Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuntutan nafkah RM800,000 Deja Moss dibicara Mei

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan kes tuntutan nafkah tertunggak berjumlah RM800,000 oleh penyanyi Deja Moss terhadap bekas suaminya akan dibicarakan pada 28 Mei ini.

Hakim Syarie Mohamed Faozi Mokhtar menetapkan tarikh itu ketika prosiding yang dihadiri Deja selaku plaintif dan peguamnya Halimatunsa'diah Abu Ahmad hari ini.

Bekas suaminya Azfendy Azzuddin Ahmad bagaimanapun tidak hadir dan hanya diwakili peguam.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Mos, 46, berkata dia bersyukur kerana kesnya berjalan lancar dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Semuanya berjalan dengan baik. Dalam kes itu saya juga tertekan kerana perlu menyediakan banyak dokumen,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Halimatunsa’diah pula berkata pihaknya telah menghantar semua dokumen berkaitan tuntutan kepada mahkamah.

“Plaintif (Deja) memfailkan tuntutan itu pada Oktober tahun lalu dan semua dokumen tuntutan sudah diserah kepada mahkamah. Sementara menunggu defendan setuju dengan semua tuntutan, plaintif memohon tarikh perbicaraan awal.

“Mahkamah kemudian membenarkan perbicaraan awal kes itu pada 28 Mei. Pada tarikh itu, Deja juga akan memberi keterangan berhubung tuntutan nafkah berkenaan," katanya.

Proses sulh (perdamaian) Deja Moss dan Azfendy gagal pada 1 Nov tahun lalu gagal selepas lelaki itu tidak hadir pada rundingan di Pejabat Sulh, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Pasangan itu bercerai pada 24 Oktober tahun lalu selepas sepuluh tahun bergelar suami isteri. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.