Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang: K'jaan bertanggungjawab sokong sastera, seni

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata kerajaan PH serta parti politik tidak terlepas daripada tanggungjawab memberi sokongan terhadap sastera dan seni negara.

Beliau yang turut menyeru rakyat Malaysia untuk berbuat demikian berkata, seni dan sastera tidak boleh diabaikan kerana ia merupakan tanggungjawab bersama dalam membina sebuah negara.

“Kerajaan dan parti politik juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Dengan kesedaran ini, saya dan parti menyokong penuh keputusan kerajaan untuk memberi pengiktirafan sewajarnya pada para sasterawan negara baru-baru ini.

“Kami juga mengharap kerajaan akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada penggiat seni dan sastera dalam pelbagai bentuk selepas ini, bersama dalam merapatkan seni dan sastera,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Meraikan Penggiat Seni dan Sastera malam tadi di Sentul, Kuala Lumpur.

Pada 24 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan elaun RM5,000 sebulan untuk penerima anugerah Sasterawan Negara, dengan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan RM35,000 kepada Kementerian Pendidikan untuk bayaran itu mulai bulan depan hingga Disember ini.

Tujuh sasterawan tersebut merupakan A Samad Said, Muhammad Salleh, Noordin Hassan, Anwar Ridhwan, Ahmad Kamal Abdullah, Baha Zain dan Zurinah Hassan.

Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menambah bahawa mana-mana bahasa tanpa sastera dan seni akan menjadi bahasa layu yang lama-kelamaan akan mati.

Baginya, kedua-dua elemen itu menjadikan sesuatu bahasa itu tampak indah dan kaya.

“Mungkin ada yang tertanya mengapa tiba-tiba seorang wakil rakyat seperti saya mahu merayakan Aidilfitri bersama dengan penggiat seni dan sastera.

“Apatah lagi, kalau ikut dakyah seteru politik kami, sayalah bencana yang paling besar dalam negara buat orang Melayu.

“(Sedangkan) kami (sebenarnya) menjunjung apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai Kebangsaan.

“Pada masa yang sama kami juga menjunjung hak mana-mana orang untuk belajar bahasa-bahasa lain. Ini adalah asas negara kita, ini yang kami pegang teguh,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu merupakan beberapa wakil rakyat DAP seperti Steven Sim, Wong Shu Qi, Edry Faizal dan Syarleena Abdul Rashid.

Antara sasterawan dan penggiat seni yang hadir ialah A Samad Said, Muhammad Salleh, Ahmad Kamal Abdullah dan Zurinah Hassan.