Skip to main
Logo Malaysiakini

Erra mahu jadikan detik hitam dengan Umie pengajaran

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelakon Erra Fazira menganggap setiap dugaan mahupun kontroversi yang perlu ditempuhi olehnya sebagai pengajaran yang akan mematangkan fikiran.

Mengulas isu membabitkan hubungannya dengan Umie Aida baru-baru ini, Erra berkata, ia merupakan pengalaman yang sudah tentu akan meninggalkan kesan mendalam buatnya.

"Banyak perkara dapat saya belajar. Tak kira sama ada langgar lobang ke, dinding ke, semua itu bukan pengajaran tak bagus.

"Semua tu bagus untuk saya pandang ke depan dengan perspektif lebih baik.

"Apa pun saya ambil apa yang berlaku ini sebagai titik hitam dalam hidup saya," katanya ketika ditemui di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Umie meluah perasaan tidak berpuas hati terhadap seseorang yang rapat dengannya tanpa menamakan siapa individu tersebut.

Kata aktres itu melalui Instagram, dirinya sudah dikhianati individu terbabit malah kesalahan itu adalah kali ketiga telah dilakukannya.

Umi atau nama penuhnya Umi Khalsum Rahmad Ali berkata, sebelum ini dia pernah memaafkan individu tersebut dan menerimanya semula sebagai sahabat.

Namun, kata pelakon filem Dukun itu, kepercayaannya itu telah dikhianati.

"Habis maaf sebelum ni apa? Aku penat jadi bodoh," katanya.

Biarpun tidak menyebut nama sesiapa, warganet membuat spekulasi bahawa individu yang dimaksudkan Umie adalah Erra.

Mengukuhkan lagi spekulasi itu, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek pula tampil membuat pengakuan dan memohon maaf pada 14 Jun lalu.

Sehari selepas pengakuan Erra, mereka berdua akhirnya bertemu bagi mencari jalan penyelesaian ke atas kemelut dihadapi.

Melalui Instastory Umie, 46, aktres itu memperlihatkan rakaman video mereka berpelukan selepas bercakap beberapa ketika.

Berkongsi lanjut, menurut Erra, 45, kehidupannya - selepas isu terbabit dianggap selesai - dianggap lebih tenang.

Justeru, kata pelakon filem Soal Hati itu, dia berharap agar peminat dapat mendoakan yang terbaik untuknya agar dia boleh melupakan kesalahan yang telah dilakukan dan membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Saya harap tolong doakan agar perjalanan hidup saya diredhai dan berpeluang hasilkan sesuatu yang baru lebih produktif dengan tenang dan damai," katanya.