Skip to main
Logo Malaysiakini

Awi Rafael mahu berbakti pada kanak-kanak autistik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Meskipun berdepan dugaan apabila pernikahannya dibatalkan Mac lalu, penyanyi Awi Rafael tidak mahu menjadikan episod duka itu alasan untuk tidak menabur bakti kepada golongan yang memerlukan.

Kata Awi, mengambil berkat Ramadan, dia terpanggil untuk membuka peluang kepada kanak-kanak penghidap autisme mempelajari dunia muzik secara percuma sepanjang bulan mulia ini.

“Bila solo macam ni, baik saya fokus untuk berbuat kebaikan dan terus positif.

“Ini bahagian saya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial melalui pihak akademi muzik. Sekarang ialah bulan untuk memberi,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael itu ditemui pada program Himpunan Artis Sayang al-Quran (Hasa 4.0) di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk nota, Awi, 32, baru saja membuka Newsantara Studio di Ara Damansara yang dijadual dilancarkan selepas perayaan Aidilfitri nanti.

Studio berkenaan terletak di dalam kafe BakerFellas, sebuah perniagaan diusahakan aktor Aiman Hakim Ridza.

"Sekarang sudah ada dua pelajar, minggu ni mungkin akademi muzik akan menerima lima pelajar autisme," katanya.

Awie berkata, tujuannya menawarkan khidmat pendidikan alat muzik seperti biola, piano, bass, dram, selo dan gitar kepada anak autistik adalah kerana dia percaya muzik boleh bertindak sebagai terapi.

“Saya lakukan ini dengan usahasama dengan sebuah persatuan autisme.

“Saya mula mendekati kanak-kanak autistik kerana yakin muzik boleh membantu mempertingkatkan kemahiran mereka,” katanya.

Terdahulu, Awi mengumumkan majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung lagi dua hari dengan aktres Atikah Suhaimie di Singapura terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

Pada masa sama, Awie juga menjelaskan hubungannya dengan Atikah masih baik walaupun impian untuk mendirikan rumah tangga bersama tidak kesampaian.

Penyanyi lagu Takdir Cinta itu bersyukur dia diberikan kekuatan untuk mengharungi setiap perkara yang berlaku dalam mengharungi ketentuan hidupnya.

“Yang memulihkan saya adalah Allah, saya dan Atikah masih berkawan, kami juga masih hormat-menghormati. Kalau ada perasaan pun semua kerana-Nya,” katanya.