidak pernah paksa sesiapa,” katanya.