Skip to main
Logo Malaysiakini

Ringgo mahu harumkan nama negara melalui lukisan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Selepas sekian lama mendiamkan diri dari dunia hiburan, bekas pemain dram kumpulan Fotograf Sham Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ringgo merancang untuk mengharumkan nama negara melalui hasil karya lukisannya.

Mendapat sokongan Yayasan Royal Widad, Sham kini dalam proses menyiapkan hasil lukisan ikon dunia yang akan dibukukan oleh yayasan berkenaan untuk tatapan masyarakat dunia.

"Saya kini sedang menyiapkan karya-karya lukisan ikon dunia untuk dibukukan, ia adalah usaha Yayasan Royal Widad yang memberi sokongan penuh kepada saya.

"Sememangnya saya berbangga kerana Yayasan Royal Widad menghargai usaha saya dan kami bersama-sama berusaha untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Saya kira ini adalah salah satu cara dan sumbangan kami kepada negara dan juga dunia," katanya kepada Malaysiakini.

Fotograf adalah sebuah kumpulan muzik yang popular pada era 90-an dengan lagu seperti Di Alam Fana Cintamu dan Luka Seribu Rindu.

Selepas tidak lagi bersama kumpulan berkenaan, Sham bergiat aktif dalam bidang seni dengan menghasilkan karya-karya lukisannya.

Jelasnya, hasil karya berkenaan membabitkan ikon-ikon yang popular di 200 negara.

"Insya-Allah ia akan dilancarkan tidak lama lagi, tunggu pengumuman rasmi dari Yayasan Royal Widad," katanya.