'Menantu gua tanya siapa Malim?'
"Membaca benda yang tak pasal-pasal menjadi kalut dan hodoh ini tiba-tiba menantu gua (saya) pun tertarik," kata penyair, Pyanhabib Rahman, ketika diminta mengulas kontroversi pemilihan Sasterwan Negara ke-14, Dr Siti Zainon Ismail yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, semalam.
Kontroversi itu muncul selepas sasterawan dari Perak, Malim Ghozali PK, tampil mengkritik dan menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pemilihan tersebut.
Pyanhabib berkata, ketika isu tersebut sedang meriah diperkatakan - menantunya tiba-tiba bertanya: "Siapa itu Malim Ghozali?"
"Ya, Malim yang memberitau semua orang bahawa karyanya tersebar ke dunia antarabangsa itu, tidak dikenali namanya oleh menantu gua.
"Sebaliknya nenantu gua yang tak reti sastera itu, tahu siapa Siti Zainon Ismail," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Mengulas kritikan rakan penulis itu Pyanhabib mempersoalkan, tidakkah Malim berasa aibnya terbuka dengan tindakannya mempersoalkan pemilihan berkenaan.
"Brader (brother) Malim, gua tidak peduli pun brader berada dalam senarai akhir Anugerah Sasterawan Negara ke-14.
"Gua akan berasa malu sendiri kalau gua menganggap gua paling layak dan beritahu orang bahawa saya calon yang paling tinggi pencapaian, di dalam dan di luar negara.
"Aduh. Kalau Malim berasa ia bukan bermaksud angkat bakul, gua tidak patut berfikir salah.
"Kerana Anugerah Sasterawan Negara tidak berpihak kepadanya, Malim dengan terang benderang berkata: Sastera sudah dipolitik, dimanipulasi dan diselewengkan, saya sudah hilang kepercayaan terhadapnya sama sekali," katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Tolak lobi-melobi
Kata Pyanhabib lagi, gerakan sastera sememangnya dimanipulasi dengan unsur politik.
"Makanya kita kena cakap elok-elok supaya orang tidak nampak kita juga termanipulasi politik dalam bercakap.
"Hak brader pertikai panel penilai wajar dihormat dan hak panel penilai memilih Siti Zainon juga wajar dihormati.
"Daripada sebar amarah tidak puas hati, martabat anda akan tinggi jika reda. Ya, reda jangan guna kalimah Allah untuk berprasangka ada orang jahat dalam Anugerah Sasterawan Negara ke-14," ujarnya yang popular dengan buku kumpulan puisi Balada Pyanhabib.
Pyanhabib yang dikenang ramai kerana wataknya sebagai Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan juga mempunyai pesanan khusus: "Gua sarankan Malim yang tercium bau tikus itu agar boikot saja Anugerah Sastera Negara."
Selain Pyanhabib, pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus, turut menyokong penganugerahan tertinggi sastera negara itu kepada Siti Zainon.
Dalam ucapan tahniah di Facebook, Sabri menyifatkan beliau memang sudah lama ternanti-nanti untuk menulis ucapan kepada Siti Zainon.
"Saya kagumi Kak (Siti Zainon) waktu pertama kali melihatnya baca puisi di Kota Bharu pada tahun 1979 sempena ulang tahun kelahiran ke-50 Usman Awang.
"Bahasa dan suara yang mempesonakan. Kemudian apabila saya di DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) saya merenung bukan saja sajak-sajak malah painting dan skesta kakak.
"Saya tak berani nak kata anugerah ini sepatutnya dah lama kakak terima, walau hati saya rasa begitu. Tahniah sekali lagi," katanya.
Sementara itu, penerima SEA Write Award, Syed Mohd Zakir Syed Othman turut senada menyokong pemilihan Siti Zainon.
Penyair dan cerpenis itu menyokong penuh pemilihan panel yang disifatkan membuat keputusan yang tepat.
"Pada pemerhatian saya pemilihan ini sekali gus 'menolak' sikap lobi melobi segelintir penulis terhadap anugerah.
"Ia adalah satu perkembangan yang baik kepada sastera khususnya penolakan terhadap fenomena lobi melobi yang keterlaluan.
"Apa pun ketentuan adalah milk Allah SWT, juga rezeki adalah ketentuan Allah," katanya.
Di bumbung, di sawah
Bagaimanapun terdapat juga segelintir individu yang berpandangan agak berbeza pandangan.
Antaranya bekas ketua pegawai eksekutif Institut Terjemahan Buku Malaysia, Mohd Khair Ngadiron, yang menyatakan pilihannya untuk anugerah itu adalah aktivis sastera dan seniman, Dinsman.
"Ada yang bertanya, siapa pilihan saya untuk menjadi sasterawan negara? Saya jawab: Dinsman.
"Dinsman setia dengan sastera. Dari dulu hingga sekarang. Dia setia dengan prinsip. Dia memuji Dr Mahathir (Mohamad) bila perlu dan mengkritik Mahathir dengan maha hebat, juga bila perlu.
"Dia mendirikan baca puisi, di rumah pena, di madrasah, di bumbung dan di mana-mana.
"Beliau mengarahkan teater, di hotel, di masjid, di atas pokok, di bendang sawah dan bulan hadapan di Padang Merbok. Dia menulis dan terus menulis, tanpa kira waktu dan suasana. Teguh dengan prinsipnya," katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.
Ditanya mengapa Dinsman tidak diangkat jadi Sasterawan Negara Mohd Khair berkata, silap Dinsman mungkin adalah kerana tidak melantik tukang lobi.
"Istilah lobi tidak semestinya membawa konotasi negatif," katanya.
Bagaimanapun Mohd Khir menegaskan, tulisan itu tidak bermaksud dia membantah penganugerahan diberikan kepada Siti Zainon.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai