Skip to main
Logo Malaysiakini

Nafas baharu gamelan Melayu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Gangsapura yang diterajui oleh Teuku Umar Ilany dan diasaskannya bersama Nur Diyana Nadirah pada Oktober 2016 kelihatan seperti membawa semangat Rhythm in Bronze.

Mungkin dalam nada atau bentuk yang lain. Itu kita perhatikan kemudian.

Sebagai pengenalan, Rhythm in Bronze (RIB) yang wujud sejak lebih dua dekad lalu merupakan satu ensemble gamelan yang membuat gubahan baharu muzik gamelan dan menjadikannya lebih kontemporari.

Mereka melakukannya tanpa menghilangkan nilai estetika dan tradisi itu sendiri.

RIB adalah ensemble seumpamanya yang mengetengahkan konsert muzik sebagai tunjang persembahan dan berdiri sebagai gamelan theatre.

Satu album dalam format CD diterbitkan mereka pada tahun 2001 memuatkan lagu-lagu gubahan baharu dan klasik.

Banyak persembahan yang diadakan mereka mengangkat tinggi nilai gamelan itu sendiri dan dilakukan penuh nyala rasa dengan eksperimen yang jauh ke hadapan.

Gangsapura pula merupakan satu lagi ensemble yang cuba membuat anjakan lain kepada muzik gamelan itu sendiri dan lebih muda usianya berbanding RIB.

Persamaan ini mungkin lebih ketara disebabkan Teuku Umar (pengasas bersama Gangsapura) juga merupakan pemuzik dan penggubah residen untuk RIB sejak 2008 dan sudah semestinya faham dan tahu ke arah mana ingin dibawanya ensemble ini.

Dokumentasi seni tradisi

Sumbangan besar kedua-dua ensemble ini adalah gubahan lagu-lagu baharu kepada muzik gamelan.

Ensemble lain (tidak semua) mungkin lebih bersifat ceremonial; hanya menumpukan kepada repertoire tradisi sedia ada (atau menterjemah lagu-lagu lain) tetapi tidak mencipta lagu baru.

(Mungkin ada yang membuat gubahan baharu tetapi terhad kepada persembahan sahaja dan tiada dokumentasi lebih serius; penerbitan album misalnya.)

Situasi ini sering terjadi kepada banyak ensemble muzik tradisional yang lain di Malaysia. Mereka mungkin berada dalam zon selesa dan tidak banyak ensemble yang merakamkan album dengan gubahan lagu-lagu baharu sebagai menyahut seruan zaman.

Bukan tidak ada tetapi masih di dalam rentak yang perlahan.

Situasi ini sangat berlainan jika kita perhatikan dalam scene muzik mandiri; banyak kumpulan muncul dan merakamkan album dan sekaligus membentuk kelompok tersendiri.

"Dokumentasi berkenaan muzik tradisi masih di tahap perlahan. "

Demikian jawapan penggubah utama Gangsapura, Teuku Umar ketika ditanya seputar dunia dokumentasi.

Beliau juga berpendapat bahawa repertoire lagu-lagu perlu diperbanyakkan dengan penghasilan lagu-lagu baharu yang akan merancakkan lagi kegiatan kesenian dalam pelbagai konteks.

Ini sudah semestinya sebagai tambahan kepada lagu-lagu tradisi sedia ada yang perlu dipelihara dengan cara mempersembahkannya kepada khalayak lebih luas dan juga melalui proses dokumentasi.

Mungkin disebabkan ini juga, Gangsapura mengambil daya usaha serta tanggungjawab menerbitkan rakaman lagu-lagu klasik gamelan yang diterbitkan ke dalam dua siri (Volume 1 dan Volume 2) dalam format CD beberapa bulan yang lalu.

Di antara lagu-lagu klasik yang dirakam semula seperti Ayak-Ayak, Togok, Topeng dan Perang Besar (sekadar menyebut empat buah lagu).

Album ini bertajuk Echoes.

Dibiayai sepenuhnya oleh mereka sendiri dan menjadi satu sejarah membanggakan bila Echoes menjadi album gamelan Melayu pertama yang berada dalam saluran streaming seperti Spotify dan ITunes.

Album yang dirakam secara langsung ini diterbit dan dipasarkan oleh mereka sendiri.

"Saya percaya usaha mengkaji seni tradisi perlu lebih dipergiatkan,” terangnya dalam nada optimis ketika ditanya tentang penerbitan album ini.

"Perkara ini perlu dikongsi untuk rujukan generasi masa hadapan secara akademik dan praktikal."

Beliau turut memuji gelombang baru artis yang bereksperimen dengan muzik/instrumen tradisional seperti ditampilkan Monoloque, NJWA dan Altimet.

Ini katanya memberikan penghayatan baru kepada karya moden yang disaluti unsur muzik tradisional.

Gubahan baharu

Beliau juga diketahui banyak membuat gubahan lagu-lagu baharu untuk gamelan. Banyak lagunya sering digunakan ensemble seperti di Universiti Teknologi Petronas (UTP) misalnya.

Kali pertama penulis berjumpa namanya adalah ketika Space Gambus Experiment (SGE) membuat kolaborasi bersama ensemble gamelan UTP pada tahun 2012 dan mereka memainkan lagu gubahan beliau.

Ketika ditanya tentang penerbitan album dengan lagu-lagu gubahan sendiri, beliau tidak menolak kemungkinan untuk merakamnya di masa akan datang.

Perkara ini sudah tentunya memerlukan pembiayaan yang lebih besar dan sokongan lebih luas.

Ini mengambil kira ketelitian untuk merakam alatan gamelan supaya menjadikannya lebih organik dan menepati mutu serta kualiti bunyi yang diidamkan.

Pendanaan awam

Ensemble ini sedang giat mengusahakan crowdfunding atau pendanaan awam untuk membeli gamelan mereka sendiri.

Ketika ini mereka menggunakan set gamelan yang dimiliki oleh Actors Studio yang terletak di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) di Sentul.

Crowdfunding ini dilancarkan mereka pada Mac tahun ini melalui saluran atas talian Indiegogo.

Ini adalah salah satu usaha mereka untuk memiliki set gamelan sendiri yang akan ditempah khas dari Solo, Indonesia.

"Sambutannya perlahan namun kami optimis dan sedang berusaha untuk mendapatkan pembiayaan dana di dalam pelbagai bentuk."

Daripada pemerhatian di pautan yang diberikan, proses crowdfunding ini masih lagi jauh daripada sasaran.

Usaha ini menjadi suatu yang mencabar kepada peminat gamelan kerana selain set yang sukar didapati di sini (selain di universiti dan sekolah terpilih), pembuatannya juga hanya dilakukan secara khusus di Indonesia.

Namun, keterbatasan ini menjadi perangsang kepada Teuku Umar yang juga pensyarah gamelan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk memperkenalkan seni muzik gamelan ini dengan lebih meluas di Kuala Lumpur.

Bersama-sama Gangsapura, mereka mengadakan seminar, bengkel dan juga kelas yang dibuka kepada awam.

"Ini boleh juga menjadi satu saluran kepada peminat/pemain gamelan yang tidak tahu di mana untuk bermain gamelan selepas menamatkan pengajian di sekolah atau universiti."

Buka langkah: Inner Resonance

Sebagai langkah awal ke arah menjadikan gamelan muncul dalam bentuk segar dan juga bentuk konsert muzik untuk dinikmati, Gangsapura akan mengadakan persembahan pada 7 dan 8 September ini di Damansara Performing Arts Centre (DPAC).

Persembahan diberi tajuk Buka Langkah: Inner Resonance.

Juga selari dengan keinginan mereka untuk meneruskan kelangsungan muzik tradisi ini, tujuh buah lagu baharu digubah khusus untuk persembahan ini yang turut menampilkan tiga orang penyanyi undangan iaitu Jamilah, Azizul Haqim dan NJWA.

 Moga proses mereka ini berterusan dan berupaya melahirkan karya baharu di samping memelihara tinggalan tradisi.

Ini penting supaya seni tradisi terus hidup di negara ini dan subur di kalangan warganya.


ZULKIFLI RAMLI ialah seorang pemerhati seni dan budaya. Dia merupakan pemain gambus dan pengasas kumpulan muzik, Dewangga Sakti.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.