Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak kisah putus cinta, Najwa puas dapat CGPA 4.0

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tidak pernah berputus asa dalam mendepani cabaran antara resipi kejayaan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif apabila dia lulus cemerlang dalam peringkat sarjana.

Berkongsi khabar gembira menerima keputusan CGPA 4.0 itu dari Universiti Malaya, Najwa mencoret panjang luahan isi hati yang selama ini dipendam.

Kata Najwa, sebagai seorang Muslim, perkara paling terbaik wajar dilakukan sewaktu berdepan kesukaran adalah mengingati Allah.

“Kamu lihat, apabila kamu rasa banyak benda dirancang tak jadi, percayalah. Allah tahu yang terbaik, pandang sekeliling dan bersyukur.

“Usaha cari. Banyak nikmat Allah bagi. Kita nak nampak atau tak je. Kalau semua orang rasa korang (kamu) tak cukup bagus untuk mereka, kamu tak perlu buktikan,” katanya di Instagram.

Kejayaan dikecapi itu juga membuatkan pemilik nama penuh Imratul Najwa Abdul Latif itu terkenang kisah lalu sewaktu dia hampir mahu berhenti dari persekolahan.

“(Ketika itu) Wawa (panggilan nama singkatan Najwa) tak nak sekolah dah. Wawa tak nak belajar waktu tingkatan empat dulu akhirnya berjaya dapat keputusan akhir sarjana dia yang dia dapat hari ni.

“Apabila orang cakap saya tak mampu melakukannya, saya percaya mereka.

“Wawa bukan jenis yang nak buktikan saya yang terbaik pada semua orang tapi saya berusaha sedaya mampu,” katanya yang bersyukur menerima sokongan rakan dan keluarga.

Berbangga dengan pencapaiannya, Najwa turut berkongsi perasaan itu dengan ibunya, Zarina Samaah melalui panggilan telefon.

“Perkara paling bagus berlaku pagi tadi adalah apabila saya telefon mak dan beritahu dia keputusan saya.

“Dia cakap alhamdulillah terima kasih Wawa, mama gembira dan saya menangis,” katanya.

Sebenarnya kata Najwa, antara cabaran yang pernah meruntuhkan semangatnya sewaktu cuba menghabiskan pengajiannya adalah dia pernah mengalami episod duka putus cinta.

Namun, katanya dia tidak berputus asa dan bangkit mengejar cita-citanya.

“Itu menjelaskan kenapa berat badan saya bertambah seperti yang korang sebut-sebut tu.

“Korang tahu apa Tuhan bagi lepas tu? Peluang untuk bernafas dan cuba jadi lebih baik lagi.

“Tapi tak ada kekasih tak apa, Wawa dapat nampak 4 untuk pertama kali dalam hidup,” katanya.