'Bebal betul Najib' - Kartunis padam teguran pada bekas PM
Kartunis dan bekas editor majalah Gila-Gila, Ronasina Afandi telah memadamkan hantaran Facebooknya terdahulu yang menegur bekas perdana menteri Najib Razak.
"Demi semangat Syawal, saya memaafkan posting Najib dan saya juga meminta maaf zahir dan batin atas status saya yang juga berbunyi tidak baik.
"Sebagaimana posting itu ditarik balik, saya juga menarik semula posting awal saya," katanya.
Najib juga memadamkan statusnya di Facebook selepas hampir sejam berita ini dimuatnaik, sekitar jam 11.17 malam.
Menjelaskan pemadaman status itu, Najib pada hantaran terbarunya di media sosial berkata mahu berjumpa dengan pasangan dalam gambar berkenaan sekiranya orang dimaksudkan itu, Ronasina dan Raja Rohaisham memiliki masa terluang.
"Saya diberitahu ada kisah sedih yang telah berlaku kepada pasangan yang protes mansuh tol di dalam gambar tahun 2007 yang saya upload tadi.
"Oleh itu, saya padamkan.
"Saya ingin berjumpa dengan pasangan dalam gambar itu untuk memahami keadaan sebenar jika mereka ada masa terluang," kata bekas perdana menteri.
Terdahulu, hantaran di media sosial yang dipadamkan Najib itu disertai gambar kempen antitol telah mendapat perhatian tuan empunya badan di dalam foto berkenaan.
Ronasina dalam status yang telah dipadamkan juga berkata tindakan Najib memuat naik gambar tersebut agak terlambat dan ini menunjukkan kebebalan bekas perdana menteri itu.
"Lah lambat Najib ni up foto gua. Bebal betul Najib, dari zaman Mahathir gua lawan tol sampai zaman Mahathir hari ini, gua adalah rakyat yang menganggap perjuangan hapuskan tol adalah perjuangan suci rakyat tak kira zaman BN dan PH.
"Buktinya dari 2007 kita dapat lihat ada tol telah hilang dan kita semua suka.
"Kebebalan Najib dan pembodek-pembodeknya masih terus berkekalan," katanya pada hantaran balas di Facebook.
Bekas perdana menteri pada hantaran di Facebook yang telah dipadamkannya berkata perlu diteliti siapakan ibu dan ayah di dalam gambar yang dimuatnaiknya itu.
"We have to study deep inside, who's the mother and father.
"Tapi kita tak boleh salahkan mereka. Kita salahkan PH yang tipu dan hasut mereka.
"Mujur dari tahun 2012 kita mulakan BR1M supaya boleh ringankan beban mereka membeli susu dan ubat," katanya.
Kempen hak OKU
Gambar itu menunjukkan Ronasina atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Ramli sedang memegang plakad bertulis "Tol rampas duit susu dan ubat kami," manakala isterinya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin memegang plakad "Kami haramkan RM kami untuk tol."
Di dalam gambar yang dimuatnaik Najib itu juga, kelihatan pasangan berkenaan sedang mengendong dua cahaya mata mereka An-Nur dan kakaknya Annisa.
Kedua anak pasangan itu mengidap penyakit cerebral palsy (CP) (lumpuh otak). An-Nur, 13 tahun menghembuskan nafas yang terakhir pada 2016, manakala kakaknya Annisa meninggal dunia pada 2012 ketika berusia 10 tahun.
Ronasina juga seorang penulis kreatif yang telah menghasilkan beberapa karya penulisan, antaranya novel Kerinchi dan Surat untuk anak.
Beliau dan isterinya Raja Rohaisham juga aktif dalam kempen hak kanak-kanak kurang upaya, Hope2Walk.
Pada 2013, Hope2Walk menyerahkan memorandum kepada menteri pendidikan waktu itu, Muhyiddin Yassin di parlimen bagi menuntut hak bersekolah untuk kanak-kanak sakit terlantar.
Kisah cahaya mata Ronasina ini dipaparkan dalam filem dokumentari 'Annur Nak Sekolah' yang ditayangkan pada Freedom Film Fest 2014.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai