Skip to main
Logo Malaysiakini

Nubhan pertahan penari tak berbaju dalam Tak Tahan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi Nubhan tidak berasakan langkahnya mempamerkan sekumpulan penari lelaki tidak berbaju dalam klip video single terbarunya, Tak Tahan sebagai keterlaluan.

Kata Nubhan, penari-penari tersebut masih menutup bahagian tubuh yang sepatutnya.

“Penonton tidak harus terus menterjermah pada perkara negatif semata-mata kerana hanya bahagian atas (badan) saja tidak berpakaian.

“Bagi saya, imej ditampilkan masih bersesuaian dengan seluruh konsep dibawakan dalam video muzik yang dipersembahkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, pemilik nama penuh Ahmad Nubhan Ahamad itu melancarkan Tak Tahan selepas empat tahun menyepi dari dunia hiburan.

 

Tak Tahan karya bergenre melodi pop dihasilkan melalui kerjasama Malaysia dengan Indonesia. Lagu berkenaan dicipta komposer popular Ressa Herlambang dan Rizky.

Lagu bertemakan perasaan kasih dan sayang itu ditampilkan melalui video berkonsep campuran moden dan elemen tradisional.

Tak Tahan dijangka dipasarkan di Indonesia selepas sebulan rangka promosi meliputi media, stesen radio dan televisyen dijalankan di negara ini.

Nubhan, 33, menjelaskan, sekembalinya dia dalam industri, niatnya untuk mempertaruhkan Tak Tahan sememangnya disertakan dengan langkah-langkah tertentu bertujuan melariskan karya tersebut.

“Sekiranya idea dicetuskan itu membantu mempopularkan Tak Tahan, apa salahnya. Tipulah kalau buat sesuatu tanpa strategi. Yang lain terserah pada pendengar,” katanya.

Nubhan 

Mengulas penggunaan khidmat komposer dari seberang pula, penyanyi lagu Seadanya Aku itu berkata, dia sebenarnya sekadar beralih angin buat sementara waktu.

Katanya, keputusan itu diambil kerana karyanya selama ini banyak menampilkan idea kreatif anak seni tempatan.

“Saya memang tertarik dengan Ressa dan nak cuba perkara baru selepas sekian lama menggunakan khidmat komposer di sini,” katanya.

Namun, pemenang tempat ketiga program Akademi Fantasia musim keenam itu berkata, hal itu tidak bermaksud dia sengaja memperlekeh kreativiti komposer negara ini.

“Saya masih hargai komposer tempatan malah saya hormati semua karya seni mereka, tu tak dinafikan,” katanya.

Ditanya bagaimana dia ingin menambat hati pendengar di Indonesia selepas ini, penyanyi yang juga popular dengan Oh Juwita itu berkata, langkahnya dipermudahkan apabila lirik Tak Tahan ada menampilkan bahasa lazim di negara itu.

“Lihat pada lirik ‘kelleus’, perkataan ini biasa mereka gunakan.

“Saya harap ia dapat tarik perhatian pendengar negara itu selain tempo yang menarik dan nakal yang dipersembahkan,” katanya.