Skip to main
Logo Malaysiakini

'Larang forum Aswara, PH sama macam BN'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelakon dan pengarah terkenal, Nam Ron, mendakwa dia kecewa apabila mendapati isu yang berlaku di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak bertahun-tahun dulu masih belum diatasi walaupun selepas kerajaan berubah.

Lebih malang katanya keadaan itu berlaku ketika PH menjanjikan hak dan kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat - termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) - dijamin.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nam Ron berkata pentadbiran Aswara tidak sepatutnya mengekang pelajarnya menganjurkan atau menghadiri sesuatu wacana.

Dia - yang datang ke Aswara untuk memenuhi undangan sebagai panel forum 'Siapa Selepas Rizon' semalam - menegaskan penuntut wajar diberi ruang untuk meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing, atau mengambil tindakan dirasakan wajar berhubung IPT tempat mereka menuntut ilmu. 

“Sekarang tak ada kebebasan bersuara sebab mereka dihalang.

"Keadaan ini macam tak ada perubahan walaupun menteri kata sudah dipimpin kerajaan baru dan kita sepatutnya boleh bersuara dalam himpunan aman.

“Kalau begini keadaannya, janji tu boleh tinggal retorik sajalah.

"Apa yang jadi semalam sama seperti yang pernah berlaku pada zaman saya belajar di Aswara kira-kira 19 tahun dulu,” kata pemilik nama sebenar Shahili Abdan itu.

Semalam sepatutnya berlangsung satu forum di kafe Aswara bagi membincangkan isu semasa dan hala tuju IPT.

Ia diadakan beberapa jam selepas sekumpulan kakitangan Aswara bersama Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di Putrajaya. 

Memorandum tersebut diterima oleh timbalan menteri, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan Saraya Arbi.

Forum tersebut dianjurkan seorang bekas penuntut Aswara. Selain Nam Ron, 49, turut dijemput sebagai panel adalah Hassan Muthalib - nama yang tidak asing lagi dalam dunia kritikan filem. 

Dianggarkan, sekurang-kurang 50 orang hadir, termasuk pelajar, wartawan dan beberapa wakil kerajaan.

Bagaimanapun, pihak pentadbiran Aswara mengeluarkan arahan kepada pihak keselamatan supaya tidak membenarkan forum berkenaan dijalankan atas sebab-sebab tertentu.

Aswara ketika ini sedang berdepan isu jawatan rektornya kerana tokoh yang dilantik Motac tidak disenangi beberapa pihak.

Penyandang jawatan itu Dr Mohd Rizon Juhari pernah disaman atas dakwaan melakukan salah guna kuasa dan kes gangguan seksual. Bagaimanapun kes berkenaan masih di peringkat rayuan.

Nam Ron

Kata Nam Ron, kemelut yang melanda Aswara kini didakwa lebih menjurus kepada rasa tidak percaya terhadap pelantikan jawatan rektor dan kemungkinan penggantinya.

“Saya pergi ke Aswara sebagai bekas pelajar dan nak tahu lebih lanjut apa terjadi. Saya nak cakap, memang saya terkesan sekiranya kemelut yang berlaku sekarang ada kaitan dengan amalan kronisme.

“Saya tak setuju jika ia benar sebab saya tak percaya pemimpin boleh mentadbir dengan baik kalau kerja bermula dengan cara tak elok,” katanya.

Pada masa sama, pelakon dan pengarah filem Redha dan Mencari Rahmat itu berkata, dia tidak dapat menyatakan sikap dalam isu Aswara buat masa ini sebab baru mendengar kisah daripada satu pihak. 

“Saya belum dengar penjelasan pihak Rizon dan saya tak mahu 'gali' lebih dalam sebab bukan saya yang kena buat keputusan, sepatutnya itu tanggungjawab menteri," katanya.

'Tidak seperti harapan ramai'

Sementara itu penulis dan aktivis kebudayaan Raja Ahmad Aminullah turut sependapat dengan Nam Ron.

Katanya jika suara rakyat dikekang terus, tidak ada beza kerajaan sekarang dengan BN sebelum ini.

Raja Ahmad Aminullah

Beliau juga kecewa apabila kejadian yang dianggap tidak cerdik seperti itu boleh berlaku di sebuat IPT yang sepatutnya mencerdaskan penuntutnya.

"Kalau pihak terbabit nak buat tindakan tak cerdik sekali atau dua kali, saya boleh faham atau maafkan, tapi kalau berkali-kali saya pun tak faham bagaimana seseorang pemimpin itu boleh dilantik.

Ditanya perasaannya melihat wacana yang dirancang itu gagal, Raja Ahmad mengakui beliau sedih.

Katanya ia tidak menggambarkan suasana yang diharapkan orang ramai di bawah Putrajaya yang baru.

"Mahasiswa ni, kita kena uruskan suara mereka. Setuju atau tak, itu hal lain," katanya.

Penulis buku Minda Tertawan itu juga berharap tiada tindakan disiplin dikenakan ke atas mana-mana penuntut ekoran apa yang terjadi semalam.

Katanya sebahagian daripada penuntut yang hadir semalam adalah dari jurusan penulisan dan mereka wajar dipuji kerana berani.

"Jadi untuk menulis kita kena ada jiwa dan keberanian. Kalau takut, jangan jadi seniman," katanya.