Skip to main
Logo Malaysiakini

Norish rasa berbaloi 'tidur tapa' 5 tahun

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Berehat sementara daripada seni tidak membuatkan Norish Karman menyesal, sebaliknya memberikan kepuasan tersendiri buat pelakon Sayang Salmah itu.

Tanpa terbabit dalam dunia yang menaikkan namanya sebagai selebriti itu, rupa-rupanya membolehkan dia memberi didikan agama kepada empat anaknya.

Menurut Norish, anak seni - yang juga merupakan ibu tunggal - sepertinya tidak perlu bimbang kehilangan rezeki atau populariti sekiranya meletakkan niat yang betul, terutama bagi membesarkan anak dengan agama.

“Saya lama menghilang, bukan pergi ke mana-mana, hibernate (tidur tapa) lama sebab jaga anak.

“Alhamdulillah pengorbanan selama lima tahun berbaloi," katanya.

Menurut Norish dia tidak bimbang tindakan itu akan menyulitkan hidupnya kerana rezeki sebagai pelakon akan terjejas.

Sebaliknya dia yakin rezeki itu tetap akan datang dalam cara tersendiri.

"Jangan takut kehilangan rezeki, Allah akan hantar," katanya.

Boleh beli Lamborghini

Pada masa sama Norish bersyukur kerana anak-anaknya berjaya menghafal beberapa surah, termasuk al-Waqiah dan al-Mulk.

“Bagi saya, itu rezeki juga,” katanya.

Norish - atau nama sebenarnya Nor Ashikin Karman - ditemui pada majlis Adlie Hassan Media oleh Mora Networks di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelakon kelahiran Singapura itu mengandaikan sekiranya dia masih meneruskan kehidupan seperti biasa, anak-anaknya mungkin tidak mempunyai hala tuju hidup yang jelas.

“Mungkin anak tak kenal al-Quran, tak kenal mak bapak,” katanya.

Bercakap mengenai kerjaya yang lama ditinggalkannya, pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Spa Q itu tidak menolak terdapat cakap-cakap belakang menyatakan dia sebenarnya sudah tidak laku dalam seni.

Menguatkan spekulasi itu, mereka mengandaikan dia terdesak sehingga terpaksa menjual pisang goreng bagi menjana pendapatan ekoran populariti sebagai selebriti merudum.

Bagaimanapun, Norish menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

“Mereka tak tahu saya yang pilih nak jual pisang goreng sebab mendatangkan duit dan melebarkan jaringan kenalan.

“Tak ada masalah jual pisang goreng. Perniagaan saya tu sebenarnya bukan sekadar pisang goreng, jenis makanan yang dijual lebih daripada itu," katanya.

Menurut Norish lagi perjalanan hidup seseorang sudah diatur tuhan.

“Mana tahu suatu hari nanti saya mungkin boleh beli Lamborghini dengan pendapatan daripada menggoreng pisang,” katanya.