Skip to main
Logo Malaysiakini

Guna dadah: Sofi Jikan diperintah bela diri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini memerintahkan pelakon Sofi Jikan membela diri atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja tahun lepas.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membangkitkan kes prima facie pada akhir pendakwaan.

Justeru, mahkamah kemudian menetapkan 28 Jun sebagai tarikh prosiding bela diri.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam bela Haniff Hassan.

Sofi,48, atau nama sebenarnya Mohammad Shoffi Jikan memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Bagaimanapun, Haniff juga memberitahu jika ada saksi tambahan, pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah.

Pada 13 Februari lalu, Soffi mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11 - nor delta-9 tetra hydrocannabinol -9) ke dalam badannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pukul 11.15 malam pada 6 Februari 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, dan diwajibkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun, jika sabit kesalahan.

- Bernama