Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekeping poster di menara bahasa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Dua malam lepas ketika saya dan seorang rakan yang juga salah seorang pengasas sebuah syarikat konsultansi seni reka yang bertapak di Perlis iaitu Rumah Reka, saudara Shahrin sedang mendengar sebuah kuliah forex.

Tiba-tiba terlintas satu topik perbualan kecil antara kami berdua memandangkan ada sekeping poster sedang berlegar-legar di garis masa Facebook.

Di poster tersebut terdapat satu imej sasterawan negara yang dipotong agak cacamarba dan tidak kemas. Namun itu bukanlah isunya bagi kami dan di poster tersebut juga terdapat logo Dewan Bahasa Dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan dan itu juga bukan isunya bagi kami.

Ya, sebenarnya tidak ada apa-apa isu dan kami juga tidak menyalahkan kedua-dua entiti ini kerana bagi kami entiti tersebut sudah lama bertapak. Jadi mereka mempunyai pereka-pereka yang berpengalaman luas dalam mereka sesuatu hasil kerja. Kami percaya yang sebenarnya hasil kerja mereka sangatlah terlalu berkualiti dan berkreativiti tinggi maka tulisan ini ditulis adalah sebagai tanda sokongan kami kepada pihak mereka.

 Tetapi apa yang menghairan kami, kata orang ramai di media sosial, poster tersebut sangat buruk, komposisi subjek gagal, susun letak huruf tidak seimbang dan jenis tulisan yang digunakan tidak sesuai. Tuntasnya poster tersebut adalah sampah! Kami tidak percaya semua itu walaupun ia sukar.

Atas dasar kebersamaan sebagai penggiat seni, kami tampil memberi idea dan gagasan kreativiti kami sehingga poster yang direka oleh Rumah Reka menjadi tular dan sebuah halaman FB DBP Niaga menghantar satu pesanan untuk mengguna pakai poster yang dibikin kami untuk tujuan promosi bagi menggantikan poster asal. Sebagai menghormati Pak Samad (bukan DBP) maka, kami memberi ia dengan syarat hanya tujuan promosi bukan untuk jualan.

Pada kami poster adalah satu karya seni yang dalamnya terdapat komposisi gambar atau teks dengan pelbagai susun atur warna dan gaya persembahan serta subjek. Poster memang dihasilkan dengan pelbagai tujuan misalnya untuk pengiklanan, propaganda, motivasi, dekorasi dan pelbagai tujuan lagi. Selain itu, poster juga boleh dipandu untuk ke arah komersial atau boleh menjadi karya seni yang agung.

Namun pada kami, poster tersebut tidaklah sebegitu sampah, tujuan asal di poster tersebut boleh dikatakan berjaya. Maklumatnya sampai dan yang pasti ia adalah sekeping poster yang cukup sifat.

Saya tidak nampak di mananya ‘sampah’ seperti yang dikecam netizen kerana dalam pembuatan poster, perkara asas yang pertama ialah tema dan tujuan. Tanpa adanya tema dan tujuan yang jelas, maka tidak mungkin akan tercipta sebuah poster yang berkualiti. Ya, poster mereka sangat berkualiti.

Kedua ialah teks, antara keberhasilan dalam mereka sesebuah poster dipengaruhi oleh susun atur teks. Teks tidak boleh sembarangan kerana teks menjadi kunci keberhasilan sesuatu poster. Susunan kata per kata harus diperhatikan, teks tidak boleh terlalu panjang namun harus menarik dan mengajak masyarakat untuk melakukan suatu hal sesuai dengan poster yang dibuat. Ya, walaupun dalam poster tersebut teksnya terlalu padat, kami kira itu adalah salah satu gaya dan identiti daripada Dewan Bahasa dan Pustaka dalam menghasilkan sesuatu rekaan. Ia patut dikekalkan.

Selain itu, dalam sesebuah poster haruslah diserta juga dengan gambar. Hal itu perlu dilakukan kerana masyarakat akan cenderung bosan jika hanya membaca tulisan saja, mereka menginginkan sesuatu yang unik dan menarik.

Maka penggunaan gambar pada sebuah poster akan lebih membuat orang tertarik untuk membaca sekali gus akan memberi kesan kepada mesej yang ingin disampaikan. Namun harus diteliti sebaik mungkin kerana gambar yang bakal digunakan harus sesuai dengan tema.

Dan sekali lagi saya ingin memihak kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kecaman netizen tersebut tidak ada asasnya. Gambar subjek Sasterawan Negara A Samad Said sengaja dipotong tidak kemas kerana itu juga adalah salah satu identiti rekaan DBP yang patut dibanggakan.Terakhir adalah maklumat yang ingin disampaikan haruslah haruslah tepat misalnya lokasi, masa, tarikh dan sebagainya.

Jadi pada amatan kami daripada pihak Rumah Reka, kekalkanlah identiti tersebut supaya kami semua senang untuk menilai dan jika ada kelapangan masa, bolehlah kami sedekahkan rekaan poster sekali lagi jika pihak DBP menginginkannya.


ARAFAT HAMBALI, macai Rumah Reka dan juga pencinta seni poster yang humanis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.