Skip to main
Logo Malaysiakini

Aishah pulangkan kubik zirconia Vida dalam kotak istimewa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Meskipun mengaku berasa terhina dengan perbuatan Hasmiza Othman - atau Vida - semasa episod penyerahan berlian yang dituntutnya, penyanyi Aishah mempunyai cara tersendiri untuk memberikan reaksi.

Enggan memilih kaedah yang boleh dianggap menghina, penyanyi itu sebaliknya memulangkan barang kemas yang diterima lebih awal iaitu selepas dia menjuarai Gegar Vaganza 4 (GV4) dulu.

Diuar-uarkan sebagai berlian bernilai RM80,000, kubik zirconia yang diterima Aishah sebagai juara GV4 - dan menjadi titik tolak kepada pertikaian di antara dia dan Vida - dikembalikan kepada usahawan kosmetik terbabit dalam sebuah kotak.

Kotak itu pula, katanya, adalah hasil buatan tangannya sendiri. Bagi Aishah, apa dilakukannya itu dirasakan lebih beradab.

“Sebelum ni kita dah tengok cara penyerahan DSV (singkatan nama Vida), kita pun ada idea untuk letak dalam apa.

“Tapi apabila difikir semula, tak naklah malukan keluarga. Saya tak pernah diajar oleh mak bapak saya untuk jadi kurang ajar. Saya tak rela jadi sehina itu," katanya.

Menurut Aishah, terpulang kepada Vida untuk membuat aksi yang diingininya semasa menamatkan kemelut tuntutan dibuat penyanyi Camar Yang Pulang itu.

“Biarlah… nak masukkan dalam mulut ke apa, terpulang…,” katanya melalui rakaman yang disiarkan secara langsung di Instagram miliknya semalam.

Laporan penilaian pun ada

“Kita pulangkan balik barang ni dalam kotak buatan sendiri. Takkan dapat di mana-mana kotak ni,” katanya.

Pada 17 Julai lalu, pada sidang media khas, Vida mengumumkan Aishah memilih lima barang kemas termasuk dua butir berlian selepas menyelesaikan kes saman mereka di luar mahkamah.

Sewaktu sesi berlangsung - dan sebelum menyerahkan kesemua barang kemas kepada Aishah - Vida terlebih dahulu memasukkan dua butir berlian ke dalam balang makanan yang diusahakan anaknya, Muhammad Eric Zaquan, 12, atau dikenali Kacak.

Selain itu, anak-beranak berkenaan juga membuat aksi cuba memasukkan berlian ke mulut masing-masing.

Mengulas isu tersebut, Aishah hanya mampu menjawab: “Ya Allah, ya Allah…”

Pertikaian antara Aishah dan Vida tercetus selepas barang kemas yang menjadi hadiah iringan dimenanginya melalui program realiti GV4 didapati tidak menyamai nilai RM80,000.

Aishah mendakwa dia sudah membuat pemeriksaan pada pakar dan mendapati barang kemas itu bukanlah berlian asli sebaliknya hanya Kubik Zirconia sebelum mengumumkan perkara tersebut di media sosial.

Semalam, Aishah turut menyertakan bersama-sama dalam kotak itu, laporan yang menyatakan nilai sebenar barang kemas tersebut.

“Dalam ni kita letak balik hadiah yang menjadi pertikaian dan kita bagi laporan pakar berhubung barang ni sekali,” katanya.

Aishah sebelum ini memaklumkan dia sudah menerima kelima-lima barang kemas seperti dituntut pada 18 Julai lalu.

Sebagai memenuhi prosedur, dia juga perlu memulangkan barang kemas yang didakwa palsu itu kepada Vida semula.

Untuk rekod, barang itu diserahkan melalui peguam yang mewakilinya, Mohammad Izwan dan Mazniza Mohd Kamil, dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates.

“Saya amanahkan peguam saya untuk serahkan pada peguam DSV. Saya pasti dia suka sebab tengok banyak gambar dia pakai barang ni,” katanya.