Skip to main
Logo Malaysiakini

Piket mungkin berlaku di Aswara 7 hari lagi kecuali...

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isu jawatan rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kembali menjadi perhatian hari ini apabila seorang sasterawan negara turut hadir sebagai tanda sokongan semasa penyerahan memorandum kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di Putrajaya pagi tadi.

Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Muhammad Hj Salleh berkata beliau datang mengiringi penyerahan tersebut bagi menggesa kerajaan tidak mengamalkan kronisme semasa melantik tokoh bagi mengisi jawatan rektor Aswara.

Beliau yang diangkat sebagai sasterawan negara yang keenam berkata menteri terbabit, Mohamaddin Ketapi, perlu menjalankan proses pelantikan itu dengan sewajarnya.

"Biarlah calon paling baik dipilih dan individu itu juga hendaklah seseorang yang dipersetujui ramai.

“Calon terbabit juga hendaklah mempunyai kepakaran dalam bidang kesenian,” katanya selepas penyerahan memorandum berkenaan pagi tadi.

Terdahulu beberapa kakitangan Aswara bersama bekas penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) itu menyerahkan memorandum setebal tujuh halaman itu kepada pegawai Motac.

Antara lain mereka menuntut agar status sebenar Dr Mohd Rizon Juhari di Aswara dijelaskan sepenuhnya.

Perlu bebas, terhormat

Jika benar Mohd Rizon bukan lagi berkhidmat sebagai rektor mereka menyeru Motac melantik penggantinya dengan segera.

Mereka juga menuntut agar pelantikan Sahar Sa’di Hashim sebagai timbalan rektor bagi hal ehwal akademik Aswara dibatalkan atas alasan ia dibuat secara tidak telus.

Kata Muhammad beliau difahamkan jika memorandum tersebut tidak mendapat reaksi daripada Mohamaddin dalam tempoh tujuh hari, kakitangan Aswara akan melancarkan piket sebagai tanda bantahan.


Baca Rektor Aswara kini berehat dari tugas


Muhammad yang juga merupakan bekas profesor adjung di Aswara berkata walaupun tidak lagi berkhidmat dengan IPT terbabit beliau hadir untuk menunjukkan harapannya agar tiada amalan kronisme berlaku di situ.

“Saya menyokong agar sesebuah institusi yang baik itu haruslah bebas, terhormat dan tersusun dengan baik kerana seni adalah akar identiti kita.

“Apabila seni diajar di sebuah institusi bebas dan terhormat, maka hasilnya juga akan terhormat dan baik.

"Ini kita sangat perlukan untuk negara yang bangga dengan budaya serta pencapaian seninya,” katanya.

Mohd Rizon

Terdahulu, kemelut melanda Aswara apabila Mohd Rizon didakwa tidak mempamerkan sikap positif sebagai pemimpin institusi berkenaan. 

Situasi tegang itu mencetus sebuah petisyen dilancarkan dalam talian oleh seorang bekas pelajar Aswara. 

Kes mahkamah Rizon juga menjadi antara alasan dia didesak untuk berundur daripada terus memegang jawatan berkenaan.

Susulan isu terbabit, Sahar dilantik sebagai timbalan rektor hal ehwal akademik dan dikatakan bakal melapor diri di Aswara pada 1 April ini.

Menurut Muhammad amalan bebas kronisme merupakan antara inisiatif awal perlu ditekankan dengan bermulanya era Malaysia Baru di bawah kerajaan PH.

“Ia suatu usaha baik jika kerajaan PH membenarkan institusi ilmu dan pensyarahnya bebas. Tak ada institusi yang ditekan dapat menghasilkan ilmuwan dan sarjana yang lengkap dan baik,” katanya.

Meski tidak lagi menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di Aswara Muhammad berkata beliau berhak hadir memberi sokongan atas kapasitinya sebagai seorang seniman dan pembayar cukai.

“Kalau tak sebut, mungkin orang lain segan untuk nyatakan tuntutan sebegini. Ramai juga yang mungkin terlupa akan hal begini kerana ia abstrak,” katanya.