Exco Pahang: Bantuan buat 'pelukis degil' dalam perjalanan
Kerajaan Pahang bercadang menghulurkan bantuan kepada Yang Dipertua Gabungan Persatuan Pelukis Semalaysia Mohd Shaimy Hashim yang kini menghadapi masalah kesihatan.
Exco Pahang, Shahaniza Shamsuddin, berkata akan ada sumbangan yang dihulurkan buat Shaimy tidak lama lagi.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan memberi sumbangan sewajarnya kepada Shaimy. Bantuan untuk beliau dalam perjalanan," katanya kepada Malaysiakini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan memikirkan pengiktirafan buat penggiat seni catan tersebut, Shahaniza yang memegang portfolio Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang menambah, pihaknya akan membuat pertimbangan.
Justeru kata Shahaniza beliau akan berbincang dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pahang untuk melihat kemungkinan memberikan pengiktirafan tertentu Shaimy.
“Rasanya tak ada masalah untuk kerajaan negeri memberikan pengiktirafan kepada beliau sesuai dengan jasa yang diberikannya kepada dunia seni," katanya.
Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan kisah Shaimy yang juga presiden Persatuan Seni Lukis Dan Seni Reka Pahang (Senika) dimasukkan ke hospital di Kuantan akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Shaymy seorang pelukis yang terkenal dengan gaya surealisme. Antara karyanya ialah Mimpi Keranda 152 (Perasap Semangat), Telur Di Hujung Tanduk (1986), Khutbah (1989) dan Aku, Pak Dogol Dan Arca Penyair Macedonia (2010).
Sepanjang hayatnya Shaimy dikenali sebagai individu penting di sebalik perkembangan seni catan di Kuantan dan seluruh negara.
Dia dan isterinya, Hasnah Yusof, memberi sepenuh tenaga dalam menggerakan aktiviti berpersatuan namun pasangan itu sejak akhir-akhir ini berdepan kekangan kesihatan.
Baca Tentang seorang pelukis degil
Shahaniza juga berkata, baru-baru ini kerajaan Pahang sudah menghulurkan sumbangan kepada Senika untuk membantu persatuan itu melaksanakan aktiviti mereka.
“Untuk persatuan kami sudah bagi sumbangan sebanyak RM5,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahaniza berkata beliau sebenarnya baru dimaklumkan berita mengenai kesihatan Shaimy yang terganggu.
“Saya baru dimaklumkan dia masuk hospital. Insya-Allah saya akan melawat dia nanti,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai