Skip to main
Logo Malaysiakini

Ghazal parti: Diasaskan ulama, dipopularkan mak nyah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Ketika penulis tiba di tempat yang dijanjikan, terlihat seorang lelaki warga emas menyapa.

Dia berbaju ungu, bertopi newsboy, berseluar yankee. Terserlah 'jiwa parti’ seperti isu yang ingin kami bincangkan.

Ghazal parti? Aneh. Apa kaitan ghazal dan parti?

Persoalan itu ligat bermain di fikiran. Namun penggiat ghazal parti, Omar Hashim - atau lebih mesra dipanggil Omara - bercerita dengan bersemangat.

“Lebih kurang 100 tahun dahulu, karya seni ini diasaskan oleh ulama yang diketuai Abdullah Fahim iaitu datuk kepada mantan perdana menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi.

“Ghazal parti yang berasal dari Parsi ini diperkenalkan di Pulau Pinang pada 1972," katanya.

Menurut Omara, ia menggabungkan seni persembahan lawak, nyanyian, tarian dan muzik dalam pengaruh Arab.

Tambahnya lagi, ia membenarkan percampuran bebas dalam semua aspek. Justeru kerana kemeriahan itu, katanya, ia dinamakan sebagai parti.

Menyambung ceritanya dengan bersemangat, Omara kata, semasa kecil dia selalu berada dalam barisan depan jika ada persembahan ghazal parti di Pulau Pinang.

Dek kerana teruja dia - bersama adiknya kadang-kadang - akan sampai di lokasi sebelum persembahan bermula.

Lelaki pakai tudung

Apabila Omara memetik nama Abdullah Fahim, tentu ada kejanggalan bagi kebanyakan orang kerana ia melihatkan seorang ulama dalam kegiatan seni dan hiburan.

Ia juga mengundang rasa janggal apabila persembahan tersebut melibatkan penyanyi, pemuzik atau penari lelaki dan perempuan.

Sebelum menjawab persoalan dikemukakan, Omara sempat ketawa kecil.

“Lelaki pakai tudung dan menarilah," katanya.

Bercerita lebih lanjut, Omara menjelaskan terdapat perubahan pada ghazal parti itu dengan peredaran masa.

Selepas ia tidak lagi dikendalikan oleh agamawan atau ulama, ketika itulah berlaku perubahan lebih ketara dengan penyertaan golongan mak nyah.

Menurut Omara ia juga membawa pengaruh yang besar apabila ghazal parti berubah wajah untuk mengikut keinginan mereka.

"Tetapi!" sambung Omara dengan nada yang mengejutkan, “mak nyah membuatkan ghazal parti lebih popular. Ketika itu ia lebih ‘top’ sebab orang nak tengok mak nyah bergelek dengan lagu irama Arab."

Bagaimanapun, Omara menjelaskan bahawa dia kini dia tidak lagi menggunakan kaedah sama sebaliknya menampilkan wanita sebagai penari mengiringi persembahan ghazal parti.

Alasannya, dia enggan dituduh sebagai penggalak kegiatan mak nyah.

Semakin pupus

Pengurus ghazal parti itu kemudian menunjukkan gambar seorang wanita ‘veteran’ kepada penulis dan menggangapnya sebagai ‘tokoh’.

“Putih Hashim (Kak Teh) ini ‘otai’ ghazal parti yang memperjuangkan seni ini sejak umurnya 13 tahun dan berterusn hingga kini.

"Dia sering melatih orang yang berminat secara percuma.

“Di rumah dia semua alat muzik ada. Semua dia boleh main,” katanya dengan bangga.

Omar Hashim.

Beliau juga menjelaskan bahawa kumpulannya banyak belajar daripada Kak Teh.

“Kami berlatih bersungguh-sungguh dengan didikannya dan kami mula berasa minat kepada ghazal parti juga,” tambah Omara.

Ketika ditanya soal menukar ghazal parti ke arus muzik kini bagi sesuai dengan selera anak muda, Omara dengan tegas menjawab: “Saya ingin jaga keaslian seni ni. Saya takut pada masa depan apabila ghazal parti berubah, tiada yang tahu asal usulnya."

Omara juga menyatakan seni klasik ghazal parti kian pupus kerana orang ramai tidak berminat lagi untuk mengambil tahu.

“Ghazal parti ini ramai orang tua. Bila seorang sakit atau meninggal, tiada pelapis. Saya bimbang ia pupus.

“Esok kalau hilang (meninggal) orang-orang tua ini, pupuslah," katanya dengan kecewa.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.