Skip to main
Logo Malaysiakini

DBP siasat dakwaan maklumat Anugerah Sastera Negara bocor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menyiasat dakwaan berlaku kebocoran maklumat mengenai proses pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 sebelum ia diumumkan semalam.

Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata DBP - selaku urus setia jawatankuasa penilai Anugerah Sastera Negara - akan mengambil tindakan mengikut tatacara dan tatatertib sedia ada sekiranya perkara itu didapati benar-benar berlaku.

“Kami tak pasti bagaimana ia berlaku, tapi kami sedang siasat perkara tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Abang Sallehuddin, beliau yakin kebocoran maklumat yang berlaku bukan berpunca daripada pihak urus setia.

“Saya yakin bukan daripada urus setia sehingga dibuktikan sebaliknya. Bagi saya, pelbagai hal yang timbul adalah spekulasi dan merupakan andaian semata-mata,” katanya.

Abang Sallehuddin diminta mengulas kontroversi pemilihan Sasterawan Negara ke-14 yang tercetus beberapa ketika sebelum ia diumum Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semalam.

Sebelum ini ada pihak mengesyaki wujud campur tangan politik dalam pemilihan tokoh yang akan dipilih menerima anugerah tertinggi kesusasteraan tersebut.

Hanya selaku urus setia

Misalnya Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dr Mohamad Saleeh Rahamad, yang mengingatkan agar dunia sastera negara tidak menjadi bahan jenaka jika ada campur tangan politik.

"Sistem sudah diwujudkan dengan jawatankuasa membuat pemilihan.

"Apabila sudah ada keputusan, kemudian mahu dirombak atas desakan lain, ini hanya satu lawak jenaka dalam dunia sastera dan dunia politik kita," katanya.

Sebelum Prof Dr Siti Zainon Ismail diumumkan menerima anugerah itu semalam, ada beberapa nama disebut-sebut bakal terpilih, termasuk dalam kalangan penulis bukan Melayu.

Ia menjadi semakin panas apabila ada dua tokoh penulis dilantik sebagai anggota panel tambahan.

Siti Zainon Ismail

Bagaimanapun, beberapa pihak lain mempertikaikan bagaimana butiran dalam perbincangan panel terbabit boleh diketahui pihak ketiga.

Tokoh penulis dari Perak, Dr Malim Ghozali PK, pula semalam secara terbuka mempertikaikan mengapa dirinya tidak terpilih menerima anugerah tersebut.

Malim dalam kenyataan media semalam juga membangkitkan apa terjadi selepas pengumuman Sasterawan Negara ke-14 dibuat Ketua Pengarah DBP pada 28 Mac lalu.

Selain itu, Malim mendakwa wujud dua panel penilai yang kurang arif dalam bidang mereka selain campur tangan politik mencemari pemilihan yang dibuat.


Baca ‘Anugerah bukan untuk buang atau naikkan sesiapa’


Abang Sallehuddin menegaskan keputusan muktamad hanya boleh dibuat Maszlee selaku pengerusi jawatankuasa penilai Anugerah Sastera Negara.

“Menteri mempengerusikan dua mesyuarat sebelum dan keputusan penerima anugerah berkenaan dibuat pada 3 Sept lalu.

“Ada andaian saya yang buat pengumuman tapi saya tak ada hak kerana DBP hanya bertindak selaku urus setia.

“Kalau saya ada kuasa, tak perlu buat mesyuarat pada 3 Sept tu,” katanya.

Mengulas isu panel penilai, Abang Sallehuddin berkata, pertambahan dalam penilai dibuat mengikut kerangka yang dibenarkan tatacara sedia ada.

“Memang wujud pertambahan panel penilai, tapi menteri berpandangan kemungkinan ada keperluan untuk mendengar suara lebih ramai agar dapat bersikap lebih telus,” katanya.